Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Umat Islam disaran semak kiblat sempena Istiwa’ A’dzam

SHAH ALAM, 25 MEI: Umat Islam disaran tidak melepaskan peluang melakukan semakan kiblat sempena fenomena Istiwa’ A’dzam pada Jumaat ini.

Jabatan Mufti Selangor menerusi Facebook memaklumkan fenomena itu akan berlaku sekitar jam 5.16 petang.

Anda boleh melakukan semakan dengan tatacara berikut:
– Memastikan waktu yang tepat (dail 1051 untuk semakan jam) atau rujuk waktu Sirim di pautan berikut mst.sirim.my
– Menggunakan objek yang tegak dan lurus
– Halakan objek ke arah cahaya matahari
– Bayang yang terhasil daripada objek tersebut akan menunjukkan ke arah kiblat
– Tandakan garis bayang yang terhasil
– Tempoh semakan bermula jam 5:10 – 5:40 petang

Istiwa’ A’dzam ialah kedudukan matahari tepat berada di atas Kaabah dengan fenomena ini berlaku dua kali dalam setahun.

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Mufti: Jangan ragui status vaksin Covid-19

GEORGE TOWN, 15 FEB: Orang ramai, khususnya umat Islam dinasihatkan agar mengetepikan perasaan ragu terhadap vaksin Covid-19 dan berpegang pada pandangan Muzakarah Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang memutuskan hukumnya harus dan halal digunakan oleh orang Islam.

Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor turut menasihati umat Islam agar tidak terpengaruh dengan dakyah golongan antivaksin, khususnya berhubung pengambilan vaksin Covid-19 bagi membendung penularan pandemik berkenaan.

“Agama Islam mewajibkan umatnya mengambil langkah-langkah perlu untuk mengelak daripada terkena jangkitan penyakit, malah memelihara nyawa termasuk antara matlamat syariah dan menolak pengambilan vaksin bererti mendedahkan diri kepada bahaya sedangkan sikap sebegini dilarang oleh syarak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya umat Islam juga tidak mempunyai sebab untuk terus meragui vaksin tersebut memandangkan ahli muzakarah yang memutuskan status dan hukum vaksin itu merupakan pakar dalam bidang profesional dan akademik yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja.

Pada 4 Februari lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata kerajaan akan memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara tiga fasa mulai hujung bulan ini, dengan menyasarkan sebanyak 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu menerima vaksin itu yang akan diberikan secara percuma.

Fasa pertama dari Februari hingga April untuk kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan sementara fasa kedua dari April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan manakala fasa ketiga adalah bagi golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas dari Mei ini hingga Februari tahun depan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Memaknai Nuzul Al-Quran, hikmah di sebalik Covid-19

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Sambutan Nuzul Al-Quran 1441 Hijrah menyaksikan suasana normal baharu umat Islam dengan penghayatannya dirasai lebih mendalam dan penuh keinsafan berikutan ujian akibat wabak Covid-19 yang melanda dunia sejak akhir Disember lepas.

Tanpa perhimpunan serta perkumpulan di masjid dan surau untuk bersama-sama bertadarus dan menghadiri majlis khatam Al-Quran sebagai mematuhi perintah kawalan pergerakan, umat Islam di Malaysia kali ini melakukannya bersama keluarga di rumah masing-masing, selain secara dalam talian bersama-sama ustaz dan ustazah pengajian kalam Allah.

Meriah atau tidak sambutannya seharusnya bukan indikasi bahawa umat Islam tidak boleh mengambil pelbagai ibrah atau pengajaran yang terdapat daripada peristiwa bersejarah Al-Quran, yang diturunkan kepada Rasul terakhir umat manusia iaitu Nabi Muhamad SAW, pada 17 Ramadan.

Al-Quran bukan sekadar memberi pedoman ibadah tetapi kompas petunjuk pelbagai bidang kehidupan seharian manusia, merentasi zaman dan memandu manusia mentadbir urus kehidupan makhluk dan alam semesta.

