Categories
AGENDA NASIONAL

Dua staf Imigresen godam data, palsukan pas lawatan ditahan

KUALA LUMPUR, 9 APRIL: Dua kakitangan Jabatan Imigresen antara enam individu ditahan disyaki terlibat sindiket pemalsuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan menggodam pangkalan data jabatan berkenaan.

Kesemua suspek berumur lingkungan antara 35 hingga 42 tahun itu ditahan di sekitar ibu kota sejak malam tadi.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata empat lagi suspek adalah pekerja teknikal syarikat pembekal sistem.

“Mereka ditahan bagi membantu siasatan kerana dipercayai bertanggungjawab memasang peranti dan perisian bagi tujuan menggodam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

Penahanan keempat-empat pekerja syarikat pembekal itu membawa kepada penemuan beberapa komputer di Jabatan Imigresen yang telah dilengkapi dengan peranti serta perisian penggodaman,” kata sumber itu.

Selain itu, sumber itu berkata dua kakitangan Jabatan Imigresen telah ditahan kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket berkenaan.

“Mereka yang berusia diantara 34 tahun hingga 42 tahun dikenal pasti terlibat dalam membantu sindiket menjalankan kegiatan penggodaman sistem itu,” katanya.

Sumber SPRM berkata kesemua kakitangan jabatan itu dipercayai turut menerima rasuah sebagai habuan kerana bersubahat dalam kegiatan ini dan rentetan itu beberapa perkakasan Teklonolgi Maklumat (IT) dan komputer telah disita daripada pejabat Imigresen.

Turut disita adalah komputer riba dan External Hard Disk milik pekerja syarikat pembekal sistem yang digunakan bagi tujuan menggodaman sistem.

Menurut sumber itu setakat ini, SPRM telah mengenal pasti empat hotel ternama sekitar Kuala Lumpur yang dijadikan pusat operasi penggodaman itu.

Menurut sumber itu lagi, penahanan terbaharu ini adalah lanjutan daripada operasi bersama-sama Jabatan Imigresen yang diadakan pada 6 April lepas di 22 lokasi di Kuala Lumpur dan Sungai Petani, Kedah.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbaharu itu.

“SPRM melihat isu penggodaman ini sebagai perbuatan yang amat serius kepada aspek keselamatan negara. Kesemua suspek akan disiasat dalam penglibatan mereka yang bersekongkol dalam menggodam sistem imigresen,” katanya menambah siasatan akan dijalankan daripada segenap sudut undang-undang jenayah.

Selasa lepas seorang bekas kakitangan Jabatan Imigresen antara lima individu yang disyaki membuka laluan kepada sindiket pemalsuan PLKS dan menggodam sistem pangkalan data imigresen dan SPRM turut membekukan sebanyak 147 akaun melibatkan 30 individu dan 11 syarikat membabitkan sejumlah RM9.9 juta.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Permohonan rentas sempadan Malaysia – Singapura dibuka 10 Ogos

PUTRAJAYA , 8 OGOS: Jabatan Imigresen (JIM) hari ini memaklumkan permohonan kemudahan bagi rentas sempadan di antara Malaysia dan Singapura akan dibuka mulai Isnin ini (10 Ogos).

Dalam kenyataannya hari ini, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata warga asing yang menetap di Singapura yang ingin memasuki Malaysia bagi tempoh yang singkat untuk tujuan rasmi dan urusan perniagaan boleh berbuat demikian melalui kemudahan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL).

“RGL juga terpakai untuk warganegara Singapura yang ingin memasuki Malaysia bagi tujuan perniagaan dalam tempoh pendek,” katanya.

Bagi semua warganegara Singapura dan penduduk tetap di Singapura yang mempunyai Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang (PLSJP) untuk bekerja dan perniagaan boleh memasuki Malaysia melalui kemudahan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA).

