Categories
PBT SELANGOR

MPKj: Kes denggi di Hulu Langat turun lebih 80 peratus

HULU LANGAT, 3 OKT: Kes demam denggi di Hulu Langat menunjukkan penurunan lebih 80 peratus setakat September tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Najmuddin Jemain berkata lokaliti panas wabak itu juga semakin berkurangan sejak awal tahun ini.

“Kes denggi di Hulu Langat menunjukkan penurunan drastik berbanding tahun sebelum yang mana daerah ini sering mencatat kes tertinggi.

“Saya percaya faktor kurangnya kes kerana tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), masyarakat duduk di rumah dan mereka lebih prihatin untuk menjaga kebersihan persekitaran masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Semenyih Prihatin Sungai di Pekan Semenyih di sini hari ini.

Pada masa sama, Najmuddin menasihatkan orang awam agar terus kekal berwaspada dan meluangkan masa kira-kira 10 minit untuk membersihkan kediaman dengan memusnahkan takungan Aedes.

“Komitmen penuh dan kerjasama semua penduduk Hulu Langat amatlah diharapkan bagi memastikan kes denggi terus berkurang,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Selangor catat 553 kes demam denggi pada minggu epid ke-39

SHAH ALAM, 1 OKT: Sebanyak 553 kes demam denggi dilaporkan di Selangor bagi minggu epid ke-39 iaitu dari 20 hingga 26 September lalu berbanding 524 pada minggu sebelumnya.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata jumlah itu meningkat 5.5 peratus namun keseluruhan 38,865 kes dicatat setakat ini menurun 30.3 peratus iaitu 16,908 berbanding 55,773 pada minggu sama tahun lalu.

“Lima daerah utama mencatatkan kes demam denggi tertinggi ialah Petaling dengan 13,608 kes; Hulu Langat (8,091); Klang (6,440); Gombak (5,603) dan Sepang (2,198),” kata Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Beliau berkata, jumlah lokaliti wabak denggi aktif sebanyak 192 dengan 20 lokaliti ‘hotspot’, 14 wabak tidak terkawal, 148 wabak terkawal dan 10 wabak baharu.

“Sebanyak 36 kematian dilaporkan dalam tempoh ini iaitu penurunan 25 peratus (12 kes) berbanding 48 pada minggu sama tahun lalu,” katanya.

Dr Sha’ari menyeru komuniti di kawasan kediaman dan tempat kerja supaya melaksanakan gotong-royong secara berkala dengan mengamalkan pendekatan norma baharu.

Katanya, semua takungan air tidak digunakan di persekitaran perlu dimusnahkan manakala bagi takungan kekal harus sentiasa ditutup atau diletak ubat pembunuh jentik-jentik dan diperiksa seminggu sekali.

Categories
AGENSI SELANGOR

33 kematian akibat denggi di Selangor, menurun berbanding tahun lalu

SHAH ALAM, 11 OGOS: Sebanyak 33 kematian akibat denggi direkodkan di Selangor sejak Januari hingga 8 Ogos lalu berbanding 37 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor berkata jumlah kes demam denggi juga mencatat penurunan sehingga minggu epid (ME) 32 iaitu 34,736 kes berbanding 46,121 tahun lalu.

“Sepanjang minggu lalu 646 kes sama dilaporkan iaitu turun 8.8 peratus berbanding 708 kes pada minggu sebelumnya.

“Lima daerah utama mencatatkan kes demam denggi tertinggi adalah Petaling dengan 12,333 kes diikuti Hulu Langat (6,689), Klang (6,169), Gombak (4,986) dan Sepang (1,941),” kata Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman dalam kenyataan.

Beliau berkata jumlah lokaliti wabak denggi aktif adalah 280 dengan perincian lokaliti panas sebanyak 35, wabak tidak terkawal (21), wabak terkawal (213) dan wabak baharu (11).

“Bilangan lokaliti panas berdasarkan daerah adalah Petaling (13), Hulu Langat (15) manakala Klang dan Hulu Selangor masing-masing dua,” katanya.

Dr Sha’ari menyaran komuniti di kawasan kediaman dan tempat kerja melaksanakan gotong-royong secara berkala dengan mengamalkan pendekatan norma baharu seperti memastikan penjarakan fizikal satu meter dan memakai pelitup muka.