Memasuki fasa akhir Ramadan bulan suci umat Islam, apakah cukup sekadar memperingati peristiwa Nuzul Al-Quran tanpa memahami isi kandungannya?

Mengupas hal berkenaan, Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni berkata yang paling penting adalah bagaimana umat Islam dapat terus menghayati kepentingan dan signifikan peristiwa itu melalui cara sentiasa mendekatkan diri dengan Al-Quran dan mentadabbur (mempelajari) ilmu kitab suci itu.

“Cara terbaik menghayati Nuzul Quran ini ialah dengan kita menjadikannya sebagai titik-tolak untuk kita mengubah cara dan sikap kita terhadap Al-Quran terutama dari segi pembacaan dan pengamalannya. Jika sebelum ini, kita mungkin agak jauh dari Al-Quran maka inilah waktu terbaik untuk mendampinginya.

“Apa yang paling penting adalah usaha kita untuk belajar memahami isi kandungannya dan mengamalkan setiap perintah dan larangan Allah yang disampaikan melalui Al-Quran,” katanya kepada Bernama.

Dalam era teknologi maklumat, kemudahan Internet dan aplikasi telefon pintar mampu mempermudahkan penghayatan Al-Quran serta membolehkan muslimin dan muslimat mengikuti kelas pengajian Al-Quran dalam talian.

Mengupas lanjut kepentingan mentadabbur isi kandungan Al-Quran dengan kesannya terhadap kehidupan seharian manusia, Ehsan, 48, berkata banyak ayat Al-Quran menegaskan pentingnya umat manusia mematuhi setiap arahan Allah, Rasul dan pemimpin mereka.

“Kita ambil contoh isu yang paling dekat sekarang ialah pandemik Covid-19 yang pada akhirnya kerajaan Malaysia terpaksa melaksanakan PKP dan kini PKPB bagi menjaga kemaslahatan (kebaikan) rakyat, jika tidak dilaksana PKP akan mengancam nyawa rakyat namun jika dilaksana, ekonomi negara pula terancam.

“Jika dilihat dari segi kaedah perundangan Islam, ini disebut sebagai ‘urus tadbir pemimpin (kerajaan) adalah berdasarkan kemaslahatan rakyat’. Kita sebagai rakyat haruslah mematuhi perintah kerajaan kerana pastinya mereka telah membuat keputusan yang terbaik untuk semua,” jelasnya.

Ehsan berkata, umat Islam khususnya perlulah sentiasa memperbaiki akhlak dan peribadi diri, selaras dengan apa yang dituntut dalam Al-Quran dan menjelmakan pengamalan akhlak Al-Quran dalam kehidupan seharian.

“Contohnya, dalam Al-Quran banyak sebut tentang pentingnya berakhlak mulia dan berbicara dengan kata-kata yang mulia. Kita lihat pada zaman sekarang dalam media sosial, terlalu mudah kita mengeji dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap orang lain, ini sesuatu yang perlu kita perbaiki dan wajib kita mencontohi akhlak mulia disarankan Al-Quran dan Nabi Muhammad SAW,” tegasnya.

Bagi pensyarah kanan di Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Dr Mohd Shahid Mohd Noh berkata dalam menghayati peristiwa Nuzul Al-Quran, umat Islam perlulah sentiasa menginsafi kelemahan diri sebagai makhluk dan sentiasa mengesakan tuhan lebih-lebih lagi ketika menghadapi ujian seperti wabak Covid-19, ancaman virus makhluk kecil biarpun manusia dilengkapi dengan sistem perubatan moden.

“Kita lihat sekarang Allah uji kita dengan wabak Covid-19 yang juga adalah siri-siri wabak yang pernah berlaku kepada umat terdahulu, hendaklah kita menginsafi akan kelemahan kita terutama sekiranya kita melanggar kehendak dan hukum Allah SWT.

