Categories
ADN SELANGOR

Jawatankuasa pilihan sumber air puas hati langkah atasi LRA tercemar

SHAH ALAM, 1 NOV: Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Sumber Air Negeri Selangor (JPK-SAS) menyambut baik pelan menyeluruh bagi menangani pencemaran henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021.

Pengerusinya berkata sehingga Oktober ini sembilan kejadian berkaitan LRA dilaporkan hingga menjejaskan ratusan ribu akaun pengguna berikutan gangguan bekalan air tidak berjadual.

“Pelan ini mengambil kira pelbagai aspek merangkumi pindaan undang-undang, rancangan sumber air kecemasan, penambahbaikan pemantauan dan penguatkuasaan serta pengunaan teknologi sesuai untuk mengenal pasti pencemaran seawal mungkin.

“Saya berbesar hati Kerajaan Negeri mengambil kira saranan dalam penyata dibentangkan pada sidang Julai oleh JPK-SAS,” kata Michelle Ng Mei Sze ketika dihubungi.

Beliau berharap Kerajaan Negeri dapat meletakkan satu tempoh masa kepada setiap rancangan dibentangkan sebagai langkah akauntabiliti dan ketelusan.

Menerusi Strategi Keempat: Memperkasa Kemampanan Alam Sekitar, Sumber dan Rantaian Bekalan Makanan, antara usaha akan dilakukan Kerajaan Negeri adalah meminda Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (Luas) 1999 untuk meningkatkan bayaran denda bagi kesalahan pencemaran sumber air.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan Projek Perintis Rawatan Biologikal/BioRemediation bagi tujuan pemuliharaan kualiti air Sungai Gong menggunakan kaedah kombinasi pendekatan biologi seperti peletakan bahan nano teknologi (Aquaritin) dan kaedah fizikal seperti Sistem Rawatan Air Mentah (RWTS).