Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

RM297,050 diperuntuk, hampir 23,000 Orang Asli dapat manfaat

SHAH ALAM, 8 APRIL: Kira-kira 22,992 masyarakat Orang Asli menerima manfaat langsung bantuan Kerajaan Negeri melalui peruntukan RM297,050, kata EXCO hal ehwal Orang Asli.

Hee Loy Sian berkata pemberian bantuan kepada masyarakat Orang Asli itu bagi meringankan beban kehidupan harian dihadapi sepanjang Perintah Kawalan pergerakan (PKP).

“Bantuan meliputi barangan keperluan asas harian seperti beras, tepung, gula, susu dan minyak masak RM50 itu diberikan kepada ketua isi rumah,” katanya dalam kenyataan selepas Mesyuarat EXCO hari ini.

Beliau berkata jumlah ketua isi rumah terbabit adalah 5,941 merangkumi kesemua 74 kampung Orang Asli.

Katanya peruntukan disalurkan kepada Pejabat Tanah dan Daerah sebagai agensi pelaksana dengan kerjasama pejabat DUN atau penyelaras DUN, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri mengumumkan dua Pakej Rangsangan Selangor Prihatin bagi mengurangkan beban rakyat berhadapan penularan wabak Covid-19.

Categories
EXCO SELANGOR

Loy Sian dilantik Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Orang Asal Selangor

SHAH ALAM, 16 DIS: EXCO Kerajaan Negeri, Hee Loy Sian dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Orang Asal Selangor bagi memberikan fokus kepada pembangunan Orang Asal bermula 2020.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, pelantikan itu dibuat selepas mendapat persetujuan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) minggu lalu.

“Jawatankuasa itu memang sudah kita tubuhkan sesuai dengan harapan Sultan Selangor supaya kita dapat memberi peruntukan dan perhatian kepada masyarakat Orang Asal Negeri Selangor.

“Sebelum ini hanya ada jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Elizabeth Wong kerana kita tidak mempunyai jawatankuasa tetap. Dengan adanya jawatankuasa tetap ini banyak perkara kita boleh tumpu termasuk kebajikan dan program-program pembangunan masyarakat Orang Asal,” katanya.

Loy Sian yang juga Ahli Dewan Negeri Kajang ketika ini merupakan EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna.

Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 16 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Amirudin dalam ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Selangor berkata, penubuhan jawatankuasa itu sebagai menjunjung kasih titah Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika Program Perjumpaan Dengan Masyarakat Orang Asli di Pulau Carey pada 3 November lalu.

“Saya juga ingin menggesa untuk kita memulakan usaha membawa budaya dan warisan Orang Asal seperti Mah Meri misalnya untuk mendapatkan pengiktirafan daripada UNESCO dan juga didaftarkan sebagai milik eksklusif yang mempunyai hakcipta tersendiri yang tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak terutama sekali oleh syarikat-syarikat fesyen antarabangsa,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM500,000 bagi tujuan pembangunan modal insan dan kebajikan seperti membaik pulih rumah, projek pembangunan infrastruktur, peningkatan kesihatan dan ekonomi Orang Asal pada tahun 2020.