“Bagi menggunakan kemudahan RGL dan PCA ini, semua pelawat asing perlu membuat permohonan melalui sistem MyTravelPass (MTP) di pautan http://www.mtp.imi.gov.my bermula 10 Ogos,” katanya.

Beliau berkata semua pelawat asing perlu memuat turun aplikasi MySejahtera dan mengaktifkan aplikasi itu dalam telefon mudah alih masing-masing.

Menurutnya pelawat asing yang menggunakan kemudahan RGL, penaja mereka di negara ini perlu membuat permohonan bagi pihak mereka melalui sistem MTP.

“Bagi pelawat asing yang menggunakan kemudahan PCA, majikan mereka di negara ini perlu membuat permohonan bagi pihak mereka melalui sistem MTP,” katanya.

Beliau berkata panduan lengkap tatacara permohonan dan keperluan dokumen bagi kemudahan RGL dan PCA boleh diperoleh menerusi laman web rasmi JIM di www.imi.gov.my dan pihak berkuasa Imigresen Singapura di https://safetravel.ica.gov.sg.

“JIM menasihati semua pelawat asing dan warganegara Malaysia supaya sentiasa mematuhi arahan dan peraturan semasa serta peka dengan pengumuman terkini daripada agensi kerajaan berhubung langkah-langkah pencegahan pandemik Covid-19.

“Tindakan undang-undang yang tegas akan dikenakan ke atas mereka yang ingkar dan gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP),” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Imigresen batal pas lawatan warga asing enggan bayar kos kuarantin

KUALA LUMPUR, 30 JULAI: Jabatan Imigresen Malaysia akan membatalkan Pas Lawatan Jangka Panjang bagi warga asing yang enggan membayar kos kuarantin.

Ketua Pengarahnya Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata keengganan mereka membayar kos tersebut akan menjejaskan usaha kerajaan Malaysia untuk mengekang penularan Covid-19.

“Antara jenis pas yang terlibat ialah pas suami atau isteri kepada warganegara, Pas Lawatan Kerja Sementara, Pas Lawatan Ikhtisas, Pas Penggajian (ekspatriat), Pas ‘Malaysia My Second Home’ (MM2H) dan lain- lain kategori,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihati semua warga asing dan rakyat tempatan mematuhi arahan dan peraturan semasa serta peka dengan pengumuman terkini oleh agensi kerajaan berhubung langkah-langkah pencegahan pandemik Covid-19.

“Mereka akan dikenakan tindakan undang-undang jika ingkar arahan atau gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP),” tegasnya.

Berkuat kuasa 24 Julai lepas, kerajaan mewajibkan semua rakyat tempatan yang pulang dari luar negara serta warga asing yang diberi kebenaran memasuki negara ini menjalani kuarantin 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan serta perlu menanggung kos kuarantin.

Bagi warga asing, mereka dikehendaki menanggung sepenuhnya kos kuarantin berkenaan manakala rakyat tempatan pula perlu membayar kira-kira 44 peratus daripada kos tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Imigresen tahan pendatang asing kerja di stesen minyak

PUTRAJAYA, 19 JUN: Seramai 12 pendatang asing yang bekerja di sebuah stesen minyak yang mempunyai kiosk makanan dan pusat cuci kereta di Petaling Jaya, Selangor ditahan apabila premis itu diserbu Jabatan Imigresen semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata maklumat dan risikan awal mendapati warga asing terbabit bekerja sebagai juruwang, tukang masak, tukang cuci kereta dan pekerja barisan hadapan di premis tersebut.

Enam lelaki warga Bangladesh dan enam lelaki warga India yang ditahan didapati tidak memiliki pas atau permit sah untuk bekerja di premis itu serta menyalahgunakan pas atau permit sedia ada.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, penyalahgunaan pas dan kesalahan lain yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mereka dibawa ke Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya di sini untuk menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk proses dokumentasi setelah keputusan didapati negatif.

Beliau berkata kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk siasatan dan tindakan susulan.

