Categories
NASIONAL

Jakim: Produk tempatan dengan Kod E boleh diguna tanpa waswas

PUTRAJAYA 27 MEI: Produk tempatan dengan sijil pengesahan Halal Malaysia yang mempunyai ‘kod E’ boleh digunakan tanpa waswas, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha.

Beliau berkata tidak semua produk makanan yang mempunyai kod atau nombor ‘E’ mengandungi bahan daripada sumber yang haram.

JAKIMKod E ialah kod untuk bahan tambah (aditif) dan selalu diguna pada label makanan di negara Kesatuan Eropah yang merujuk kepada bahan aditif yang dibenarkan, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kod E lazimnya dikaitkan mengandungi bahan bersumberkan khinzir.

Menurut Othman, nombor E diguna pada label produk makanan di Australia, New Zealand, Amerika Utara terutama Kanada, dan Israel.

Skim penomboran itu adalah mengikut sistem penomboran antarabangsa yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Codex Alimentarius, katanya.

Beliau berkata penomboran itu adalah koleksi pelbagai standard, kod amalan, panduan antarabangsa yang diiktiraf berkaitan dengan makanan, pemprosesan makanan dan keselamatan makanan bertujuan menjaga kesihatan manusia dan memastikan kod perdagangan yang beretika dijalankan.

Bahan Aditif mengikut nombor E:

E100 – E199 – Warna
E200 – E299 – Pengawet
E300 – E399 – Oksidan, Fosfat, Antioksida dan Pengawal Asid
E400 – E499 – Pemekat, Pelembap, Penstabil dan Emulsifier
E500 – E599 – Garam, Regulator Asid dan agen penghalang kerak
E600 – E699 – Penambah perisa
E900 – E999 – Pemanis dan bahan-bahan lain
E1000- E1999 – Bahan Kimia Tambahan

halal“Tidak semua nombor E yang digunakan untuk membuat sesuatu produk makanan berasaskan daripada sumber yang haram. Bahan-bahan aditif ini boleh bersumberkan tumbuhan, sintetik, mikrob, semula jadi, kimia dan haiwan,” katanya.

Othman berkata contoh kod E yang paling kerap menjadi persoalan ialah E471,yang merupakan sejenis pengemulsi iaitu mono dan digliserida.

Sumbernya ialah lemak sintetik yang terhasil daripada gliserol dan asid lemak semula jadi terutamanya dalam tumbuhan contohnya minyak kelapa sawit atau lemak haiwan, kata Othman.

Ramuan itu secara umumnya ialah sebatian pelbagai bahan dengan kandungannya hampir sama dengan lemak semula jadi yang boleh dihadam.

Bagaimanapun Othman menasihati pengguna Islam agar berhati-hati dengan produk mempunyai kod E tanpa sijil Halal Malaysia yang tidak dibuat di negara ini.

“Orang ramai harus peka mengenai jenis aditif makanan dan tahap kandungan yang dibenarkan untuk digunakan dalam sesuatu produk makanan,” katanya yang turut menggesa pihak industri agar lebih bertanggungjawab dan mengenal pasti sumber aditif yang diguna agar tidak menimbulkan keraguan pengguna Islam.

Dalam pada itu, Jakim menerusi Bahagian Hab Halal akan memastikan syarikat yang memohon sijil halal wajib mengisytihar kesemua ramuan termasuk menyertakan dokumen kukuh mengenai status halal aditif yang digunakan dalam produk makanan mereka.

BERNAMA

Categories
NASIONAL

Anwar : Jakim jangan jadi boneka BN

KUALA LUMPUR 16 DIS: Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) tidak seharusnya menjadi boneka untuk menjatuhkan musuh politik Barisan Nasional (BN), kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

anwar whiteKata Anwar, Jakim jangan hanya berretorik atas tuduhan Syiah kepada Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu.

“Dalam perundangan Islam pun sudah termaktub yang menuduh harus kemukakan bukti kemudian barulah dituduh membela diri,” kata Anwar kepada media selepas melancarkan buku “Spirit of Merdeka” di Hotel Empire, Subang Jaya semalam.
“Jadi biarlah beliau diberi ruang dan peluang,” kata Anwar, lapor The Malaysian Insider.

Katanya Mohamad perlu diberi peluang membela dirinya diatas tuduhan menganut fahaman Syiah semata-mata kerana kagum dengan Ayatollah Khomeini.

Susulan ‘pendedahan 10 bukti’ Kementerian Dalam Negeri (KDN) Mohamad terlibat dengan fahaman Syiah, Jakim pula menggesa pemimpin Pas itu mengemukakan bukti.

“Saya ingin bertanya kepada pegawai Jakim adakah beliau mengikut arahan dari Naib Presiden Umno atau berdasarkan undang-undang Islam?

“Kerana sebelum ini ada kes yang saya bawa di Mahkamah Syariah Jakim tidak pernah menolong, Jakim perlu tetapkan pendirian dulu,” kata Anwar.

Beliau mengatakan pernah melawat Imam Khomeini awal tahun 1980 atas kapasitinya selaku Pengerusi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Anwar melancarkan buku ‘Spirit of Merdeka’ di Hotel Empire, Subang Jaya semalam.

“Saya merupakan rombongan kedua ke Tehran selepas Revolusi di Iran untuk bertemu dengan Khomeini.

“Adakah ini juga bermaksud saya turut mengamalkan fahaman Syiah? Saya pergi pada tahun 1980 kerana diundang dan semasa saya menjadi Timbalan Perdana Menteri tiada orang dakwa saya pula?” soalnya.

Anwar pada masa sama turut menggesa untuk tidak terus menggunakan Syiah sebagai isu politik.

“Mereka kata sudah kumpul bukti maka kalau dah ada sudah sah buktinya terus saja dakwa kenapa perlu berdolak-dalih orang tertuduh pula kena kemukakan bukti sistem apa ini?” soal Anwar.

Tambahnya, kenyataan KDN mengatakan mempunyai bukti ‘gred A’ merupakan sesuatu yang tidak berasas apabila kerajaan sekali lagi gagal mengemukakan bukti kukuh.

“Ini yang saya tidak faham apa dia gred A, gred B ini? Kita tidak tahu dulu tidak ada. Bulan lepas tidak dengar pula.

“Alih-alih ada gred A. Kalau betul kementerian mempunyai gred sedemikian, jelaskan kepada rakyat apa yang dikatakan,” katanya

– KEADILAN DAILY