Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Umat Islam disaran semak kiblat sempena Istiwa’ A’dzam

SHAH ALAM, 25 MEI: Umat Islam disaran tidak melepaskan peluang melakukan semakan kiblat sempena fenomena Istiwa’ A’dzam pada Jumaat ini.

Jabatan Mufti Selangor menerusi Facebook memaklumkan fenomena itu akan berlaku sekitar jam 5.16 petang.

Anda boleh melakukan semakan dengan tatacara berikut:
– Memastikan waktu yang tepat (dail 1051 untuk semakan jam) atau rujuk waktu Sirim di pautan berikut mst.sirim.my
– Menggunakan objek yang tegak dan lurus
– Halakan objek ke arah cahaya matahari
– Bayang yang terhasil daripada objek tersebut akan menunjukkan ke arah kiblat
– Tandakan garis bayang yang terhasil
– Tempoh semakan bermula jam 5:10 – 5:40 petang

Istiwa’ A’dzam ialah kedudukan matahari tepat berada di atas Kaabah dengan fenomena ini berlaku dua kali dalam setahun.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jabatan Mufti Selangor sedia nota poket, panduan solat Aidilfitri

SHAH ALAM, 22 MEI: Jabatan Mufti Negeri Selangor menyediakan nota poket digital solat sunat Aidilfitri bagi memudahkan umat Islam mengerjakannya di rumah masing-masing pada hari kebesaran itu.

Nota berkenaan boleh didapati menerusi Facebook jabatan berkenaan yang boleh dimuatnaik secara percuma.

Antara yang disediakan termasuk panduan takbir raya, tatacara solat sunat, waktu solat, amalan sunat boleh dilakukan serta teks khutbah Aidilfitri dalam bahasa Melayu dan juga tulisan Jawi.

Pada 20 Mei lalu, Jabatan Agama Islam Selangor memaklumkan umat Islam di Selangor tidak dibenarkan melaksanakan solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau di negeri ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Bagaimanapun hanya imam, bilal dan siak yang dijadualkan bertugas di masjid dan surau sahaja diberikan kebenaran.

Siaran takbir dan pelaksanaan solat sunat Aidilfitri boleh diikuti melalui Facebook Live Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Categories
AGENSI SELANGOR

Jabatan Mufti dedah asas ilmu takwim, cerap kepada awam

SHAH ALAM, 9 OKT: Sejumlah 26 peserta terdiri daripada kakitangan awam dan juga pelajar mengikuti Kursus Falak Takwim dan Cerapan anjuran Bahagian Falak Jabatan Mufti Negeri Selangor, baru-baru ini.

Pejabat Mufti Selangor melalui kenyataan berkata, kursus di Institut Latihan Dakwah Selangor itu turut mendedahkan peserta dengan amali cerapan untuk memberi pengalaman yang lebih praktikal.

“Di antara modul yang disampaikan melalui kursus ini adalah Asas Teori Teknik Pengimejan Hilal, Kaedah Penentuan Awal Bulan Islam dan pengenalan takwim,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, majlis penyampaian sijil disampaikan oleh Penolong Mufti Kanan Bahagian Falak, Hardi Mohamad Sadali dan Pegawai Sains Balai Cerap Selangor, Norameen Burhanuddin.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mufti syukur permohonan SIS ditolak

SHAH ALAM, 28 OGOS: Jabatan Mufti Negeri Selangor bersyukur atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan Sisters In Islam (SIS), untuk mengisytiharkan Fatwa Liberalisme dan Pluralisme Agama sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Mufti Selangor, Dato’ Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, keputusan itu jelas mengiktiraf semua fatwa diputuskan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan diwartakan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta Kerajaan Negeri sah mengikat semua umat Islam dalam Negeri Selangor di bawah seksyen 49 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

“Sehubungan itu, Jabatan Mufti Negeri Selangor mengajak semua umat Islam untuk mematuhi fatwa itu dan semua fatwa lain yang sudah diwartakan.

“Khususnya fatwa berkaitan dengan fahaman dan ajaran yang menyeleweng dari ajaran Islam sebenar menurut pegangan ahli Sunnah Wal Jamaah, demi menjaga kemuliaan, kesucian dan kemurnian akidah Islamiah serta Syariat Islam di negeri ini,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Tamyes berkata, pihaknya turut menyeru mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme untuk bertaubat dan kembali ke jalan Islam.

“Jabatan ini juga mengajak semua umat Islam untuk istiqamah dalam menuntut ilmu Islam sebenar dari ulama yang berwibawa dan bertauliah agar tidak mudah terjebak dengan fahaman serta ajaran yang sesat juga menyeleweng,” katanya.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman oleh SIS serta pemohon bersama, Zainah Anwar dan Zaid Ibrahim untuk mengisytiharkan Fatwa Liberalisme dan Pluralisme Agama diwartakan pada 17 Julai 2014 sebagai tidak sah dan berperlembagaan.

Hakim Datuk Nordin Hassan membuat keputusan selepas mendapati mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes itu yang termaktub dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.