Khairul Dzaimee berkata dua borang 29 (saman saksi) turut dikeluarkan kepada majikan premis perniagaan bagi membantu siasatan.

“Jabatan ini akan terus menjalankan operasi penguatkuasaan dan memastikan semua pegawai Imigresen memberikan komitmen serta mematuhi norma baharu dalam menghadapi wabak Covid-19 bagi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Imigresen tahan 474 PATI dalam 124 operasi

PUTRAJAYA, 3 JAN: Seramai 474 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan daripada 1,871 orang yang diperiksa dalam 124 operasi penguatkuasaan yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam tempoh 24 jam pertama 2020.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, empat orang majikan turut ditahan dalam tempoh operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan bagi memburu saki baki pendatang asing yang ingkar untuk menyerah diri dan pulang ke negara asal melalui program Back For Good (B4G).

Daripada jumlah pendatang asing yang ditahan, warga Indonesia mencatatkan tangkapan tertinggi iaitu seramai 220 orang, diikuti warga China (89), Bangladesh (78), Myanmar (42), Filipina (22) dan bakinya adalah dari negara-negara lain, katanya.

Dalam kenyataan semalam, Khairul Dzaimee berkata, program B4G yang tamat pada 31 Disember lepas (2019), seramai 190,471 pendatang asing mendaftar untuk pulang secara sukarela.

“JIM telah memberikan tempoh yang secukupnya bagi pendatang asing menyerah diri secara sukarela dan pulang melalui program B4G. Namun kesempatan ini tidak diambil sepenuhnya oleh mereka dan sesetengah majikan yang masih berdegil,” katanya.

Menurutnya, majikan yang dikesan menggaji pendatang asing boleh diambil tindakan di bawah empat perundangan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Majikan boleh didakwa di bawah Seksyen 55A untuk membawa masuk pendatang asing secara tidak sah ke dalam negara, Seksyen 55B untuk menggaji pendatang asing, Seksyen 55E untuk membenarkan pendatang asing masuk dan tinggal di premis dan Seksyen 56 (1) (d) untuk kesalahan melindungi pendatang asing.

Selain itu, majikan juga boleh didakwa di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007(Pindaan 2010) (ATIPSOM) jika terdapat elemen-elemen paksaan atau eksploitasi pekerja, katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kebenaran masuk pelancong masih tertakluk kepada peraturan JIM

PUTRAJAYA, 29 DIS: Kebenaran masuk pelancong masih tertakluk kepada peraturan, prosedur dan kawalan imigresen sedia ada di pintu masuk, di mana Notis Penolakan Masuk boleh dikeluarkan sekiranya pelancong terbabit, tersenarai di dalam senarai hitam atau senarai syak Jabatan Imigresen (JIM) atau tergolong dalam kategori imigran larangan.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan hari ini menyatakan, walaupun kerajaan telah memberikan kemudahan pengecualian visa kepada pelancong warganegara China dan India, namun pelancong dari kedua-dua negara berkenaan masih perlu melengkapkan pendaftaran maklumat melalui sistem ‘Electronic Travel Registration and Information’ (eNTRI).

“KDN dan JIM sentiasa memastikan keselamatan negara sebagai keutamaan dan tidak akan berkompromi dalam perkara-perkara yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman negara,” kata KDN dalam kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.

Mengulas isu yang viral di media sosial mengenai satu warta kerajaan bertarikh 23 Disember berkenaan pengecualian visa kepada pelancong dari China berkuatkuasa daripada 1 Januari 2020 sehingga 31 Disember 2020, KDN berkata pewartaan tersebut adalah satu prosedur biasa, yang dibuat setiap tahun semenjak inisiatif itu diperkenalkan pada 2016.

KDN menjelaskan bahawa warta kerajaan berkenaan dikeluarkan menurut Akta Pasport 1966 untuk membolehkan pelaksanaan eNTRI yang merupakan kemudahan tanpa visa bagi pelawat dari China untuk memasuki Malaysia atas tujuan melancong atau lawatan sosial bagi tempoh 15 hari.

