Categories
GLOBAL

Bahana sijil palsu: 9,900 kakitangan awam Tanzania dipecat

TANZANIA, 1 MEI: Bahana menggunakan sijil sekolah dan kolej palsu, lebih 9,900 kakitangan awam Tanzania dipecat serta merta susulan pemeriksaan di seluruh negara itu.

Presidennya, John Magufuli mengambil langkah drastik itu pada pemegang ijazah palsu selepas operasi pembersihan dilancarkan pada Mac tahun lalu menemui lebih daripada 19,700 ‘pekerja hantu’ di dalam senarai gaji sektor awam negara Afrika Timur itu.

“Kami bekerja keras mewujudkan peluang pekerjaan baharu tapi ada pula orang dalam kerajaan memegang ijazah palsu.

J Magufuli“Kerajaan juga kehilangan 238bn syiling (RM461j) setiap tahun untuk ‘pekerja hantu’,” katanya lapor The Guardian.

Beliau turut memberitahu, penjawat awam terlibat sudah dikeluarkan daripada senarai gaji awam.

Untuk rekod, Tanzania membelanjakan lebih £200 juta (RM1.1b) sebulan bagi membayar gaji kakitangan awamnya.

Selain itu, Magufuli mengarahkan untuk menyiarkan nama-nama penjawat awam yang mempunyai kelayakan akademik palsu.

“Laporan udit juga mendapati bahawa rekod akademik lebih 1,500 penjawat awam digunakan beberapa individu, manakala lebih 11,500 kakitangan kerajaan mempunyai rekod akademik tidak lengkap,” katanya.

Aduan rasuah dan ketidakcekapan kerajaan adalah halangan utama menarik pelabur masuk ke Tanzania.

Sebaik dipilih pada Oktober 2015, Magufuli juga telah menolak beberapa pegawai kanan, termasuk ketua badan anti-rasuah kerajaan, ketua cukai dan ketua pihak berkuasa pelabuhan sebagai sebahagian daripada usaha anti rasuah lebih luas.