Categories
AGENDA NASIONAL

PLUS: Rancang perjalanan, elak kesesakan cuti hujung minggu

KUALA LUMPUR, 29 DIS: PLUS Malaysia Bhd (PLUS) hari ini mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA), untuk mengelakkan kesesakan akibat peningkatan jumlah kenderaan semasa cuti hujung minggu yang panjang.

PLUS dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini memaklumkan, TTA sempena sambutan Krismas dan Tahun Baru itu menyarankan jadual perjalanan yang sama untuk tempoh 22 Dis hingga 19 Jan 2021.

“Pengguna lebuh raya dari Lembah Klang menuju ke destinasi lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Perak Utara dan Johor disarankan memasuki lebuh raya sebelum 9 pagi.

“Bagi mereka yang melakukan perjalanan ke Pantai Timur serta Melaka dan Negeri Sembilan untuk memasuki lebuh raya selepas 12 tengah hari. Ketika kembali ke Lembah Klang, PLUS TTA menyarankan kepada semua pengguna supaya memasuki lebuh raya pada 9 pagi,” menurut kenyataan itu.

PLUS juga menasihatkan para pelanggannya supaya memastikan mereka mempunyai baki yang mencukupi dalam kad Touch’n Go mereka.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rentas negeri, PLUS ingatkan pengguna patuh SOP kekang Covid-19

KUALA LUMPUR, 6 DID: PLUS Malaysia Bhd (PLUS) mengingatkan pengguna lebuh raya melakukan perjalanan rentas negeri yang dibenarkan mulai esok agar terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

PLUS dalam kenyataan hari ini menasihatkan orang ramai antara lain supaya memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal serta mendaftarkan diri menggunakan aplikasi MySejahtera apabila singgah di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah dan restoran jejantas di sepanjang lebuh raya.

“PLUS mengalakkan pelanggan lebuh raya yang melakukan perjalanan agar lebih bertanggungjawab semasa situasi wabak Covid-19 ini.

“Pengguna lebuh raya boleh menyemak status destinasi yang dituju daripada perspektif Covid-19 sebelum memulakan perjalanan yang boleh didapati menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau Aplikasi MySejahtera,” menurut kenyataan itu.

Pengendali lebuh raya berkenaan turut mengingatkan orang ramai agar membuat urusan tambah nilai kad Touch ‘n Go lebih awal dan memastikan baki mencukupi sebelum memasuki lebuh raya bagi menggalakkan transaksi tanpa sentuh dan tanpa tunai yang berperanan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Orang ramai juga dinasihatkan memuat turun Aplikasi PLUS untuk pelbagai urusan yang memudahkan perjalanan termasuk membuat prapesanan makanan di R&R terpilih bagi mengurangkan masa menunggu dan beratur membeli makanan selain menjaga penjarakan fizikal lebih efisien.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Semakan semula kurangkan kadar tol di peringkat akhir

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Kerajaan kini sedang dalam peringkat akhir perbincangan semakan semula pengurangan kadar tol secara purata sebanyak 18 peratus di lebuh raya Plus yang telah dilaksanakan di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata semakan tersebut sedang diteliti semula oleh beberapa pihak, termasuklah Kementerian Kewangan, Kementerian Kerja Raya dan Unit Kerjasama Awam-Swasta Jabatan Perdana Menteri (UKAS).

“Dalam membuat keputusan, kita mengambil kira semua kepentingan. Dan sudah tentu, apabila kita kaji semula, ia bermakna kita merasakan bahawa penyelesaian yang dibuat oleh kerajaan PAKATAN, boleh diperbaiki lagi. Itu sebabnya dibuat kajian semula,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Tony Pua (PH-Damansara) yang mempersoalkan keperluan untuk membuat kajian semula penstrukturan semula kadar tol.

Buat masa ini, semua pengguna lebuh raya milik Plus kecuali kelas dua dan tiga serta kelas enam dan kelas tujuh untuk Jambatan Pulau Pinang menikmati diskaun kadar tol secara purata sebanyak 18 peratus.

“Mengikut anggaran Kerajaan terdahulu, pemberian diskaun ini dijangka memberikan penjimatan sehingga kira-kira RM1,130 juta setahun kepada pengguna lebuh raya Plus sehingga 31 Disember 2038,” kata Mustapa.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PLUS keluar jadual cadangan waktu perjalanan sempena Aidiladha

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: PLUS Malaysia Bhd (PLUS) hari ini mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk saranan waktu yang sesuai memulakan perjalanan di lebuh raya sempena sambutan Aidiladha.