Katanya objektif utama pelaksanaan inisiatif ini adalah untuk mengukuhkan industri pelancongan, dengan memberi kemudahan tanpa visa kepada pelancong, yang ingin melawat Malaysia.

“Inisiatif ini telah diumumkan kerajaan semasa pembentangan pengubahsuaian bajet pada 28 Jan 2016 di mana pelancong warganegara China dikecualikan daripada keperluan visa mulai 1 Mac 2016 sehingga 31 Dis 2016 tertakluk kepada syarat-syarat yang tertentu, bagi tempoh lawatan tidak melebihi 15 hari.

“Ia kemudian diperluas kepada pelancong warganegara India pada 1 April 2017, dengan pelanjutan dilaksanakan secara tahunan mengikut keperluan,” katanya.

Mengulas lanjut, KDN berkata kemasukan tanpa visa melalui eNTRI adalah satu penambahbaikan ke atas mekanisma secara Visa On Arrival (VOA), yang mana elemen keselamatan menjadi sebahagian daripada proses eNTRI dan dikawal sepenuhnya oleh JIM.

Jelasnya sistem eNTRI merupakan salah satu langkah kawalan oleh kerajaan melalui JIM yang akan membuat pemantauan dan verifikasi ke atas pelancong yang menggunakan kemudahan tanpa visa berkenaan.

“Selain itu, pelancong juga dikenakan syarat supaya permohonan semula melalui eNTRI hanya boleh dilaksanakan selepas 45 hari dari tarikh pelancong tersebut keluar dari Malaysia.

“Tempoh 45 hari tersebut dikenali sebagai tempoh bertenang yang merupakan salah satu elemen kawalan, bagi mengelakkan penyalahgunaan kemudahan ini,” katanya.

Mengenai dakwaan beberapa pihak-pihak yang cuba mengaitkan kemudahan pengecualian visa tersebut dengan isu pelancong warganegara China yang tinggal melebihi tempoh masa di negara ini, KDN menegaskan JIM sentiasa menjalankan operasi untuk membanteras pendatang asing tanpa izin, termasuk pelancong yang tinggal lebih masa.

“Tindakan tegas diambil terhadap warganegara asing yang didapati melanggar undang-undang imigresen dengan cara menangkap, mendakwa di mahkamah dan mengusir mereka ke negara asal,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Imigresen teliti isu pelancong China, India tinggal lebih masa

BUKIT KAYU HITAM, 3 DIS: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang berat isu jumlah yang tinggi melibatkan pelancong dari China dan India yang tinggal melebihi tempoh di negara ini, seperti yang dinyatakan dalam laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2, semalam.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya telah menyerahkan perkara berkenaan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk diteliti.

“Ada perkara boleh dijelaskan… Yang penting bila sebut ada (pelancong) tak balik, duduk lebih masa, JIM akan susun (kesan) nak tahu di mana mereka berada.

“Tindakan berdasarkan undang-undang imigresen akan dikenakan terhadap mereka, kita nak pastikan bila seseorang berada di negara ini, mesti berada dalam tempoh dibenarkan oleh JIM,” katanya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Projek Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam kepada KDN di sini, hari ini.

Laporan audit semalam menyebut tiada rekod tarikh keluar lebih 95 peratus pelancong China dan India yang melawat ke negara ini antara 2016 sehingga tahun lepas.

Menurut laporan itu, berdasarkan data ketibaan sepanjang tempoh berkenaan, daripada 79,799 warga China, didapati sebanyak 76,258 tidak mempunyai rekod tarikh keluar dari negara ini.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, angka mengenai warga China itu adalah kurang tepat kerana mengikut rekod pihaknya jumlah sebenar pelancong China yang masih belum keluar ialah hanya 18,341 individu.

