Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB syukur kebenaran tambah jemaah ikut kapasiti masjid, surau

KAPAR, 17 JULAI: Dato’ Menteri Besar menyambut baik perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor hari ini untuk menambah bilangan jemaah solat Jumaat dan fardu mengikut kapasiti sebenar rumah ibadat.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkembangan itu menunjukkan keberkesanan usaha membendung penularan Covid-19 dan berharap masyarakat kekal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Semalam Selangor mencatatkan sifar kes baharu kali keempat, namun kita perlu hati-hati kerana virus masih boleh menyerang bila-bila masa jika tidak berhati-hati.

“Ingatan berterusan berhubung SOP juga penting untuk dipatuhi,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid At-Taqwa Bukit Kapar di sini.

Turut serta Ahli Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

Pada 3 Julai lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan semua masjid dan surau dibuka semula untuk solat Jumaat dan fardu lima waktu.

 

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Masjid, surau di WP dibenar tambah jemaah satu pertiga

SHAH ALAM, 11 JUN: Masjid dan surau di Wilayah Persekutuan berstatus zon hijau dibenar menambah bilangan jemaah kepada satu pertiga daripada keluasan dewan solat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata kebenaran tersebut akan dimulakan dengan solat Jumaat esok.

“Sebagai contoh, jika sebuah dewan solat mampu memuatkan 1,000 orang jemaah pada satu masa, maka bilangan yang dibenarkan adalah 333 orang buat masa ini.

“Kapasiti jemaah akan ditambah secara berperingkat dengan makluman dari semasa ke semasa atas nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Zulkifli berkata semua golongan dibenar menunaikan solat berjemaah termasuk warga emas dengan syarat mereka sihat.

“Bagi kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, jemaah bergejala dan mereka yang menghidap penyakit kronik tidak dibenarkan hadir buat masa ini. Selain itu wanita dan mereka yang dalam keadaan musafir turut dibenarkan solat di masjid dan surau,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA

Jemaah: Kemudahan perubatan Tabung Haji kelas pertama

MAKKAH, 1 OGOS: Kebanyakan jemaah haji Malaysia yang ditemui Bernama di sini menyifatkan kemudahan perubatan disediakan Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia adalah kelas pertama dan memberi beberapa cadangan menarik untuk menambah baik.

Seorang petugas sektor swasta Khushairi Ismail, 54, berkata dengan kemudahan perubatan lengkap disediakan itu, jemaah haji di sini tidak berasa risau kerana merasakan kemudahan perubatan sentiasa disediakan untuk mereka seperti di tanah air.

“Ini negara orang, saya tidak boleh bayangkan bagaimana sukar hendak bawa semua alat perubatan, ubat dan juga petugas perubatan termasuk doktor dan jururawat datang ke sini, kemudian sediakan semua itu daripada kosong kepada sedia terima pesakit,” katanya kepada Bernama.

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas TH.

TH mempunyai satu pusat rawatan utama di sini iaitu Pusat Rawatan TH Syisyah yang mempunyai 197 katil, sebuah klinik kecemasan di Abraj Janadriyah mempunyai 33 katil dan Pusat Rawatan TH Al Jaffery di Madinah mempunyai 37 katil, selain klinik kesihatan di setiap maktab penginapan jemaah.

Sharif Sarimin, 47, seorang lagi pekerja swasta berkata kemudahan ubat-ubatan di sini dilihat agak lengkap seperti klinik dan hospital di tanah air.

“Amat menarik saya lihat sebuah bangunan yang kebanyakannya hotel dijadikan klinik atau pusat rawatan, jemaah yang datang rasa selesa, tidak perlu bimbang datang sini, ubat semua ada,” katanya.

Sementara itu, Khushairi dan Sharif juga sependapat mencadangkan pihak TH menjalinkan kerjasama dengan beberapa pihak dan syarikat di sini bagi menyediakan kemudahan kesihatan alternatif seperti urutan dan akupuntur untuk jemaah haji.

Khushairi turut menyarankan agar kemudahan kesihatan alternatif itu sekiranya ditawarkan, dikenakan bayaran berpatutan kepada jemaah agar tidak membebankan pihak TH.

“Bagi saya ramai jemaah haji yang mahukan perkhidmatan ini dan sanggup membayar dengan harga berpatutan. Sakit kaki, pinggang dan otot selalu dialami jemaah di sini jadi saya lihat ia lebih kepada membantu jemaah,” katanya.

Sharif berkata keperluan logistik untuk menyediakan sebuah pusat kemudahan kesihatan alternatif itu sememangnya amat sukar, namun beliau mencadangkan untuk menyediakan kemudahan ringkas seperti barisan kerusi urut di lobi maktab penginapan dan mesin layan diri kesihatan lain.

-BERNAMA