Categories
NASIONAL

TMJ sambut putera, pewaris tahkta

JOHOR BAHRU 14 OKT: Jumaah Majlis Diraja dalam satu Percanangan Dalam (pengumuman) dikeluarkan hari ini, memaklumkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che’ Puan Khaleeda Bustamam mendapat seorang putera yang juga waris kepada takhta kerajaan Johor.

Pengumuman Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli itu dimuat naik dalam laman web rasmi Johor Southern Tigers, hari ini.

“Jumaah Majlis Diraja sukacita mengumumkan keputeraan seorang waris takhta kerajaan negeri Johor pada hari ini,” katanya dalam pengumuman berkenaan.

Dalam kenyataan yang turut dimuat naik dalam laman web itu, memaklumkan Che Puan Khaleeda selamat melahirkan putera di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, hari ini, bagaimanapun tidak menyatakan waktu kelahiran ahli keluarga baharu Diraja itu.

“Merafak syukur kepada Allah SWT dan setinggi-tinggi tahniah kepada DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dan YM Che Puan Khaleeda atas keputeraan waris kepada takhta kerajaan Johor pada 14hb Oktober 2017 di Wad DiRaja, Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
“YM Che Puan Khaleeda dan puteranya berada dalam keadaan sihat walafiat,” kata kenyataan itu di media sosial JOHOR Southern Tigers.

Pada Jun tahun lalu, Tunku Ismail dan Che Puan Khaleeda menyambut kelahiran puteri sulung yang diberi nama Tunku Khalsom Aminah Sofiah.

 

 

=EZY=