“Perbezaan ini berlaku mungkin disebabkan mereka masuk menggunakan Sistem Maklumat Pendaftaran Pelancong Elektronik (eNTRI) iaitu kemudahan tanpa visa bagi pelawat dari China dan India.

“Kemudian mereka keluar melalui sistem biasa, rekod pas lawatan sosial biasa, ada kelemahan dari segi sistem teknikal, sebab itu ada perbezaan,” katanya yang berada pada majlis sama.

Khairul Dzaimee berkata, sehubungan itu, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan Jabatan Audit Negara dalam masa terdekat untuk mengemas kini jumlah berkenaan.

Sementara itu, mengenai kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, projek bernilai RM385 juta itu dimulakan pada 14 Jun 2014 dan siap sepenuhnya pada 25 Jun lepas dan beroperasi sepenuhnya pada Ogos.

Kompleks itu antaranya dilengkapkan dengan pagar keselamatan jenis ‘anti-climb’ di keseluruhan kawasannya dan dibantu dengan kira-kira 300 unit kamera litar tertutup berdefinisi tinggi dan mesin pengimbas kargo juga dipasang di laluan kenderaan berat bagi memastikan pemeriksaan lebih rapi dijalankan ke atas semua barangan yang memasuki negara ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Imigresen tolak kemasukan 30,000 warga asing tahun ini

PUTRAJAYA, 12 SEPT: Jabatan Imigresen menolak kemasukan kira-kira 30,000 warga asing ke negara ini kerana tidak memenuhi syarat untuk masuk ke Malaysia, antaranya pelancong dan pekerja asing yang tidak dituntut oleh majikan.

Bilangan mereka yang diberi notis penolakan kemasukan itu adalah bagi tempoh Januari hingga 10 September tahun ini.

Paling tinggi yang tidak dibenar masuk dan diarah pulang semula ialah rakyat Indonesia, Bangladesh dan China walaupun mereka datang dengan pas yang sah di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud dalam temu bual bersama Bernama di pejabatnya di sini.

“Kebanyakan mereka cuba masuk sebagai pelancong dan bila ditanya tempat tinggal mereka tidak tahu, dan di mana mereka ini akan tinggal, pas lawatan sosial cuma mempunyai 30 hari dan mereka mempunyai duit RM200 di dalam poket.

“Mereka ini disyaki masuk untuk bekerja cuba mencari peluang bekerja di mana-mana pusat hiburan. Saya tidak nafikan ada sindiket yang bawa masuk mereka ini pelancong-pelancong wanita daripada China ini,” katanya.

Beliau berkata langkah-langkah pengawasan yang ketat di pintu-pintu masuk negara itu adalah bagi memastikan tiada warga asing yang diragui dapat membolosi pintu-pintu masuk negara sekali gus mengatasi masalah pendatang tanpa izin.

Mengikut statistik pendatang tanpa izin tahun ini (sehingga 10 Sept), sejumlah 12,142 adalah rakyat Indonesia, diikuti Bangladesh (8,056); Myanmar (3,635); Filipina (3,149); Thailand (2,127); India (2,006); Pakistan (1,436); Vietnam (1,313); China (800); Nepal (765) dan lain-lain (1,215).

Khairul Dzaimee berkata pihaknya setiasa berusaha keras untuk memastikan masalah pendatang tanpa izin di negara ini ditangani dan pelbagai langkah dan operasi sentiasa dilaksanakan bagi memastikan Malaysia bebas daripada masalah pendatang tanpa izin.

Sejumlah 12,448 operasi dijalankan di seluruh negara dalam tempoh 1 Jan hingga 10 Sept dengan jumlah keseluruhan warga asing yang diperiksa ialah 146,777 orang dan daripada jumlah itu seramai 36,684 pendatang tanpa izin ditahan. Turut ditahan dalam tempoh itu 922 orang majikan kerana menggaji atau melindungi pendatang tanpa izin.

Turut diperiksa ialah 3,399 prang pemegang kad UNHCR, katanya.

