Categories
SELANGOR

Naik taraf jalan di Sepang lancarkan aliran trafik waktu puncak

OLEH SABIRAH AZIZ

SEPANG, 9 FEB: Projek menaik taraf jalan B48 dari Simpang Tiga Jenderam ke Pekan Sepang Lama, di sini, dapat melancarkan pergerakan kenderaan dari arah Sepang ke kawasan Salak kerana jalan sedia ada mempunyai aliran trafik padat, pada waktu puncak.

Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Ir Rozita Mat Senapi berkata, ia sekali gus dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dengan beberapa aspek keselamatan dipertingkatkan seperti penyediaan lampu jalan dan jejantas pejalan kaki.

“Skop utama projek ini merangkumi kerja menaik taraf jalan sedia ada daripada dua lorong, dua hala kepada empat lorong dan dua hala. Antara skop lain projek ini adalah menaik taraf simpang Bandar Enstek, simpang LBJ dan simpang pekan Sepang.

“Di samping itu, terdapat pembinaan jejantas pejalan kaki, pelebaran culvert sedia ada, menaik taraf longkang sedia ada, kerja geoteknikal dan elektrikal.

“Projek ini juga bakal merancakkan lagi pembangunan ekonomi di kawasan ini seterusnya menyemarakkan aktiviti penduduk setempat,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah projek menaik taraf jalan B48 daerah Sepang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua pihak yang terbabit perlu bekerjasama dengan mengutamakan aspek kualiti, keselamatan jalan raya, mematuhi pelan pengurusan trafik semasa pembinaan dan kos siling ditetapkan.

“Semoga projek ini dapat berjalan lancar dan sempurna demi keselesaan dan kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya.

Projek yang memasuki fasa tiga itu sudah bermula sejak 28 Disember lalu dan dijangka siap, pada November 2020.

Terdapat dua pakej projek dinaik taraf iaitu pakej A di bawah kontraktor Tulane Sdn Bhd dengan kos RM54.5 juta, manakala pakej B di bawah kontraktor Jurumart Sdn Bhd dengan kos RM50.7 juta.

Categories
SELANGOR

RM105 juta naik taraf jalan B48 Sepang

OLEH SABIRAH AZIZ

SEPANG, 9 FEB: Penduduk di Sepang bakal menikmati kemudahan infrastruktur jalan lebih selesa melalui projek menaik taraf jalan B48 dari Simpang Tiga Jenderam ke Pekan Sepang Lama yang menelan kos kira-kira RM105 juta.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, projek memasuki fasa tiga itu sudah bermula sejak 28 Disember lalu bagi menampung kapasiti kenderaan yang semakin bertambah dari simpang empat Bandar Enstek ke Pekan Sepang Lama.

“Projek ini membabitkan naik taraf jalan empat lorong dan dua hala sepanjang 10 kilometer dengan reka bentuk piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR) jenis U5.

“Ia juga membabitkan pembinaan struktur di jambatan Sungai Chinchang dan pusingan U (underpass). Dengan kerjasama agensi Kerajaan Negeri, maka projek ini dijangka siap, pada November 2020,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah projek menaik taraf jalan B48 daerah Sepang, di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat, Mohd Haslin Hassan; ADN Sungai Pelek, Lai Nyuk Lan dan Timbalan Pengarah JKR Selangor, Ir Rozita Mat Senapi.

Zaidy berkata, terdapat dua pakej projek dinaik taraf iaitu pakej A di bawah kontraktor Tulane Sdn Bhd dengan kos RM54.5 juta, manakala pakej B di bawah kontraktor Jurumart Sdn Bhd dengan kos RM50.7 juta.

“Pelbagai kekangan dihadapi dalam melaksanakan projek ini membabitkan proses pengambilan balik tanah dan isu paya bakau. Bagaimanapun, pihak JKR Selangor berjaya menyelesaikan proses pengambilan balik tanah sebanyak 25 lot sebelum kerja pembinaan dilaksanakan.

“Selain itu, satu inisiatif akan dilaksanakan JKR Selangor dengan menyediakan skop penggantian pokok bakau, di kawasan terbabit,” katanya.