Categories
AGENSI SELANGOR

33 kematian akibat denggi di Selangor, menurun berbanding tahun lalu

SHAH ALAM, 11 OGOS: Sebanyak 33 kematian akibat denggi direkodkan di Selangor sejak Januari hingga 8 Ogos lalu berbanding 37 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor berkata jumlah kes demam denggi juga mencatat penurunan sehingga minggu epid (ME) 32 iaitu 34,736 kes berbanding 46,121 tahun lalu.

“Sepanjang minggu lalu 646 kes sama dilaporkan iaitu turun 8.8 peratus berbanding 708 kes pada minggu sebelumnya.

“Lima daerah utama mencatatkan kes demam denggi tertinggi adalah Petaling dengan 12,333 kes diikuti Hulu Langat (6,689), Klang (6,169), Gombak (4,986) dan Sepang (1,941),” kata Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman dalam kenyataan.

Beliau berkata jumlah lokaliti wabak denggi aktif adalah 280 dengan perincian lokaliti panas sebanyak 35, wabak tidak terkawal (21), wabak terkawal (213) dan wabak baharu (11).

“Bilangan lokaliti panas berdasarkan daerah adalah Petaling (13), Hulu Langat (15) manakala Klang dan Hulu Selangor masing-masing dua,” katanya.

Dr Sha’ari menyaran komuniti di kawasan kediaman dan tempat kerja melaksanakan gotong-royong secara berkala dengan mengamalkan pendekatan norma baharu seperti memastikan penjarakan fizikal satu meter dan memakai pelitup muka.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kilang ais, mesin jual air dan premis air minuman berbungkus tiada lesen disita

SHAH ALAM, 25 JULAI: Dua kilang ais, 29 mesin jual air (MJA) dan sebuah premis air minuman berbungkus (AMB) disita Jabatan Kesihatan Selangor kerana beroperasi tanpa lesen.

Pengarahnya Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman berkata tindakan dibuat menerusi Ops Lesen yang dijalankan ke atas 17 kilang ais, 35 MJA dan tiga premis AMB di seluruh Selangor pada 21 hingga 23 Julai lalu.

“Tujuh notis 32B mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009 dikeluarkan kepada pemilik kilang ais iaitu kesalahan ditemui pada pengendali makanan serta kewajipan tuan punya, pemunya atau penghuni premis.

“Semua MJA tidak berlesen disita dan diberikan notis Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dengan amaran serta tindakan undang-undang akan diambil sekiranya pemilik premis membenarkan pemunya MJA menggunakan utiliti seperti bekalan elektrik dan air untuk terus beroperasi tanpa lesen,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata MJA yang disita akan dipantau pejabat kesihatan daerah dan tindakan pelupusan diambil jika pemiliknya tidak memohon lesen perniagaan dalam tempoh diberikan.

Sementara itu, Dr Sha’ari menjelaskan premis AMB yang mendapat penilaian tahap kebersihan akan diberikan arahan tindakan penambahbaikan dan notis kompaun mengikut Seksyen 32B PPKM 2009.

“Nasihat dan pendidikan kesihatan juga diberikan kepada pemilik premis untuk terus memastikan tahap kebersihan dan keselamatan berada pada tahap optimum,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19: Selangor catat dua kes baharu, keseluruhan 2,062

SHAH ALAM, 6 JULAI: Selangor mencatatkan dua kes baharu Covid-19 hari ini dengan masing-masing satu jangkitan dari luar negara dan penularan tempatan.

Jabatan Kesihatan Negeri memaklumkan jumlah itu sama seperti semalam daripada keseluruhan lima kes di Malaysia hari ini.

“Satu kes positif direkodkan di Gombak membabitkan warga tempatan iaitu saringan kontak rapat yang merupakan ahli keluarga kepada kes ke-8,649 manakala bagi kes jangkitan luar negara membabitkan pengembara dari New Zealand,” katanya dalam kenyataan.

Perkembangan itu menjadikan jumlah kes kumulatif di Selangor 2,062 dan 151 kes jangkitan dari luar negara sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Secara keseluruhan daerah Hulu Langat kekal mencatatkan kes kumulatif tertinggi dengan 631 kes diikuti Petaling (437), Gombak (260), Klang (190), Sepang (153), Hulu Selangor (77), Kuala Selangor (69), Kuala Langat (64) dan Sabak Bernam (30).

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19: Tujuh kes baharu di Selangor jangkitan luar negara

SHAH ALAM, 4 JULAI: Selangor mencatatkan tujuh kes baharu Covid-19 hari ini dengan kesemuanya membabitkan jangkitan dari luar negara.