Beliau berkata daripada operai yang dijalankan, kebanyakan warga China masuk sebagai pelancong dan diberi pas lawatan sosial selama 30 hari dan terdapat kes-kes mereka menyalahguna pas sosial dengan bekerja di pusat-pusat hiburan.

“Bagi warga Afrika dan Nigeria pula, kebanyakan mereka ini adalah student mula-mula semestar pertama dan kedua mereka ini belajar, (lepas itu) mula tidak pergi kelas,ponteng, apabila mereka ini fail (gagal) dalam ujian, pas pelajar mereka ini tidak boleh diperbaharui dan (mereka) tinggl lebih masa di sini melakukan pelbagai kesalahan seperti love scam…ramai kami tangkap dalam operasi…itu tidak ada angka, kami akan jumpa mereka ini semasa operasi dijalankan,” katanya.

Beliau berkata agak sukar bagi jabatan itu mengesan mereka yang tinggal lebih masa dan bagi menyelesaikan masalah itu, satu sistem baharu iaitu Imigration Integrated System sedang dibangunkan, yang boleh mengesan mereka yang masuk sebagai pelancong dan tinggal lebih masa.

Bagi warga asing yang berniaga termasuk di pasar-pasar borong pula, beliau berkata perkara itu banyak berkait dengan persepsi masyarakat dan apabila pihaknya mengambil tindakan dengan menjalankan operasi mendapati warga asing berkenaan sebenarnya terdiri daripada mereka yang mempunyai permit yang sah.

“Kadang kala aduan yang diterima melibatkan warga asing yang berniaga terdapat segelintir masyarakat kita apabila melihat warga asing yang berniaga, terus dikatakan pendatang tanpa izin tidak diambil tindakan, sedangkan bila kami membuat semakan mereka ini sebenarnya berkahwin dengan rakyat tempatan.

“Ramai yang berkahwin dengan rakyat tempatan dan mereka boleh menjalankan perniagaan dengan menggunakan lesen atas nama isteri suami warga tempatan itu. InsyaAllah saya akan melakukan yang terbaik untuk menangani isu keberadaan warga asing di negara ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Imigresen nafi kemasukan tiga juta warga China semasa gangguan sistem KLIA

PUTRAJAYA, 26 OGOS: Jabatan Imigresen hari ini menafikan dakwaan yang tular dalam media sosial mengenai kemasukan tiga juta warga China dan kemasukan tidak teratur warga asing ke Malaysia semasa gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud dalam kenyataan hari ini berkata, semasa sistem Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) di KLIA mengalami ganguan, proses pemeriksaan kemasukan warga asing oleh jabatan itu dilakukan secara manual.

Semua pelawat asing juga perlu mematuhi syarat serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan pelawat asing.

“Selain itu, semua langkah keselamatan turut dipertingkatkan termasuk melakukan pemantauan berterusan oleh pasukan pemantau dan penguatkuasa di balai ketibaan dan perlepasan antarabangsa serta kawasan satelit,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, sistem telah mula beroperasi secara berperingkat mulai semalam dan semua proses pemeriksaan masuk pelawat asing berjalan seperti biasa.

Justeru, Khairul Dzaimee menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu tentang kesahihan sesuatu berita sebelum membuat sebarang perkongsian dan menjadikan ia tular.

Sistem rangkaian di KLIA yang mengalami gangguan sejak Rabu malam (21 Ogos) dilihat semakin pulih sejak Sabtu, selepas MAHB melakukan penggantian perkakasan rangkaiannya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Imigresen nafi biadap ke atas saudara Pesuruhjaya Tinggi Namibia

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan dakwaan pegawai jabatan itu bertindak biadap terhadap dua anak saudara lelaki Pesuruhjaya Tinggi Namibia ke Malaysia dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Ogos lepas.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dua lelaki berkenaan dibawa ke pejabat operasi JIM di KLIA hanya untuk mendapatkan keterangan lanjut berkaitan lawatan sosial mereka ke negara ini.