PLUS dalam kenyataannya hari ini menyarankan pelanggan lebuh raya dari Kuala Lumpur atau Selangor yang menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor supaya memasuki lebuh raya lebih awal, sebelum pukul 10 pagi.

“Pelanggan yang menuju ke lain-lain negeri pula disarankan supaya memasuki lebuh raya selepas 2 petang bermula hari ini sehingga 30 Julai.

“Bagi perjalanan pulang semula ke Lembah Klang, jadual TTA menyarankan agar semua pelanggan lebuh raya daripada semua negeri memasuki lebuh raya sebelum 9 pagi, antara 1 hingga 3 Ogos ini,” menurut kenyataan itu.

PLUS juga akan menutup lorong tambah nilai di plaza tol untuk mengurangkan intervensi terus transaksi tunai dalam kalangan kakitangan PLUS dan pelanggan lebuh raya bagi membendung penularan Covid-19.

Oleh itu, pelanggan lebuh raya diminta memastikan kad Touch ‘n Go mempunyai baki yang mencukupi dengan menambah nilai di stesen minyak, kiosk layan diri (SSK), kedai serbaneka, mesin ATM dan lain-lain lokasi yang disediakan di seluruh negara sebelum memasuki lebuh raya.

Sementara itu, pelanggan lebuh raya juga disaran menggunakan perkhidmatan prapesanan makanan yang terdapat di 16 kawasan rehat dan rawat (R&R) terpilih bagi menjaga penjarakan sosial dalam kalangan orang ramai di tempat umum.

PLUS turut menghentikan sementara kerja penyelenggaraan dan naik taraf lebuh raya bermula hari ini hingga 3 Ogos serta menyediakan kren dan trak tunda di 14 lokasi strategik bagi mempercepatkan kerja pengalihan dan penundaan kenderaan rosak atau terlibat dengan kemalangan di lebuh raya.

PLUS juga menempatkan kira-kira 3,500 kakitangan di dalam ekosistem lebuh raya PLUS untuk membantu semua pelanggannya menikmati perjalanan yang lancar pada musim perayaan kali ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Putri bantu orang awam dapat maklumat pantas – Plus

SHAH ALAM, 22 MEI: PLUS Malaysia Berhad (Plus) memperkenalkan PLUS Texting Realtime Interface (Putri), chatbot pertama industri lebuh raya bagi memudahkan pengguna mendapat maklum balas pantas.

Ketua Pegawai Teknologi Inovasi PLUS, Shamsul Izhan Abdul Majid berkata Putri dijangka dapat mengendalikan lebih 70 peratus daripada 1,500 panggilan diterima Pusat Pemantauan Trafik (TMC) Plus setiap hari.

“Dengan Putri, petugas TMC boleh memberi lebih fokus terhadap panggilan kecemasan dan koordinasi bantuan bagi membantu pelanggan yang berdepan masalah.

“Putri berupaya memberi maklum balas perkhidmatan secara serentak berkaitan kadar tol, maklumat trafik, pertanyaan mengenai PLUSMiles, produk, kemudahan, promosi dan insiden,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsul Izhan berkata Putri dilancarkan 27 April lalu turut dibangunkan susulan penularan pandemik Covid-19 yang memerlukan orang awam bergantung kepada teknologi digital.

“Pandemik Covid-19 telah merubah cara kita berinteraksi antara satu sama lain dan teknologi berkomunikasi menjadi semakin kerap dalam norma baharu.

“Di peringkat global, chatbot menjadi komponen penting dalam perhubungan pelanggan terutamanya bagi industri penerbangan, kesihatan, telekomunikasi, peruncitan, kewangan, makanan dan media,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Khazanah, KWSP tidak babit secara rasmi jualan PLUS

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pemilik PLUS Malaysia Bhd (PLUS), tidak dilibatkan secara rasmi oleh kerajaan dalam penjualan konsesi lebuh raya itu walaupun kerajaan dilaporkan telah mendapat tawaran beberapa syarikat.

Pengarah Urusan Khazanah Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata dari perspektif tadbir urus, sebarang keputusan membabitkan jualan atau pengambilalihan aset itu perlu dilakukan secara teratur menerusi penglibatan rasmi pihak pemegang kepentingan tersebut iaitu Khazanah dan KWSP.

“Perkara itu tidak pernah dimulakan,” katanya kepada pemberita di luar Forum Integriti 2020 Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) di sini, hari ini.