“Hendaklah kita teruskan berdoa dan memperbaiki sifat dan hubungan kita (dengan tuhan, manusia dan alam). Mudah-mudahan dengan kebaikanNya kita dirahmati oleh Allah dan dihindarkan dari segala bencana,” katanya.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

OIC perlu penstrukturan semula untuk tangani cabaran umat Islam

MAKKAH, 1 Jun: Penjaga Dua Kota Suci Islam, Raja Salman Abdulaziz al Saud mahu melaksanakan penstrukturan semula terhadap Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya mampu menangani cabaran serantau dan antarabangsa yang dihadapi umat Islam ketika ini.

“Melalui jawatan pengerusi OIC yang disandang kali ini, Arab Saudi akan berusaha untuk bekerjasama dengan negara-negara anggota bagi mempercepatkan pelaksanaan tindakan bersama untuk mencapai hasrat umat Islam sejagat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Sidang Kemuncak OIC ke-14 di Istana Royal Sofa di sini pada Sabtu pagi.

Raja Salman turut melahirkan rasa dukacita terhadap pelarian Islam di seluruh dunia yang mencatatkan bilangan peratusan tertinggi, yang berlaku akibat pergolakan dan peperangan, selain kehilangan nikmat keamanan di negara sendiri.

Baginda turut menegaskan negaranya sedang berusaha meraikan pelbagai pandangan daripada negara-negara Islam untuk mengatasi pergolakan dan peperangan yang berlaku.

“Pada masa yang sama juga, Arab Saudi terus menghulurkan bantuan menerusi badan kemanusian demi kedaulatan, keamanan dan kestabilan seluruh negara Islam,” katanya.

Raja Arab Saudi itu berkata isu Palestin adalah perkara asas dalam gerak kerja pertubuhan OIC.

“Ia (isu Palestin) menjadi tumpuan kami supaya rakyat Palestin mendapat semula segala hak mereka dan dijamin resolusi legitimasi antarabangsa dan Inisiatif Damai Arab 2002.

“Kami sekali lagi menyatakan pendirian menolak sebarang langkah yang akan menjejaskan status sejarah dan undang-undang negara Palestin,” katanya.

Persidangan Bertemakan: “Sidang Kemuncak Makkah: Bersama-sama menuju ke arah Masa Depan”, dihadiri para pemimpin dari 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk bersatu menegakkan pendirian berhubung isu dan peristiwa yang sedang melanda Dunia Islam.

Sidang kemuncak itu juga mengeluarkan ‘Deklarasi Makkah’ dan pernyataan akhir, untuk menangani pelbagai isu terkini di dunia Islam. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pembunuhan Rakyat Mesir, Kerajaan Malaysia Membisu?

Anwar PC 2

PETALING JAYA 29 JULAI : Sikap membisu Kerajaan Malaysia berhubung isu pembunuhan rakyat Mesir mengundang rasa kesal umat Islam di negara ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa kesal terhadap Datuk Seri Najib Razak kerana tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan bagi mengecam pembunuhan beramai-ramai penduduk Mesir itu.

“Kita mengutuk keras tindakan ini dan bukan sahaja umat Islam dan negara-negara yang cintakan keadilan harus membantah pembunuhan beramai-ramai oleh rejim tentera yang zalim apatah lagi di bulan Ramadan ini.

“Saya kesal sehingga ke hari ini Kerajaan Malaysia belum mengeluarkan apa-apa kenyataan, maknanya pembunuhan beramai-ramai itu tidak langsung menyentuh perasaan dan sikap mereka,” katanya.

Turki mengepalai beberapa lain lantang mengutuk serangan yang mengorbankan lebih 300 penduduk Mesir baru-baru ini, tetapi situasi berbeza dipraktikkan Kerajaan Malaysia kerana masih membisu.

Baru-baru ini, tentera kerajaan sementara pimpinan Jeneral Abdel Fattah al-Sissi bertempur dengan penyokong Presiden yang digulingkan, Dr Mohamamad Morsi dan ahli Ikhwanul Muslimin dalam perhimpunan aman di beberapa bandar di Mesir.