Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan sasar pelancong dari China, India meningkat

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Kerajaan menyasarkan peningkatan ketibaan pelancong dari China dan India ke negara ini masing-masing sebanyak empat juta dan sejuta orang tahun ini, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Menurutnya, sasaran itu dijangka dapat dicapai menerusi langkah pengecualian visa 15 hari kepada pelancong dari kedua-dua negara berkenaan yang dilaksanakan selama setahun bermula awal tahun ini.

“Saya yakin pelaksanaan ini dapat menyasarkan lebih ramai pelancong masuk dan dapat jana lebih banyak revenue (pendapatan) sekali gus mencapai sasaran ketibaan pelancong seramai 30 juta tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pelekat kenderaan Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Visit Malaysia 2020 di sini hari ini.

Mohamaddin berkata pihaknya turut menjalankan program jerayawara bagi mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020 bertujuan menarik kehadiran pelancong sekurang-kurangnya dari empat buah negara yang bakal dilawati bermula dengan India pada 8 Januari ini.

Beliau juga menepis dakwaan kononnya pelaksanaan pengecualian visa ke atas pelancong dari kedua-dua negara itu akan menyumbang kepada faktor pelancong tinggal melebihi tempoh masa dibenarkan di negara ini.

Kerajaan melalui warta kerajaan bertarikh 26 Disember memberi pengecualian visa dengan tempoh lawatan terhad kepada 15 hari tanpa tempoh lanjutan bagi pelancong dari China dan India mulai 1 Januari hingga 31 Disember 2020.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai bayangan rombakan kabinet yang dijangka dilakukan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Mohamaddin berkata beliau tidak risau dengan spekulasi berkenaan.

“Saya tidak risau, kenapa saya perlu risau ? Kalau you (anda) nak saya buat kerja saya buat kerja, kalau tak nak, bila-bila masa…, kenapa perlu saya risau, yang itu (rombakan kabinet) saya tidak tahu, itu kena tanya Perdana Menteri sama ada reshuffle (rombakan) ada atau tidak ada,” kata beliau.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Imigresen teliti isu pelancong China, India tinggal lebih masa

BUKIT KAYU HITAM, 3 DIS: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang berat isu jumlah yang tinggi melibatkan pelancong dari China dan India yang tinggal melebihi tempoh di negara ini, seperti yang dinyatakan dalam laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2, semalam.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya telah menyerahkan perkara berkenaan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk diteliti.

“Ada perkara boleh dijelaskan… Yang penting bila sebut ada (pelancong) tak balik, duduk lebih masa, JIM akan susun (kesan) nak tahu di mana mereka berada.

“Tindakan berdasarkan undang-undang imigresen akan dikenakan terhadap mereka, kita nak pastikan bila seseorang berada di negara ini, mesti berada dalam tempoh dibenarkan oleh JIM,” katanya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Projek Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam kepada KDN di sini, hari ini.

Laporan audit semalam menyebut tiada rekod tarikh keluar lebih 95 peratus pelancong China dan India yang melawat ke negara ini antara 2016 sehingga tahun lepas.

Menurut laporan itu, berdasarkan data ketibaan sepanjang tempoh berkenaan, daripada 79,799 warga China, didapati sebanyak 76,258 tidak mempunyai rekod tarikh keluar dari negara ini.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, angka mengenai warga China itu adalah kurang tepat kerana mengikut rekod pihaknya jumlah sebenar pelancong China yang masih belum keluar ialah hanya 18,341 individu.

“Perbezaan ini berlaku mungkin disebabkan mereka masuk menggunakan Sistem Maklumat Pendaftaran Pelancong Elektronik (eNTRI) iaitu kemudahan tanpa visa bagi pelawat dari China dan India.

“Kemudian mereka keluar melalui sistem biasa, rekod pas lawatan sosial biasa, ada kelemahan dari segi sistem teknikal, sebab itu ada perbezaan,” katanya yang berada pada majlis sama.

Khairul Dzaimee berkata, sehubungan itu, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan Jabatan Audit Negara dalam masa terdekat untuk mengemas kini jumlah berkenaan.

Sementara itu, mengenai kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, projek bernilai RM385 juta itu dimulakan pada 14 Jun 2014 dan siap sepenuhnya pada 25 Jun lepas dan beroperasi sepenuhnya pada Ogos.

Kompleks itu antaranya dilengkapkan dengan pagar keselamatan jenis ‘anti-climb’ di keseluruhan kawasannya dan dibantu dengan kira-kira 300 unit kamera litar tertutup berdefinisi tinggi dan mesin pengimbas kargo juga dipasang di laluan kenderaan berat bagi memastikan pemeriksaan lebih rapi dijalankan ke atas semua barangan yang memasuki negara ini.

– BERNAMA