Jabatan Kesihatan Negeri memaklumkan jumlah itu meningkat berbanding tiga semalam tanpa membabitkan penularan dalam kalangan warga tempatan daripada keseluruhan 10 kes di Malaysia.

“Tujuh kes dilaporkan melibatkan pengembara dari Arab Saudi dan semua kes luar negara setakat ini adalah 148,” katanya dalam kenyataan.

Peningkatan ini menjadikan jumlah kes kumulatif di Selangor adalah 2,058 sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Secara keseluruhan Hulu Langat kekal mencatatkan kes kumulatif tertinggi dengan 631 kes diikuti Petaling (437), Gombak (259), Klang (190), Sepang (153), Hulu Selangor (77), Kuala Selangor (69), Kuala Langat (64) dan Sabak Bernam (30).

Tiga kes penularan tempatan yang direkodkan hari ini membabitkan dua rakyat Malaysia di Kuala Lumpur dan Sabah sementara satu bukan warganegara di Negeri Sembilan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Jabatan Kesihatan Selangor pantau SOP sekolah

SHAH ALAM, 24 JUN: Kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor memantau tatacara operasi piawaian (SOP) sekolah yang kembali dibuka hari ini, kata pengarahnya.

Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata pihaknya meneliti pengendalian pengambilan suhu badan serta penjarakan sosial pelajar.

“Kami jugak memantau aspek pembungkusan makanan yang dijual kantin sama ada ia mengikut ketetapan atau sebaliknya dan ia bukan hanya dilakukan di sekolah tetapi sektor pengilangan,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Sesi persekolahan kembali dibuka selepas ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa 18 Mac lalu.

Bagaimanapun ia hanya membabitkan pelajar yang menduduki peperiksaan awam dan antarabangsa pada tahun ini.

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

18 kes baharu Covid-19 di Selangor, satu mati

SHAH ALAM, 24 APRIL: Selangor hari ini merekodkan pertambahan 18 kes positif Covid-19 dengan 15 daripadanya di daerah Hulu Langat menjadikan jumlah kes kumulatif setakat ini adalah 1,387 kes.

Pusat Kesiagaan dan Tindakan Krisis (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri Selangor memaklumkan satu kes kamatian baharu dicatat di Petaling menjadikan jumlah keseluruhan 15 kematian setakat ini.

Gombak pula merekodkan pertambahan dua kes baharu manakala satu lagi kes melibatkan kes luar negara.

Berdasarkan statistik, terdapat 276 kes aktif di Selangor manakala 1,084 orang sembuh sehingga jam 4 petang.

Secara keseluruhan Hulu Langat kekal dengan jumlah kes wabak tertinggi iaitu 471 kes diikuti Petaling (373), Klang (173) dan 146 kes di Gombak.

Bagi kes rakyat Malaysia pulang dari luar negara dan dikuarantin di Selangor pula terdapat 13 kes dengan 10 daripadanya dari Indonesia dan baki dari Turki.

Categories
AGENSI SELANGOR

Elak sesak, jabatan kesihatan sedia khidmat hantar ubat pos

SHAH ALAM, 14 APRIL: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menyediakan perkhidmatan penghantaran ubat melalui pos (UMP) bagi mengurangkan kesesakan di seluruh fasiliti kesihatan negeri itu.

Agensi kerajaan itu dalam kenyataan memaklumkan kos penghantaran menerusi perkhidmatan itu ditanggung sepenuhnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bermula 5 April sehingga 30 Jun depan.

“Pesakit boleh menggunakan perkhidmatan tersebut secara percuma dan mereka boleh menghubungi pihak farmasi di fasiliti kesihatan untuk mendaftar,” katanya dalam kenyataan di Facebook semalam.

JKNS turut memaklumkan beberapa kriteria bagi melayakkan pesakit menyertainya seperti ubat berbentuk dos tablet atau kapsul dan ubat bukan jenis psikotropik.

“Ini termasuk ubat tidak memerlukan penyimpanan khusus dan pesakit yang mendapat rawatan di fasiliti kesihatan KKM,” kata kenyataan itu.

Pada 7 April lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pesakit yang diberikan rawatan ubat bagi penyakit kronik disaran menggunakan perkhidmatan Tambah Nilai Farmasi (VAS) sedia ada di fasiliti KKM meliputi UMP, farmasi pandu lalu, Locker4U dan sistem temu janji farmasi.

Katanya langkah itu bagi mengelakkan daripada terganggu selain mengekalkan jarak sosial sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).