Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Kecerdasan Buatan bantu tingkat untung, ekonomi – penganalisis

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Kecerdasan Buatan (AI) merupakan perkembangan yang paling hebat selepas Internet dan berpotensi untuk meningkatkan keuntungan di seluruh sektor, walaupun masih di awal pembangunan, kata seorang penganalisis.

Pengarah Bersama Portfolio Pengurus, Penganalisis Penyelidikan Kanan dan Teknologi Allianz Global Investors, Stephen Jue berkata AI berpotensi untuk meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi dalam nilai tahunan merentasi 16 industri menjelang 2035.

Sebagai contoh, industri maklumat dan komunikasi, dengan pertumbuhan asas sebanyak 3.4 peratus, mempunyai potensi untuk berkembang sehingga 4.8 peratus manakala industri pembuatan, dengan pertumbuhan asas 2.1 peratus, boleh ditingkatkan sebanyak 4.4 peratus.

“Perkembangan dalam infrastruktur 5G juga akan meningkatkan keupayaan teknologi dengan membolehkan peranti Internet Pelbagai Perkata (IoT) untuk disambungkan kepada internet, oleh itu, mampu memacu keupayaan yang lebih pintar pada masa akan datang,” katanya dalam satu webinar yang bertajuk “Teknologi dan Kecerdasan Buatan – Pelaburan untuk Normal Baharu atau ke Masa Hadapan?”, yang dianjurkan oleh RHB Asset Management.

Beliau ketika mengulas mengenai adaptasi AI sekarang ini berkata teknologi tani, dron dan traktor automatik sedang menguasai aplikasi pertanian, manakala dalam sektor runcit, kedai tanpa juruwang sedang dibina.

Keupayaan dan sistem AI turut digunakan dalam sektor penjagaan kesihatan bagi mengesan sel barah, demam dan tanda-tanda awal Alzheimer pada kadar yang lebih baik daripada doktor manusia.

“Kita akan melihat keupayaan ini terus berkembang dalam sektor penjagaan kesihatan yang berkaitan dengan AI. Malahan semasa wabak Covid-19, penjujukan virus itu dibuat dalam masa hanya 30 hari berbanding hampir enam bulan apabila kita mengalami SARS sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan Ekuiti Asia Pasifik, RHB Asset Management di Singapura, Tan Jee Toon berkata pembangunan AI yang semakin pesat telah meningkatkan risiko gangguan dalam profesion tertentu.

Agak malang untuk profesion yang boleh dioptimumkan atau melibatkan pengurangan strategi atau elemen kreatif kepadanya, kemungkinan untuk pekerjaan ini diambil alih oleh AI adalah tinggi.

“Sebaliknya, semakin bertambah interaksi sosial yang diperlukan dalam sesuatu pekerjaan atau industri anda, risiko untuk anda digantikan oleh AI adalah kurang, contohnya, ahli psikiatri, ketua pegawai eksekutif, pekerja sosial dan sebagainya.

“Pekerjaan yang berada dalam zon bahaya adalah wakil khidmat pelanggan, ejen insurans, ahli radiologi, juruwang dan tukang masak restoran,” tambahnya lagi.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Bidang statistik perlu berubah kepada AI

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 24 APRIL: Bidang statistik perlu beralih kepada penggunaan Kepintaran Buatan (Artificial Intelligence), khususnya dalam membuat ramalan setiap kemungkinan senario yang bakal berlaku, pada masa hadapan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, penekanan itu memandangkan dunia kini tertumpu kepada era ‘Data Revolution’, ‘Big Data’ dan ‘Data Analytics’.

Malah, katanya, statistik bukan sahaja digunakan sebagai alat mengukur prestasi semasa, malahan sudah memasuki fasa lebih kompleks.

“Dunia kini juga sedang berdepan Revolusi Perindustrian yang memasuki peringkat keempat atau Lonjakan Industri 4.0 (IR4.0) yang menyaksikan evolusi sistem pengkomputeran dan proses automasi berlaku dengan pesat.

“Justeru, mendepani fenomena ini, statistik mampu membantu kerajaan dan penggubal dasar dalam merencanakan dampak lonjakan industri ini yang memberi faedah kepada pembangunan negara serta rakyat secara holistik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Seminar Ekonomi Selangor Dan Majlis ‘Kick Off’ Banci Perdagangan Borong & Runcit 2019, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nor Azmie Diron dan Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Amirudin berkata, terdapat beberapa inovasi yang diperkenalkan bagi meningkatkan keupayaan statistik dalam mendepani evolusi yang berlaku dalam ekonomi.

“Antaranya adalah menerbitkan statistik baharu berkenaan penggunaan Teknologi Maklumat (ICT) dan e-Dagang dalam perniagaan, inovasi dan pembiayaan, penggunaan ‘Research & Development’ (R&D) serta perbelanjaan terhadap alam sekitar.

“Statistik ini berupaya mengenal pasti revolusi dialami oleh peniaga bagi mengukur tahap persediaan mereka khasnya dalam menghadapi IR4.0 yang memerlukan perubahan dibuat seiring dengan perkembangan digital untuk kekal berdaya saing,” katanya.

Categories
NASIONAL

Jabatan Penjara teliti guna sistem AI

KAJANG, 22 APRIL: Jabatan Penjara Malaysia sedang meneliti penggunaan Sistem Artificial Intelligence (AI) bagi memperkukuh sistem keselamatan pemenjaraan.