Khazanah yang juga dana kekayaan negara memiliki 51 peratus kepentingan dalam PLUS menerusi anak syarikatnya UEM Group Bhd, manakala baki 49 peratus dimiliki oleh KWSP.

Selain itu, Shahril Ridza berkata Khazanah dan KWSP tidak pernah menawarkan aset itu untuk dijual, malah tiada sebarang proses bidaan yang dilaksanakan pada masa ini.

“Apabila merujuk tawaran yang diterima, wujud sedikit kesilapan kerana tiada sebarang proses bidaan yang dilaksanakan atau wujud pihak pembida.

“Itu semua merupakan tawaran secara sendirian yang dikemukakan kepada kerajaan berbanding kepada pemegang saham semasa PLUS dan kami tidak terbabit dalam sebarang proses jualan aset tersebut,” katanya.

Ditanya mengenai impak terhadap Khazanah dan KWSP sekiranya kerajaan memutuskan penjualan PLUS kepada pihak ketiga, Shahril Ridza berkata apa yang penting adalah untuk memastikan nilai munasabah aset itu dipertahankan.

“Atas alasan inilah kami tidak melayan sebarang tawaran sebelum ini…secara jujur, tawaran itu hanya merendahkan nilai (sebenar) aset berkenaan.”

Beliau bagaimanapun gembira kerana penilaian yang dilakukan oleh kerajaan menerusi sebuah bank pelaburan bebas, adalah seiring dengan nilai semasa PLUS.

“Saya amat gembira kerana secara dasarnya, kami berasakan nilai itu telah disahkan oleh perbankan bebas, baik dari pihak kami atau pun di pihak kerajaan,” katanya.

Bagi kemajuan masa depan, Shahril Ridza berkata pemilik PLUS perlu menunggu keputusan dasar kerajaan yang akan dimuktamadkan menerusi Kabinet sebelum isu itu dipanjangkan.

Semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata cadangan pengambilalihan PLUS dan empat lebuh raya milik Gamuda di Lembah Klang akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu dengan pengumuman mengenainya dibuat selepas mesyuarat tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan masih teliti cadangan ambil alih pegangan Khazanah dalam PLUS

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Kerajaan masih meneliti cadangan yang diterima untuk pengambilalihan pegangan Khazanah Nasional Bhd sebanyak 51 peratus di dalam PLUS Malaysia Bhd, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed zmin Ali.

Beliau berkata, kerajaan sedang menimbangkan kesan daripada pengambilalihan PLUS dari segi implikasi kewangan bagi melaksanakan tanggungjawab kepada pengguna jalan raya untuk mengurangkan kos menggunakan lebuh raya.

“Antara langkah yang kita fikirkan ialah kita boleh kurangkan kadar tol ataupun adakah boleh kita hapuskan tol dalam masa terdekat kerana kalau kita nak rujuk kepada manifesto (Pakatan Harapan), ia tidak dinyatakan begitu.

“Manifesto jelas menyatakan kita akan bincang secara berperingkat dengan syarikat konsesi. Semua ini masih dalam pertimbangan kerana kita tidak mahu membebankan kedudukan kewangan kerajaan, sementara memberikan bantuan kepada rakyat dan pengguna lebuh raya,” katanya kepada pemberita di luar acara Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Malaysia 2019 di sini, hari ini.

Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan berita bahawa Kementerian Kewangan akan mengambil alih pegangan Khazanah di dalam PLUS.

Menurut laporan berita, Kementerian Kewangan (MoF) dipercayai berminat mengambil alih pegangan Khazanah dalam PLUS berikutan Putrajaya mahu mencegah aset penting itu daripada jatuh ke tangan syarikat swasta.

Memetik sumber, laporan berita itu berkata MoF akan membeli pegangan dalam konsesi lebuh raya terbesar negara itu dan mengekalkan aset itu dalam pegangan sektor awam, manakala cadangan pengambilalihan itu akan dibentangkan kepada Kabinet dalam waktu terdekat untuk dibincangkan.

Azmin berkata beliau masih belum melihat cadangan yang dibuat oleh MoF.

“Kita belum buat keputusan sebab sekarang (PLUS) dimiliki oleh Khazanah sebanyak 51 peratus dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sebanyak 49 peratus. Dari segi teknikal, kedua-dua ini adalah cabang pelaburan kerajaan, jadi kita melihat bagaimana mereka boleh membantu mendukung dasar kerajaan untuk mengurangkan tol lebuh raya yang berkenaan.

“Saya masih belum melihat cadangan (dibuat oleh MoF) kerana saya percaya perkara ini diteliti oleh Kementerian Kerja Raya,” katanya.

