Categories
GLOBAL

Penyiasat Turki geledah konsulat Arab Saudi susulan kes wartawan hilang

ISTANBUL 16 OKT: Polis Turki semalam menggeledah konsulat Arab Saudi di Istanbul buat pertama kali selepas wartawan Jamal Khashoggi dilaporkan hilang, serentak dengan kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bahawa kematian lelaki itu adalah angkara ‘pembunuh’.

Khashoggi, seorang rakyat Arab Saudi yang menetap di AS dan sering membuat kritikan pedas ke atas Putera Mahkota Mohammed Salman kali akhir dilihat memasuki konsulat Arab Saudi di Istanbul bagi menguruskan dokumen perkahwinan pada 2 Oktober.

Kerajaan Turki berkata mereka percaya lelaki itu telah dibunuh, satu dakwaan dinafikan Arab Saudi yang kini berdepan masalah apabila imej mereka tercemar dengan kontroversi itu, sekali gus menggugat usaha Putera Mahkota dalam melaksanakan pembaharuan di negara berkenaan.

Trump menghantar Setiausaha Negara, Mike Pompeo dalam apa yang digambarkan Jabatan Negara sebagai ‘pertemuan secara langsung dengan kepimpinan Arab Saudi’ untuk mendapatkan maklumat sebenar kes berkenaan.

Sebelum itu Riyadh tidak membenarkan penyiasat Turki menggeledah konsulat yang secara rasminya berada di bawah kuasa Arab Saudi. menyebabkan kedua-dua belah pihak dilanda konflik antara satu sama lain.

Keadaan bagaimanapun berubah lewat malam tadi apabila pihak berkuasa Turki dilihat meletak penghadang besi di hadapan konsulat, manakala enam buah kereta dipandu masuk ke dalam premis terbabit.

Beberapa anggota polis berpakaian seragam juga dilihat memasuki konsulat bersama beberapa pegawai kerajaan dengan membawa mesin cetak dan fail.

Delegasi Arab Saudi memasuki bangunan konsulat sejam sebelum ketibaan pihak berkuasa Turki dan dipercayai masih berada di premis itu ketika proses mencari dijalankan.

Seorang pakar forensik Turki turut dilihat berada di atas bumbung, berhampiran dengan bendera konsulat dan masih berada di dalam bangunan berkenaan bersama ahli pasukan lain selepas tiga jam.

SUMBER: AFP