Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tunku Mahkota Johor doakan rakyat Selangor, sedia hantar lebih banyak bantuan

SHAH ALAM, 21 DIS: Bencana banjir yang melanda negeri ini sejak Sabtu lalu turut mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor yang bertindak menghantar bantuan kepada mangsa-mangsa terbabit.

Bantuan makanan dan barangan keperluan bayi seperti susu dan lampin pakai buang disalurkan melalui Sukarelawan Selatan kepada mangsa banjir di Hulu Langat semalam.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, lebih banyak lagi bantuan akan disalurkan dalam masa terdekat.

“Saya berdoa semoga Allah berkati dan kurniakan kekuatan kepada Dato’ (Dato’ Menteri Besar) dan seluruh rakyat Selangor.

“Jikalau perlu apa-apa beritahu saya. Insya-Allah saya akan bantu. Esok lusa saya akan hanta lebih bantuan,” titah baginda melalui Twitter.

Terdahulu baginda membalas Twitter Dato’ Seri Amiruddin Shari yang menjunjung kasih atas bantuan yang disalurkan tersebut.

“Menjunjung kasih DYAM Tunku@HRHJohor atas bantuan dan sokongan. Keprihatinan Tunku amat patik hargai,” kata Amirudin.

Categories
NASIONAL

MFL lebih tegas musim depan – TMJ

ISKANDAR PUTERI, 15 JUL: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akan bersikap lebih tegas terhadap setiap pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) bermula musim depan bagi memastikan Pelan Strategik 50 Tahun (Next50) dari 2021 hingga 2070 dapat direalisasikan.

Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, musim depan adalah ujian awal sebelum pelan berkenaan diaktifkan pada musim 2021 dan justeru semua pihak diminta bekerjasama dan memainkan peranan masing-masing bagi menjayakan pelan tersebut.

“Antara perkara penting yang perlu diambil berat setiap pasukan ialah kelangsungan jangka masa panjang dalam aspek kewangan,” katanya pada sidang media sempena pelancaran Next50 di Iskandar Malaysia Studio di sini, hari ini.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu menegaskan mulai musim depan, pasukan yang ingkar peraturan badan itu akan dikenakan tindakan sewajarnya dan ia sebagai langkah memastikan pelan Next50 dilaksanakan.

Beliau juga menasihatkan setiap pasukan dalam kancah Liga-M agar tidak berbelanja mengikut ‘nafsu besar’ sekiranya mahu melihat kedudukan kewangan kelab mereka terus kukuh dalam perancangan jangka masa panjang.

Katanya, kelangsungan kewangan yang kukuh adalah perlu bagi setiap mereka bagi memastikan mereka dapat bersama-sama memajukan industri tersebut.

Mengulas sama ada akan terdapat pasukan yang tidak puas hati dengan sistem kawalan perbelanjaan yang ditekankan dalam pelan strategik itu.

“Kita kena ada visi yang jelas..kita tidak boleh layan pasukan yang tidak hendak ikut peraturan.

“Kita kena tegas. Jikalau kita tak buat begitu dan masih berlembut dengan pasukan yang tidak hendak ikut peraturan ini, maka kita tidak akan berubah untuk selamanya dan kita akan ada sentiasa masalah,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pembaziran di Aeon Tebrau?

 

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 APR: Sekeping foto yang memaparkan longgokan barangan asas yang tidak sempat dibayar pengunjung di pusat membeli-belah Aeon Tebrau City, Johor, menarik perhatian netizen.

Foto itu mengundang pelbagai reaksi netizen antaranya menyifatkan ia satu pembaziran kerana akhirnya tidak dapat dibawa pulang dan terpaksa disusun semula petugas pusat membeli-belah itu.

Berdasarkan beberapa perkongsian di laman sosial difahamkan urusan pembayaran masih lagi berterusan sehingga jam 8 malam, semalam.

DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, membuat kejutan hadir ke AEON Tebrau City semalam dan mengumumkan untuk membayar perbelanjaan setiap satu keluarga sebanyak RM3,000.

Difahamkan, Tunku Ismail membayar lebih kurang RM1 juta keseluruhannya dan ia nyata mendapat reaksi positif rakyat yang menghargai keprihatinan baginda.

Categories
SUKANKINI

TMJ sah letak jawatan Presiden FAM

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 26 MAC: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sah meletak jawatan selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas setahun memimpin pasukan itu.

Perkara itu diumumkan baginda dalam sidang akhbar, di Hotel Phoenix, Forest City, Iskandar Puteri di Johor Bahru, semalam menurut laporan Football Tribe.

Tunku Ismail bertitah, sepanjang setahun menjadi presiden, beberapa perubahan dibawa berhubung aspek struktur dan sistem baharu ke dalam badan bola sepak Malaysia itu.