AI adalah satu sistem yang berupaya untuk berfikir sendiri menerusi pembelajaran mesin dan ia dicipta untuk membolehkan komputer melakukan kerja-kerja dengan lebih baik berbanding manusia.

Ketua pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Omar berkata, bagaimanapun perkara berkenaan masih dalam peringkat perbincangan lagi.

Beliau berkata, perkara itu dibincangkan dalam forum Intelligence Smart Prison bersama tujuh negara yang telah menggunakan sistem AI antaranya Jepun, Kanada serta Singapura.

“Objektif utama forum ini adalah untuk mendapat pendedahan kepada sistem pengurusan penjara di negara maju dan perkongsian kisah kejayaan mengenai sistem kepenjaraan yang lebih maju di negara berkenaan termasuk AI.

“Forum ini yang diadakan selama dua hari, diharap dapat memberi peluang kepada Jabatan Penjara Malaysia untuk merungkai isu dihadapi dengan lebih jelas, sekali gus menyelesaikan isu berkenaan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian forum itu di Ibu Pejabat Jabatan Penjara Malaysia, di sini.

Selain itu, Zulkifli berkata, pihaknya berharap dapat memperkukuh ‘pemulihan komuniti’ dengan membenarkan banduan menjalani hukuman dalam kalangan komuniti. -BERNAMA

Categories
GLOBAL SAINS & INOVASI

China guna teknologi AI atasi masalah kekurangan doktor

SHANGHAI 22 SEPT: Teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) bakal digunakan di China bagi membantu masalah kekurangan doktor.

China memiliki kurang daripada 12 juta kakitangan kesihatan pada tahun 2017 dengan populasi negara itu yang mencecah hampir 1.4 bilion, menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan.

 

Terbaharu, sebuah syarikat teknologi tinggi tempatan membangunkan peranti kecil yang mempunyai gelang separuh terbuka bagi merekodkan kadar degupan jantung.

Ia merupakan salah satu usaha yang menyasarkan untuk membantu masalah kekurangan doktor dengan menggabungkan data besar dan teknologi AI.

Peranti yang dihasilkan oleh Ping An Good Doctor itu dipamerkan pada Ekspo AI Dunia 2018 di Shanghai ketika pembuat dasar China berusaha untuk menjadikan negara itu sebagai pendahulu teknologi global.

Salah seorang pengunjung ekspo itu, Qu Jiangquo, 64, berkata dia datang ke Shanghai untuk melihat bagaimana rawatan perubatan gaya China boleh dilakukan tanpa doktor sebenar.

“Saya telah mencuba peralatan yang mengambil denyutan nadi secara automatik dan menerima hasil dalam tempoh dua minit melalui telefon bimbit. Tanpa kehadiran seorang doktor, itu akan menjadi sangat mudah,” katanya.

Ping An Good Doctor yang tersenarai di Hong Kong baru-baru ini mempunyai salah satu platform penjagaan kesihatan dalam talian terbesar China dengan 228 juta pesakit berdaftar.

Jurucakap syarikat, Bi Ge berkata, mereka menerima 500,000 permohonan bagi mendapatkan nasihat perubatan setiap hari.

Mesin mengambil denyutan nadi itu merupakan sebahagian daripada sistem bantuan perubatan AI Ping An Good Doctor yang membolehkan pesakit melakukan pemeriksaan awal segera dan mendapatkan preskripsi tanpa perlu ke hospital.

Perkhidmatan yang ditawarkan termasuk aplikasi telefon pintar dengan pesakit memasukkan data peribadi, sejarah perubatan dan menerangkan simptom yang dialami kepada ‘penyambut tetamu’ AI yang akan menghantar maklumat berkenaan kepada doktor sebenar untuk didiagnosis.

“Ia pasti dapat mengurangkan masalah kekurangan doktor di China,” kata bekas doktor di Hospital Kolej Perubatan Kesatuan Peking, Liu Kang.

SUMBER: AFP

Categories
NASIONAL

Obama perlu bersuara, beritahu Najib rekod hak asasi Malaysia teruk

KUALA LUMPUR, 28 APRIL: Amnesty International (AI) Amerika Syarikat mendesak Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama bersuara kepada pihak berkuasa Malaysia berkenaan isu pelanggaran hak asasi manusia di negara ini.

Pengarah Advokasi Antarabangsa, T Kumar turut mendesak Obama untuk menggesa Malaysia menuntut pemansuhan undang-undang yang digunakan pihak berkuasa Malaysia untuk menangkap dan memenjarakan aktivis dan pembela hak asasi manusia.

“Ini termasuk Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi, Akta Mesin Cetak & Akta Penerbitan dan Akta Perhimpunan Aman.

121204_barack_obama_ap_605“Lawatan Presiden Obama ke Malaysia boleh mewujudkan peluang penting untuk menolak penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa Malaysia dalam menjamin hak asasi manusia.

“Hak asasi manusia di Malaysia semakin teruk dan Presiden Obama perlu bersuara bagi hak rakyat yang sedang didiamkan pemerintah Malaysia,” katanya yang dipetik daripada Keadilan Daily.

Pada masa sama, Amnesty International turut menggesa Obama melihat keputusan Mahkamah Rayuan menjatuhi hukuman lima tahun penjara ke atas Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes Fitnah II yang jelas bermotif politik.

“Pemerintah (Malaysia) bertahun secara terang-terangan menyerang suara pembangkang yang penting.

“Presiden Obama perlu beritahu Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak secukupnya supaya rekod hak asasi manusia di Malaysia dibaiki,” katanya.