Categories
NASIONAL

16 anggota Umno cabar penangguhan pemilihan parti di mahkamah

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 20 APR: 16 anggota cawangan Umno hari ini memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk kebenaran semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang membenarkan Umno melanjutkan masa mengadakan pemilihan parti di semua peringkat.

Pemohon berusia antara 30 hingga 55 tahun adalah daripada 11 cawangan di enam negeri dan menamakan ROS dan Setiausaha Kerja Umno, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai responden.

Memetik laporan Malaysiakini, mereka juga memohon perintah mandamus untuk mewajibkan ROS menggunakan Seksyen 13, 14, 16 dan 66 Akta Pertubuhan untuk menyiasat Umno berdasarkan surat-menyurat yang dihantar kepada ROS.

Selain itu, mereka juga memohon perintah mandamus untuk memaksa ROS mengambil tindakan serta-merta ke atas Rauf kerana didakwa melanggar Perkara 9.3, 9.4, 15.3, 18.2 dan 10.16 Perlembagaan Umno kerana tidak mengadakan pemilihan parti dalam tempoh 18 bulan ditetapkan.

Di samping itu, mereka juga memohon supaya Umno dibubarkan sementara sebaik sahaja ROS menyelesaikan siasatannya berhubung dakwaan melanggar perlembagaan parti.

Mereka juga memohon mahkamah mewajibkan ROS untuk mengeluarkan notis di bawah Seksyen 14 (2) dan 14 (5) di bawah Akta Pertubuhan bagi notis pembubaran sementara dan pembubaran muktamad.

Secara tambahan, pemohon juga mahu mahkamah memaksa ROS untuk menggantung semua aktiviti Umno sehingga kes permohonan semakan kehakiman selesai.

Pemohon juga mahu pengisytiharan bahawa semua bahagian Umno dan Majlis Tertinggi Umno tidak mempunyai kuasa yang sah dari segi undang-undang untuk beruruasan dan terbatal atau terbubar berkuatkuasa hari ini, 20 April 2018.

Mereka juga mahu perintah bahawa keseluruhan institusi atau pertubuhan yang dipanggil dan atau dikenali sebagai Umno adalah tidak sah dan terbatal atau terbubar mulai hari ini juga.

Ini berikutan hujah mereka bahawa hari terakhir untuk bahagian-bahagian mengadakan pemilihan mereka adalah pada 28 Februari dan hari terakhir untuk Majlis Tertinggi adalah semalam (19 April).

Kali terakhir, bahagian-bahagian Umno mengadakan pemilihan mereka adalah pada 31 Ogos 2013 dan sepatutnya pemilihan baru seharusnya diadakan pada 31 Ogos 2016 tetapi diberikan lanjutan masa 18 bulan oleh ROS.

Categories
NASIONAL

PAKATAN fail prosiding hina mahkamah terhadap ROS

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 11 APR: Pakatan Harapan (PAKATAN) akan memfailkan permohonan kebenaran merujuk Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), Surayati Ibrahim kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan menghina mahkamah, petang ini.

Peguam PAKATAN, Michelle Ng dan Mohd Haniff Khatri Abdulla berkata, mereka juga akan memfailkan sijil perakuan segera bagi permohonan menghina itu dibicarakan pada kadar segera.

“Permohonan ini (menghina mahkamah) akan didengar terlebih dahulu daripada substansif berhubung merit cabaran PAKATAN terhadap ROS dalam tidak membenarkan pendaftaran gabungan itu.

“Kami berharap untuk mendapatkan tarikh perbicaraan sebelum pilihan raya,” katanya

Memetik laporan Malaysiakini, beliau berkata demikian kepada media selepas pengurusan kes hari ini.

Sementara itu, Ng berkata Hakim Datuk Azizah Nawawi juga menetapkan 15 Mei sebagai pengurusan kes berhubung permohonan utama PAKATAN sementara Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan mewakili Jabatan Peguam Negara.

Menerusi laporan media sebelum ini, PAKATAN mahu memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran untuk merujuk Surayati dan ROS ke prosiding menghina mahkamah.

Ini susulan langkah ROS membubarkan komponen PAKATAN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Khamis lalu, kira-kira dua jam sebelum pendengaran permohonan merit permohonan gabungan itu untuk didaftarkan secara rasmi.

Hakim Azizah kemudian membenarkan penangguhan ke tarikh 11 April untuk sebutan kes sementara menunggu kedua-dua belah pihak memfailkan dokumen-dokumen berkaitan.