Categories
AGENDA NASIONAL

Jepun serah keperluan cegah Covid-19 kepada Jabatan Penjara

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Kerajaan Jepun hari ini menyerahkan sumbangan barangan pencegahan COVID-19 bernilai AS$450,000 (RM1.88 juta) sebagai sokongannya untuk mengukuhkan sistem penjara dengan menangani masalah kesesakan dan meningkatkan respons Covid-19 dalam penjara di rantau Asia Tenggara.

“Barangan itu diserahkan kepada Jabatan Penjara Malaysia, melalui Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC),” kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kedutaan Jepun di sini.

Penyerahan yang merangkumi 20,000 unit kit ujian kendiri (air liur) ujian antigen Covid-19 dan 5,000 unit sut bertutup pengasingan pembedahan dengan pelindung but, sebagai tanda persahabatan dan kerjasama yang sekian lama terjalin sekian di antara Jepun, Malaysia dan UNODC.

Dengan disaksikan oleh duta Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko, sumbangan itu diserahkan oleh Penyelaras Pejabat UNODC di Malaysia, Asma Sainkoudje kepada Komisioner Jeneral Penjara Malaysia Datuk Nordin Muhammad.

“Sejumlah AS$6,404,545 (RM26.8 juta) telah disumbangkan kepada bidang kerjasama lain di Asia Tenggara melalui UNODC pada 2021,” tambah kenyataan itu. (AS$1 = RM4.18)

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Jabatan Penjara teliti guna sistem AI

KAJANG, 22 APRIL: Jabatan Penjara Malaysia sedang meneliti penggunaan Sistem Artificial Intelligence (AI) bagi memperkukuh sistem keselamatan pemenjaraan.

AI adalah satu sistem yang berupaya untuk berfikir sendiri menerusi pembelajaran mesin dan ia dicipta untuk membolehkan komputer melakukan kerja-kerja dengan lebih baik berbanding manusia.

Ketua pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Omar berkata, bagaimanapun perkara berkenaan masih dalam peringkat perbincangan lagi.

Beliau berkata, perkara itu dibincangkan dalam forum Intelligence Smart Prison bersama tujuh negara yang telah menggunakan sistem AI antaranya Jepun, Kanada serta Singapura.

“Objektif utama forum ini adalah untuk mendapat pendedahan kepada sistem pengurusan penjara di negara maju dan perkongsian kisah kejayaan mengenai sistem kepenjaraan yang lebih maju di negara berkenaan termasuk AI.

“Forum ini yang diadakan selama dua hari, diharap dapat memberi peluang kepada Jabatan Penjara Malaysia untuk merungkai isu dihadapi dengan lebih jelas, sekali gus menyelesaikan isu berkenaan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian forum itu di Ibu Pejabat Jabatan Penjara Malaysia, di sini.

Selain itu, Zulkifli berkata, pihaknya berharap dapat memperkukuh ‘pemulihan komuniti’ dengan membenarkan banduan menjalani hukuman dalam kalangan komuniti. -BERNAMA