Categories
SELANGOR

Kementerian Pelajaran Perlu Jelaskan Perbelanjaan Tak Konsisten

KUALA LUMPUR, 6 NOV : Jawatankuasa Kerja Pendidikan Pakatan Rakyat (PET) menggesa Kementerian Pelajaran menjelaskan percanggahan perbelanjaan di antara Pelan Pembangunan Pendidikan (NEB) dan perbelanjaan pembangunan 2006 ? 2010 Kementerian Pelajaran.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata percanggahan tersebut perlu dijelaskan kerana ia akan menjadi penentu kepada kejayaan atau kegagalan NEB.

Dalam satu sidang media, di lobi parlimen, hari ini, Nurul Izzah menjelaskan, jangkaan perbelanjaan pembangunan dari 2006 hingga 2010 pada awalnya adalah RM 17.9 bilion, tetapi perbelanjaan sebenar adalah RM 8.6 bilion.

“Lebih malang lagi, angka ini tidak konsisten dengan RM 19.771 bilion yang diberikan sebagai perbelanjaan pembangunan dan perkara ini wajib dijelaskan kementerian bertanggungjawab,” tegas beliau.

Beliau turut melahirkan kebimbangan dengan kegagalan mengawal pembaziran dan perbelanjaan lebih di bawah perbelanjaan pengurusan.

Tambah beliau, berdasarkan Laporan Perbelanjaan Bank Dunia 2011, perbelanjaan pengurusan melebihi perbelanjaan pembangunan pada purata 10 peratus dari tahun 2006 ke tahun 2010.

Justeru, katanya NEB tidak langsung menyatakan tindakan khusus untuk mengatasi isu ini iaitu kurang belanja dalam perbelanjaan pembangunan dan lebih belanja dalam perbelanjaan pengurusan.