Categories
SELANGOR

Konsert Fenomena D’Pop kumpul dana RM10,000

OLEH AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Konsert Fenomena D’Pop anjuran Wide Lanes Event & Management, di Dewan Banquet Platinum Menara Felda, di sini, malam tadi berjaya mengumpul dana berjumlah RM10,000.

Dana hasil tajaan meja membabitkan syarikat korporat, agensi kerajaan, kelab peminat dan individu perseorangan itu disumbangkan kepada Majlis Kanser Nasional (MAKNA).

Lebih bermakna, konsert amal yang julung kali diadakan itu mendapat sokongan daripada Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) selaku penaung.

Yang Dipertua PEKAWANIS, Masdiana Muhamad berkata, pihaknya berbesar hati dapat bersama menyertai aktiviti berkenaan, sekali gus menjadikan pertubuhan itu lebih dikenali ramai.

“Saya ucapkan tahniah kepada pengajur dan penderma serta bersyukur atas sambutan diberikan.

”Semoga ia dapat diteruskan, pada masa akan datang dan ini menjadi landasan terbaik buat PEKAWANIS sebagai tanda keprihatinan kami yang menyokong penganjuran program amal sebegini,” katanya kepada Media Selangor.

Konsert itu menghimpunkan artis genre pop dan dangdut yang popular pada era 70 hingga 90 an, sekali gus mengimbau nostalgia hadirin yang hadir.

Kategori pop menampilkan nama besar seperti Dato’ Jamal Abdillah, Dato’ Nassier Wahab, Zamani, Siti Nordiana, Rohana Jalil dan Zur Eda.

Sementara artis dangdut menyaksikan kemunculan Dato’ M Daud Kilau, Haiza dan Amelina yang membuat kemunculan setelah lama menyepi dalam industri.

Hadir sama YAM Raja Shuibah Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah; isteri kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datin Seri Shamshida Taharin dan wakil MAKNA, Farahida Datuk Mohd Farid.

Jualan tiket dibahagikan kepada empat kategori iaitu RM1,000 (Platinum); RM500 (Emas); RM300 (Perak) dan RM200 seorang untuk ruang duduk Zamrud atau Emerald.

Categories
SELANGOR

Kenderaan OKU, “Jom Shoping” Musim Perayaan Cadangan Dialog Bajet 2013

KUALA LANGAT, 19 JULAI: Pengangkutan pesakit kronik dan Orang Kelainan Upaya (OKU) bagi menjalani rawatan dan meluaskan skim ‘Jom Shoping’ di musim perayaan merupakan antara cadangan yang dibawa oleh peserta ke sesi majlis tersebut di peringkat daerah ini.

Wakil dari Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Majlis Kanser Nasional (Makna) Kuala Langat, Jacob Mathews, perhatian harus diberikan kepada pesakit yang menghadapi kesukaran bergerak untuk mendapatkan rawatan di hospital.

“Sesetengah mereka nak bergerak dalam rumah sendiri pun susah dan ada yang pakai kerusi roda.

“Kalau ada kenderaan khas untuk ambil dan hantar mereka pulang tentu banyak memudahkan mereka untuk ke hospital buat rawatan,” kata beliau.

Selain itu menurut beliau, kenderaan tersebut juga boleh dimanfaatkan untuk membantu golongan OKU mendapatkan rawatan di hospital.

Jacob merupakan antara 100 peserta ke Sesi Dialog Bajet 2013 Selangor pagi tadi di Dewan Seri Jugra hari ini.

Dalam sesi dialog itu, peserta daripada pelbagai latar belakang mengadakan perbincangan berkumpulan dan merumuskan cadangan yang akan dikemukakan kepada Kerajaan Negeri dalam perancangannya untuk belanjawan 2013.

Program dalam Skim Mesra Usia Emas (SMUE), ‘Jom Shoping’ yang diperkenalkan Kerajaan Negeri turut mendapat perhatian peserta.

“Bagus kalau Skim ‘Jom Shoping’ yang ada sekarang dikembangkan untuk warga emas berbelanja di musim perayaan sebab kita tahu bila tiba musim perayaan pelbagai persiapan perlu disediakan.

“Mungkin dengan adanya program ‘Jom Shoping’ di musim perayaan dapat menambahkan kegembiraan warga emas,” kata Jacob.

Beliau juga menyarankan agar Kerajaan Negeri memperbaiki dan menaikkan taraf Stadium Jugra agar dapat dimanfaatkan masyarakat di Kuala Langat.

“Stadium Jugra adalah sebuah stadium yang dah melahirkan ramai atlit peringkat negeri dan juga kebangsaan, tetapi sekarang stadium itu dah tua, banyak kerosakkannya.

“Jadi, tadi ada dicadangkan agar kemudahan Stadium Jugra dibaik pulih supaya boleh dimanfaatkan oleh penduduk Kuala Langat dan melahirkan generasi sihat,” katanya lagi.

Menurut Jacob, majlis dialog seumpama ini merupakan salah satu alternatif untuk rakyat Selangor mengemukakan sebarang cadangan untuk dipertimbangkan Kerajaan Negeri.

“Dah tiga tahun dialog macam ini diadakan dan saya lihat memang baik untuk rakyat dan Kerajaan Negeri sebab rakyat dapat memberi pandangan dan kerajaan pula dapat mengetahui apa yang perlu dilakukan. Ia satu program yang patut dipuji,” Ujar Jacob.

Categories
SELANGOR

Serah geran RM10,000 kepada MAKNA

SHAH ALAM : Kerajaan negeri menganugerahkan geran bernilai RM10,000 kepada Majlis Kanser Negara(MAKNA) dan tanah seluas satu ekar kepada  HOSPICE menyokong usaha mendidik rakyat agar lebih peka dalam isu berkaitan kesihatan.

Perkara ini diumumkan  Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr. Xavier Jayakumar ketika merasmikan Program Kesedaran Kesihatan Bagi Penjawat Awam Negeri Selangor yang diadakan di ruang legar Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Program yang mendapat kerjasama Makna dan HOSPICE ini bermatlamat memberi kesedaran kesihatan kepada para penjawat awam serta mereka yang bekerja di pelbagai agensi kerajaan yang lain.

“Dalam program ini, MAKNA menerangkan aspek kepentingan langkah pencegahan, pengesanan awal, pemeriksaan dan rawatan kesihatan yang perlu serta mendedahkan gaya hidup yang sihat bagi mengelakkan kanser.

“Tumpuan diberikan kepada wanita yang lebih berisiko untuk menghidapi kanser payudara dan kanser serviks,” beritahu Dr Xavier yang juga merupakan Adun Seri Andalas.

Dalam program ini, MAKNA menerangkan aspek kepentingan langkah pencegahan, pengesanan awal, pemeriksaan dan rawatan kesihatan yang perlu serta mendedahkan gaya hidup yang sihat bagi mengelakkan kanser.

Tumpuan diberikan kepada wanita yang lebih berisiko untuk menghidapi kanser payudara dan kanser serviks.

HOSPICE pula berkepakaran dalam program rawatan perubatan dan emosi untuk pesakit yang  tenat akibat menghidapi penyakit-penyakit yang membawa maut seperti kanser tahap tiga, AIDS dan sebagainya.

Peranan HOSPICE adalah penting bagi memastikan pesakit dapat menangani situasi yang dihadapinya dan mewujudkan ketenteraman.