Categories
SELANGOR

Kenderaan OKU, “Jom Shoping” Musim Perayaan Cadangan Dialog Bajet 2013

KUALA LANGAT, 19 JULAI: Pengangkutan pesakit kronik dan Orang Kelainan Upaya (OKU) bagi menjalani rawatan dan meluaskan skim ‘Jom Shoping’ di musim perayaan merupakan antara cadangan yang dibawa oleh peserta ke sesi majlis tersebut di peringkat daerah ini.

Wakil dari Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Majlis Kanser Nasional (Makna) Kuala Langat, Jacob Mathews, perhatian harus diberikan kepada pesakit yang menghadapi kesukaran bergerak untuk mendapatkan rawatan di hospital.

“Sesetengah mereka nak bergerak dalam rumah sendiri pun susah dan ada yang pakai kerusi roda.

“Kalau ada kenderaan khas untuk ambil dan hantar mereka pulang tentu banyak memudahkan mereka untuk ke hospital buat rawatan,” kata beliau.

Selain itu menurut beliau, kenderaan tersebut juga boleh dimanfaatkan untuk membantu golongan OKU mendapatkan rawatan di hospital.

Jacob merupakan antara 100 peserta ke Sesi Dialog Bajet 2013 Selangor pagi tadi di Dewan Seri Jugra hari ini.

Dalam sesi dialog itu, peserta daripada pelbagai latar belakang mengadakan perbincangan berkumpulan dan merumuskan cadangan yang akan dikemukakan kepada Kerajaan Negeri dalam perancangannya untuk belanjawan 2013.

Program dalam Skim Mesra Usia Emas (SMUE), ‘Jom Shoping’ yang diperkenalkan Kerajaan Negeri turut mendapat perhatian peserta.

“Bagus kalau Skim ‘Jom Shoping’ yang ada sekarang dikembangkan untuk warga emas berbelanja di musim perayaan sebab kita tahu bila tiba musim perayaan pelbagai persiapan perlu disediakan.

“Mungkin dengan adanya program ‘Jom Shoping’ di musim perayaan dapat menambahkan kegembiraan warga emas,” kata Jacob.

Beliau juga menyarankan agar Kerajaan Negeri memperbaiki dan menaikkan taraf Stadium Jugra agar dapat dimanfaatkan masyarakat di Kuala Langat.

“Stadium Jugra adalah sebuah stadium yang dah melahirkan ramai atlit peringkat negeri dan juga kebangsaan, tetapi sekarang stadium itu dah tua, banyak kerosakkannya.

“Jadi, tadi ada dicadangkan agar kemudahan Stadium Jugra dibaik pulih supaya boleh dimanfaatkan oleh penduduk Kuala Langat dan melahirkan generasi sihat,” katanya lagi.

Menurut Jacob, majlis dialog seumpama ini merupakan salah satu alternatif untuk rakyat Selangor mengemukakan sebarang cadangan untuk dipertimbangkan Kerajaan Negeri.

“Dah tiga tahun dialog macam ini diadakan dan saya lihat memang baik untuk rakyat dan Kerajaan Negeri sebab rakyat dapat memberi pandangan dan kerajaan pula dapat mengetahui apa yang perlu dilakukan. Ia satu program yang patut dipuji,” Ujar Jacob.