Putrajaya sebelum ini mengesahkan ia menerima empat tawaran rasmi daripada pihak yang berminat untuk mengambil alih PLUS iaitu Widad Group Bhd, Maju Holdings Sdn Bhd, RRJ Capital dan ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PLUS tidak dijual, kerajaan risau syarikat tidak jamin hapus tol

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Khazanah Nasional Bhd tidak berminat untuk menjual kepentingannya dalam PLUS Malaysia Bhd (PLUS) walaupun beberapa tawaran telah dikemukakan kepada kerajaan oleh beberapa entiti swasta.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengulangi kenyataan dibuat oleh Pengarah Urusan Khazanah, Shahril Ridza Ridzuan awal hari ini bahawa badan pelaburan negara itu tidak berminat untuk menjual firma lebuhraya terbesar negara itu.

“PLUS adalah 51 peratus milik Khazanah dan 49 peratus milik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Kenapa anda mahu menswastakannya?

“Kita tidak mahu membebankan rakyat dan penguna jalan raya, sebab itu dalam manifesto kami, kami akan berbincang dengan semua syarikat-syarikat konsesi secara berperingkat untuk mengurangkan bebanan kepada pengguna jalan raya.

“Tetapi kalau jual PLUS pada pihak swasta yang akan mengenakan tol dan menaikkan kadar tol, dan ia tidak akan memenuhi kehendak manifesto,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Tambahnya, pendirian Khazanah jelas untuk tidak menjual pegangannya di dalam PLUS, kerana apabila PLUS jual kepada pihak swasta, tiada jaminan syarikat tersebut dapat mengurangkan kadar tol atau menghapuskan tol.

“Sudah tentu tidak. Sebab bagi sektor swasta, mereka berorientasikan keuntungan. Syarikat akan beli sesuatu yang boleh beri keuntungan. Bagi pihak kami, ia bukan soal keuntungan. Khazanah dan KWSP mahu beri perkhidmatan kepada pengguna jalan raya.

“Kecuali ada pihak swasta yang mahu beli PLUS dan nak hapuskan tol, good luck kalau boleh dapat,” katanya.

Awal hari ini, Widad Business Group Sdn Bhd telah menaikkan tawaran bagi PLUS dengan tawaran baharu untuk mengambil alih 100 peratus kepentingan ekuiti dalam syarikat itu bagi RM5.3 bilion.

Termasuk pengecualian pampasan sebanyak RM3.04 bilion dan andaian hutang sebanyak RM30 bilion, jumlah nilai perusahaan bagi tawaran itu adalah sebanyak RM38.34 bilion, yang merupakan bidaan tertinggi daripada sektor swasta setakat ini.

Menurut Widad, tawaran yang disemak semula itu juga termasuk pengecualian jaminan sukuk RM11 bilion oleh kerajaan dan opsyen baharu untuk kerajaan membeli balik PLUS selepas 10 tahun berdasarkan nilai pasaran.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tawaran Maju Holdings ambil alih PLUS masih dalam penilaian

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Cadangan rasmi daripada Maju Holdings Sdn Bhd untuk mengambil alih PLUS Malaysia Bhd, syarikat konsesi lebuh raya terbesar di Malaysia, masih dalam proses penilaian, menurut Kementerian Kerja Raya.

Dalam kenyataan hari ini, kementerian itu berkata, cadangan tawaran itu, yang melibatkan pengurangan kadar tol yang ketara, kelihatan menarik.

“Menteri berkenaan (Baru Bian) menyatakan kementerian telah menerima cadangan daripada Maju Holdings dan masih dalam proses menilai merit dan daya majunya.

“Kementerian akan membentangkan dalam Kabinet – ‘Langkah ke Hadapan bagi Jalan Raya Bertol di Malaysia’ pada awal bulan depan, yang akan berdasarkan kepada laporan akhir yang disediakan oleh perunding bebas pada Januari 2019,” menurut kementerian itu.

Kenyataan itu turut menyatakan hanya selepas keputusan Kabinet dibuat, kerajaan akan dapat mempertimbangkan semua cadangan mengenai pengambilalihan lebuh raya bertol di negara ini, termasuk tawaran Maju Holdings-PLUS.

Pada 22 Ogos, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan belum membuat keputusan mengenai cadangan Maju Holdings-PLUS dan mengesahkan kutipan tol lebuh raya itu akan diteruskan walaupun konsesi PLUS diambil alih oleh mana-mana entiti lain.