“Antaranya saya membawa ramai penaja dengan kali pertama dalam sejarah setiap pasukan bertanding terima hampir RM3 juta (Liga Super) juga RM1 juta (Liga Premier) dan ia akan meningkat.

“Selain itu, jika dilihat dari segi struktur, hubungan dengan penyokong lebih baik berbanding sebelum ini dan kita boleh tengok pasukan kebangsaan bawah 23 tahun, bawah 19 tahun juga bawah 16 tahun melakukan dengan baik,” katanya.

Surat perletakan jawatan itu diserahkan kepada Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Tunku Ismail bertitah, baguinda sering dinilai melalui prestasi pasukan kebangsaan, namun tidak menyalahkan penyokong kerana banyak pihak melihat dirinya sebagai pesaing.

“Bukan sebagai Presiden FAM tetapi sebagai pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang merupakan pasukan terhebat negara. Maka, ramai yang anggap saya sebagai pesaing dan nilai daripada segi orang kata kurang arif, kurang bijak.

“Pada saya, ini tidak kisah. Saya ada satu prinsip dalam hidup, masa adalah segala-galanya. Tidak kisah berapa kaya atau kuasa seseorang manusia itu, apa yang sudah hilang lima minit lalu tidak akan boleh dibeli balik.

“Bagaimanapun, saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang percaya kepada saya termasuk penaja dan pasukan bertanding,” katanya.

Tunku Ismail akan kekal sebagai Pengerusi Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) dan hanya fokus kepada pengurusan Liga Malaysia.

Categories
NASIONAL

TMJ sambut putera, pewaris tahkta

JOHOR BAHRU 14 OKT: Jumaah Majlis Diraja dalam satu Percanangan Dalam (pengumuman) dikeluarkan hari ini, memaklumkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che’ Puan Khaleeda Bustamam mendapat seorang putera yang juga waris kepada takhta kerajaan Johor.

Pengumuman Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli itu dimuat naik dalam laman web rasmi Johor Southern Tigers, hari ini.

“Jumaah Majlis Diraja sukacita mengumumkan keputeraan seorang waris takhta kerajaan negeri Johor pada hari ini,” katanya dalam pengumuman berkenaan.

Dalam kenyataan yang turut dimuat naik dalam laman web itu, memaklumkan Che Puan Khaleeda selamat melahirkan putera di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, hari ini, bagaimanapun tidak menyatakan waktu kelahiran ahli keluarga baharu Diraja itu.

“Merafak syukur kepada Allah SWT dan setinggi-tinggi tahniah kepada DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dan YM Che Puan Khaleeda atas keputeraan waris kepada takhta kerajaan Johor pada 14hb Oktober 2017 di Wad DiRaja, Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
“YM Che Puan Khaleeda dan puteranya berada dalam keadaan sihat walafiat,” kata kenyataan itu di media sosial JOHOR Southern Tigers.

Pada Jun tahun lalu, Tunku Ismail dan Che Puan Khaleeda menyambut kelahiran puteri sulung yang diberi nama Tunku Khalsom Aminah Sofiah.

 

 

=EZY=

Categories
SUKANKINI

Terima kasih Malaysia…

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 30 OGOS: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada skuad bola sepak bawah 22 (B-22) Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 walaupun tewas kepada Thailand dalam perlawanan akhir, malam tadi.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu berkata, skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee layak menerima penghargaan atas komitmen 100 peratus untuk memastikan Malaysia memberi saingan hebat kepada Thailand.

“Saya sebagai presiden FAM berasa sangat bangga mempunyai individu seperti anda, malah saya tahu keluarga dan kawan anda akan rasa bangga, apa yang anda buat dan korban kepada negara tiada orang boleh tarik.

“Itu hak anda selamanya, kalau saya ada satu benda atau perkataan untuk disampaikan, ia adalah terima kasih kerana memberi pesembahan begitu (terbaik) sepanjang Sukan Sea.

“Tiada orang suka kalah, kita tidak suka kalah tetapi itu tidak bermakna ini perjalanan terakhir kita,” kata baginda menerusi video dipaparkan di Facebook rasmi FAM.

TMJTunku Ismail berkata, walaupun mengakui kecewa atas kekalahan terbabit, namun aksi cemerlang dipamerkan pemain boleh dibanggakan kerana mereka adalah aset negara.

Pada masa sama, baginda turut menyarankan semua pemain bersatu dan memperbaiki kelemahan yang ada dengan menjadikan kekalahan, semalam sebagai satu pengajaran untuk melangkah ke hadapan.

“Perjalanan anda masih jauh dan syabas, jangan sedih kerana kalah menang normal dalam sukan. Apa yang penting, belajar daripada kesilapan dan kekalahan serta jadikan ia sebagai senjata untuk kita, pada masa akan datang,” kata baginda.

