Categories
AGENDA SUKANKINI

McPhee sendiri di GP Styria susulan cedera Super KIP

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Petronas Sprinta Racing Team mempertaruhkan harapan ke atas John McPhee bagi memburu kemenangan podium pada perlumbaan Grand Prix (GP) Styria di Litar Red Bull Ring, Austria minggu ini.

Ini susulan ketiadaan rakan sepasukan yang juga pelumba negara, Khairul Idham Pawi (KIP) yang akan ke Barcelona, Sepanyol bagi menjalani rawatan akibat kecederaan jari yang dihadapinya ketika perlumbaan GP Austria, minggu lepas.

Prinsipal pasukan Datuk Razlan Razali berkata pihaknya membuat keputusan untuk merehatkan pelumba negara pada perlumbaan akan datang bagi memberi peluang kepada beliau pulih sepenuhnya.

“Ini membolehkannya pulih dan berehat selama tiga minggu, supaya beliau kembali lebih baik pada perlumbaan di Misano.

“Ia keputusan yang sukar bagi pihak pengurusan dan juga KIP, tapi ia demi keselamatan dan kesihatan serta kebaikan pasukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, pelumba Britain berusia 26 tahun tidak tertekan dan berazam untuk meraih kemenangan podium seterusnya musim ini.

McPhee kini menduduki tangga kedua keseluruhan dalam kejuaran dunia kelas Moto3 dengan mengumpul 67 mata, manakala KIP masih belum mengutip sebarang mata selepas lima perlumbaan.

“Saya rasa tidak banyak perubahan dilakukan untuk perlumbaan hujung minggu ini, mungkin beberapa komponen sahaja. Kejayaan podium tempoh hari sangat menyeronokkan dan sudah semestinya saya mahu mengulanginya lagi.

“Saya rasa kami mempunyai sedikit kelemahan di jalan lurus. Saya rasa cara menghadapi sesi latihan, perlumbaan dan persiapan jentera berjalan dengan baik, saya yakin akan ada satu lagi hasil yang baik,” katanya.

GP Styria berlangsung pada 21 hingga 23 Ogos.

-BERNAMA

Categories
SUKANKINI

McPhee lakar sejarah Petronas Sprinta di GP Perancis

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Pelumba Scotland, John McPhee mencipta kemenangan pertama pasukan Petronas Sprinta Racing apabila menjuarai perlumbaan Moto3 pada MotoGP Dunia di Grand Prix (GP) Perancis di Litar Bugatti, Le Mans, semalam.

Pelumba berusia 24 tahun itu, yang memulakan saingan dari petak utama, berjaya menamatkan perlumbaan 22 pusingan dengan catatan masa 37 minit 48.689 saat untuk meninggalkan pencabar terdekat dari Itali, Lorenzo Dalla Porta daripada pasukan Leopard Racing, dengan kelebihan 0.106s.

Tempat ketiga dimenangi pelumba Sepanyol, Aron Cadet daripada pasukan Sterliqarda Max Racing dengan ketinggalan 0.757s manakala rakan sepasukan McPhee, Ayumu Sasaki dari Jepun menduduki tempat ke-14.

Selepas gagal menghuni tempat 10 pelumba terbaik dalam empat perlumbaan musim ini, pencapaian McPhee kali ini merupakan kedua selepas kali pertama pada GP Republik Czech pada 2016.

“Saya tidak dapat menjelaskan apa-apa. Saya sangat beremosi dengan kejayaan ini… sudah sekian lama….selepas bergelut dengan prestasi sejak awal musim ini,” katanya dalam kenyataan.

Kejayaan itu membolehkan beliau menduduki tempat kesembilan keseluruhan dalam kejuaraan dunia dengan mengumpul 34 mata selepas lima perlumbaan.

Sementara itu, dalam acara Moto2, pelumba Itali, Mattia Pasini, yang menggantikan sementara Khairul Idham Pawi yang mengalami kecederaan jari kanan, terkeluar seawal pusingan kedua selepas berlanggar dengan rakan senegara, Lorenzo Baldassarri daripada pasukan Flexbox HP 40.

Dalam MotoGP, pelumba pasukan Petronas Yamaha SRT, Franco Morbidelli dari Itali menamatkan saingan di tempat ketujuh selepas ketinggalan 7.189s di belakang juara, Marc Marquez dari Sepanyol yang merakamkan catatan masa 41’53.647s.

Rakan sepasukan Morbidelli , Fabio Quartararo dari Sepanyol menduduki tempat kelapan.

Pelumba pasukan Red Bull KTM Tech 3, Hafizh Syahrin Abdullah menduduki tangga ke-14 dalam penampilan sulungnya dalam kategori premier itu.

– BERNAMA