Categories
AGENDA NASIONAL

Plus saran masuk lebuh raya sebelum 9 pagi

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Plus Malaysia Berhad (Plus) menasihatkan pelanggan dari utara dan selatan yang ingin kembali ke Lembah Klang pada 4 hingga 6 Februari ini supaya mematuhi Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) dan mula memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi.

Menurut Plus dalam kenyataan hari ini, jumlah trafik meningkat pada bari kedua sambutan Tahun Baharu Cina (2 Februari) apabila Lebuhraya Utara-Selatan menyaksikan lonjakan trafik dari semua negeri dan ia dijangka berulang pada 5 dan 6 Februari (Sabtu dan Ahad) berikutan orang ramai yang mengambil cuti tambahan sempena cuti sekolah akan memulakan perjalanan kembali ke Lembah Klang.

“Kami menggesa orang ramai supaya merancang perjalanan pulang yang selamat dengan merujuk kepada TTA dikeluarkan,” kata Ketua Pegawai Operasi Plus Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.

Bagi pengguna yang dalam perjalanan dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Johor dan negeri-negeri lain dinasihatkan melakukan perjalanan sebelum 9 pagi di Lebuhraya Utara-Selatan untuk pulang ke Lembah Klang.

Plus membuat persediaan rapi untuk memastikan pelanggan lebuh raya menikmati perjalanan pulang yang selesa dengan menyediakan pasukan PlusRonda tambahan untuk membantu mereka yang mungkin menghadapi masalah kerosakan kenderaan di lebuh raya.

Plus juga bekerjasama dengan Polis Trafik (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang di sepanjang lebuh raya, menempatkan pasukan RELA untuk pengurusan trafik di plaza tol dan kawasan rehat serta menyediakan maklumat trafik melalui pelbagai saluran komunikasi Plus.

“Pastikan baki kad Touch ‘n Go atau Touch ‘n Go e-Wallet (untuk transaksi RFID) anda mencukupi untuk menikmati perjalanan yang selesa di plaza tol dan sentiasa mematuhi SOP pencegahan Covid-19 di R&R serta hentian sebelah,” katanya.

Dapatkan maklumat dan keadaan trafik terkini melalui platfom media sosial PLUS seperti Twitter, Instagram, Facebook, LinkedIn, Youtube dan laman web www.plus.com.my atau menerusi Aplikasi Plus untuk membantu anda merancang perjalanan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PLUS keluar jadual cadangan waktu perjalanan sempena Aidiladha

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: PLUS Malaysia Bhd (PLUS) hari ini mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk saranan waktu yang sesuai memulakan perjalanan di lebuh raya sempena sambutan Aidiladha.

PLUS dalam kenyataannya hari ini menyarankan pelanggan lebuh raya dari Kuala Lumpur atau Selangor yang menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor supaya memasuki lebuh raya lebih awal, sebelum pukul 10 pagi.

“Pelanggan yang menuju ke lain-lain negeri pula disarankan supaya memasuki lebuh raya selepas 2 petang bermula hari ini sehingga 30 Julai.

“Bagi perjalanan pulang semula ke Lembah Klang, jadual TTA menyarankan agar semua pelanggan lebuh raya daripada semua negeri memasuki lebuh raya sebelum 9 pagi, antara 1 hingga 3 Ogos ini,” menurut kenyataan itu.

PLUS juga akan menutup lorong tambah nilai di plaza tol untuk mengurangkan intervensi terus transaksi tunai dalam kalangan kakitangan PLUS dan pelanggan lebuh raya bagi membendung penularan Covid-19.

Oleh itu, pelanggan lebuh raya diminta memastikan kad Touch ‘n Go mempunyai baki yang mencukupi dengan menambah nilai di stesen minyak, kiosk layan diri (SSK), kedai serbaneka, mesin ATM dan lain-lain lokasi yang disediakan di seluruh negara sebelum memasuki lebuh raya.

Sementara itu, pelanggan lebuh raya juga disaran menggunakan perkhidmatan prapesanan makanan yang terdapat di 16 kawasan rehat dan rawat (R&R) terpilih bagi menjaga penjarakan sosial dalam kalangan orang ramai di tempat umum.

PLUS turut menghentikan sementara kerja penyelenggaraan dan naik taraf lebuh raya bermula hari ini hingga 3 Ogos serta menyediakan kren dan trak tunda di 14 lokasi strategik bagi mempercepatkan kerja pengalihan dan penundaan kenderaan rosak atau terlibat dengan kemalangan di lebuh raya.

PLUS juga menempatkan kira-kira 3,500 kakitangan di dalam ekosistem lebuh raya PLUS untuk membantu semua pelanggannya menikmati perjalanan yang lancar pada musim perayaan kali ini.

– BERNAMA