Malaysia berjaya memecahkan sasaran pingat emas dalam acara dwitahunan Sukan Sea ke-29 dengan 140 emas, namun gagal meraih emas dalam acara bola sepak setelah tewas kepada Thailand, 0-1.

Pasukan bola sepak Malaysia tersungkur, pada minit ke-39 selepas penjaga gol, Haziq Nadzli gagal menepis bola lalu tertolak ke gawang sendiri.

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Presiden FAM sah milik TMJ

SHAH ALAM, 25 MAC: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim secara rasmi dilantik sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.

tmjSetiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin mencadangkan pelantikan Tunku Ismail selepas tiada pertandingan bagi jawatan itu dalam Kongres FAM ke-53 yang berlangsung, di Petaling Jaya itu.

MalaysiaKini melaporkan, cadangan itu sebulat suara dipersetujui majoriti 38 perwakilan ‎yang hadir, sekali gus dinobatkan sebagai menang tanpa bertanding.

Pemilik JDT itu menjadi calon tunggal selepas pencabarnya, Tan Sri Annuar Musa menarik diri daripada pertandingan terbabit.

Sementara itu, kongres akan menyaksikan pemilihan bagi jawatan timbalan presiden, naib presiden dan barisan exco FAM bagi sesi 2017-2021.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

TMJ: “Anda seorang menteri, bukan tuhan tak boleh ditegur”

Oleh: DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim

Kebelakangan ini, saya hanya menyuarakan pandangan supaya mereka yang diberikan amanah jangan salahkan rakyat kerana hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap anda, tetapi fikirkanlah mengapa rakyat telah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap anda.

Nampaknya teguran saya secara baik ini telah mendapat maklum balas yang kasar daripada seorang menteri. Kalau saya mendapat jawapan sedemikian, apa harapan untuk teguran rakyat lain didengar?

Anda seorang menteri, bukannya tuhan dari syurga yang tidak boleh ditegur. Jangan fikir rakyat negara ini wujud untuk memberikan anda jawatan dan kekayaan, tetapi jawatan tersebut wujud supaya anda memberikan khidmat kepada rakyat.

TMJApabila saya bersuara, saya melakukannya sebagai pemimpin rakyat saya, rakyat Johor dan Malaysia. Saya hanya mengingatkan para pemimpin negara ini bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat, dan nampaknya oleh sebab itu saya diserang.

Dalam aturan dunia yang baru, saya membayangkan masa depan di mana setiap orang mempunyai hak menyuarakan pendapat masing-masing.

Namun, keadaan di Malaysia pada hari ini tidaklah begitu, menteri-menteri pantang ditegur. Saya rela dicemuh untuk mempertahankan perkara yang benar, daripada disanjung untuk membela perkara yang salah.

Saya bukan ahli politik. Saya hanya bertanggungjawab kepada Allah, Sultan saya, dan rakyat Johor.

Saya bukannya menjalankan suruhan seperti boneka. Johor hanya mempunyai tempat bagi mereka yang mahu berkhidmat kepada rakyat, bukan untuk mereka yang mahu meraih undi demi kepentingan peribadi.

Akan tiba suatu masa, di mana rakyat Johor perlu membuat keputusan demi kebaikan masa depan kita dan generasi yang akan datang. Kita akan bersatu dan membuat keputusan tersebut sebagai Bangsa Johor, untuk menempa masa depan kita.

Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Saya berdiri untuk rakyat saya, bukan untuk merebut kuasa, bukan untuk menumbangkan kerajaan, tetapi untuk menjaga kesejahteraan rakyat saya.

Saya tidak pernah menyuruh sesiapa berundur atau meletak jawatan, hanya sekadar memberi ingatan kepada ahli politik berkenaan peranan dan tanggungjawab mereka.

Sekiranya perkara seperti itu pun anda tidak boleh terima, jelaslah kepada seluruh rakyat betapa angkuh dan sombongnya anda.

Alhamdulillah, saya telah dikurniakan dengan kehidupan yang selesa. Kalau hendak diikutkan, saya boleh hidup dalam dunia saya sendiri tanpa menghiraukan permasalahan rakyat, tetapi saya di sini berdiri teguh bersama mereka.

Jadi kepada mereka yang ingin mencemar imej saya dan menjadikan saya musuh awam nombor satu, sesungguhnya rakyat lebih bijak dan mampu menilai sendiri.

Jangan gunakan saya untuk mengalihkan tumpuan daripada isu-isu nasional yang lain. Negara ini memerlukan ahli politik yang bersih dan telus, yang menjalankan tanggungjawab mereka dengan keikhlasan dan integriti.

* DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.