Maju Holdings yang dikuasai ahli perniagaan, Tan Sri Abu Sahid Mohamed, dilaporkan pernah membuat tawaran sebanyak RM36 bilion untuk mengambil alih PLUS pada 2017.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tiada tawaran rasmi Maju Holdings ambil alih PLUS

KUALA LUMPUR, 2 JUL: Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata kementeriannya tidak menerima sebarang tawaran rasmi daripada Maju Holdings Sdn Bhd (Maju Holdings) untuk mengambil alih PLUS Malaysia Bhd (PLUS).

“Bagi saya kementerian tidak terima sebarang cadangan secara rasmi,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas laporan media berhubung syarikat berkenaan mengemukakan tawaran baharu untuk mengambil alih PLUS.

Maju Holdings yang dikuasai ahli perniagaan Tan Sri Abu Sahid Mohamed dilapor pernah membuat tawaran sebanyak RM36 bilion untuk mengambil alih PLUS pada 2017.

Kementerian Kewangan ketika itu berkata kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk melepaskan pegangan dalam PLUS kepada Maju Holdings dan memandang serius kedudukan kewangan serta kemampuan entiti persendirian seperti Maju Holdings untuk membiayai cadangan pengambilalihan korporat itu. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

PLUS tunggu keputusan kerajaan ambil alih konsesi

PETALING JAYA, 25 JUN: Penyedia perkhidmatan lebuh raya terbesar negara ini, PLUS Malaysia Bhd (PLUS) bersedia untuk meneliti semula perjanjian konsesi sekiranya kerajaan memutuskan untuk mengambil alih lebuh raya kendalian syarikat itu.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, ini sejajar dengan kedudukan PLUS sebagai sebuah syarikat konsesi yang telah memeterai perjanjian terbabit dengan kerajaan.

“Jika kerajaan mahu mengubahnya (perjanjian), maka kita akan meneliti (cadangan) mengikut perjanjian terbabit.

“Kita perlu menunggu apa yang kerajaan mahu tawarkan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran kerjasama PLUS dengan Microsoft di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan mengenai kesediaan PLUS terhadap langkah pengambilalihan konsesi oleh kerajaan.

PLUS adalah cabang lebuh raya UEM Group (UEM), anak syarikat Khazanah Nasional Bhd (Khazanah).

UEM dan Khazanah secara kolektif memegang 51 peratus saham dalam PLUS manakala baki 49 peratus dimiliki oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Dalam kenyataan sebelum ini, Khazanah menyerahkan kepada PLUS untuk mengendalikan rundingan terbabit sekiranya kerajaaan bercadang untuk mengambil alih lebuh raya bertol kendalian PLUS.

Khazanah bagaimanapun akan memberi nasihat kepada PLUS dari semasa ke semasa jika wujud sebarang perkembangan berkaitan.

Pada Sabtu lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan bahawa Kementerian Kewangan telah memberi surat tawaran rasmi kepada empat syarikat konsesi lebuh raya bertol dengan harga ‘enterprise value’ atau nilai wajar perusahaan sebanyak RM6.2 bilion yang boleh menjimatkan wang pembayar cukai sebanyak RM5.3 bilion dari segi bayaran pampasan kepada pemegang konsesi terbabit.

Empat lebuh raya itu adalah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART (SMART).

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Persekutuan perlu bayar RM102 juta kepada PLUS

 

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 2 NOV: Sejumlah RM102 juta pampasan bakal dibayar Kerajaan Persekutuan kepada PLUS Malaysia Bhd (PLUS) susulan pemansuhan bayaran tol di Plaza Batu Tiga dan Sungai Rasau di Selangor.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pampasan itu diberikan susulan penstrukturan tol berkenaan yang dijadual tamat pada 2038.

Katanya, sejumlah RM8 juta pampasan juga perlu dibayar Kerajaan Persekutuan bagi pembatalan tol Bukit Kayu Hitam, Kedah selain penyelesaian pertindihan bayaran Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL), Johor.

“Untuk EDL, Kerajaan Persekutuan sudah kenakan ‘road charges’ (caj jalan).

“Ini kerana, tol itu sudah ‘redundant’, jadi kita akan ‘offset’ dengan ‘road charges’,” katanya lapor Astro Awani.

Beliau dilapor berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Percukaian Kebangsaan 2017, di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 27 Oktober lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pemansuhan bayaran tol di Lebuhraya Persekutuan itu semasa pembentangan Bajet 2018.

Kadar tol dikenakan di Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau masing-masing bernilai RM1.10 dan RM1.