“Kedua-dua mereka sebelum itu gagal memberikan jawapan yang memuaskan hati semasa di kaunter ketibaan imigresen,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, media melaporkan Pesuruhjaya Tinggi Namibia, Anne Namakau Mutelo mendakwa dua anak saudaranya, Adventure Simataa Simasiku dan Roydie Mabengano Simasiku ditahan seorang pegawai Imigresen selama tiga jam selepas tiba di negara ini pada 6.25 petang.

Mutelo mendakwa tindakan pegawai itu telah mencabuli hak warga Namibia kerana menahan mereka secara tidak sah.

Khairul Dzaimee berkata, susulan kejadian itu, pihaknya akan menghantar surat bantahan kepada Wisma Putra berhubung tindakan Mutelo yang mencampuri urusan serta prosedur operasi standard (SOP) jabatan itu.

Katanya, ketika kejadian, Mutelo telah meluru masuk ke pejabat operasi dan mempersoalkan SOP jabatan yang tidak sewajarnya dilakukan oleh seorang Pesuruhjaya Tinggi.

“Satu surat bantahan akan dihantar minggu depan kerana beliau (Mutelo) mencampuri urusan dan SOP agensi kerajaan serta menimbulkan perkara yang tidak benar,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Premis kiriman wang haram di kedai runcit diserbu

GEORGE TOWN, 2 OGOS: Taktik seorang peniaga berselindung di sebalik premis barangan runcit untuk menjalankan perkhidmatan kiriman wang ke luar negara secara haram terbongkar selepas kedai di tingkat dua bangunan Komtar di sini diserbu pihak berkuasa semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang, Muhamad Husni Mahmud, berkata sepasukan pegawai penguat kuasa Bank Negara Malaysia (BNM) dan JIM negeri menyerbu premis itu pada jam 11.30 pagi selepas menerima maklumat mengenai aktiviti pemilik premis tersebut.

Beliau berkata pegawai BNM menahan pemilik premis dan seorang pekerjanya, berusia 40-an, yang merupakan rakyat tempatan ketika menjalankan urusan pengiriman wang ke luar negara di sebuah bilik kecil dalam kedai runcit tersebut.

Beliau berkata pihaknya turut melakukan pemeriksaan terhadap beberapa pelanggan yang berada di sekitar kedai tersebut sebelum menahan empat lelaki dan seorang wanita warga Myanmar.

“Kesemua warga asing berusia 25 hingga 35 tahun itu ditahan kerana tiada dokumen perjalanan yang sah serta tinggal lebih masa,” katanya di sini malam ini.

Beliau berkata kesemua lima warga asing itu dibawa ke Depot Imigresen Juru untuk tindakan lanjut. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

PTPTN: Senarai hitam peminjam langkah terakhir

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 4 APR: Penyenaraian hitam peminjam dalam rekod Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) merupakan langkah terakhir digunakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai peringatan supaya menjelaskan bayaran.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching berkata, langkah itu dibuat selepas notis peringatan dan pembayaran balik dihantar kepada peminjam yang mempunyai tunggakan lebih enam bulan selepas belajar.

“Ia bukan perkara menindas, menghukum atau membebankan peminjam tetapi lebih kepada membantu dan mendidik peminjam mengambil langkah memulakan pembayaran balik secara konsisten bagi mengelakkan mereka lebih terbeban di kemudian hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali di Dewan Rakyat.

Menurutnya, prosedur penyenaraian hitam itu selaras dengan peruntukan Seksyen 22A Akta PTTN 1997, Akta 566 yang membenarkan PTTN menyenarai hitam peminjam dengan kerjasama JIM.

Katanya, langkah itu memberikan kesan positif apabila hampir 60 peratus peminjam yang disenarai hitam tampil berbincang untuk melakukan penstrukturan semula bayaran pinjaman sehingga Februari 2018 dengan kutipan RM1.84 bilion.