Categories
AGENDA NASIONAL

Empat individu ditahan, lupus sisa buangan toksik punca penduduk sesak nafas

JOHOR BAHRU, 15 SEPT: Empat individu termasuk pemilik premis yang dipercayai terlibat dalam pelupusan secara haram bahan buangan terjadual sehingga memaksa segelintir penduduk di Kampung Baru Sri Aman Seelong keluar dari kediaman malam tadi, ditahan pagi ini.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang mengesahkan tangkapan berkenaan berkata keempat-empat lelaki warga tempatan itu ditahan pihak Jabatan Alam Sekitar kira-kira 11.30 pagi tadi, di premis berkenaan, tidak jauh dengan lokasi kejadian.

Beliau berkata susulan kejadian pelupusan haram itu, empat mangsa kesemuanya perempuan berusia antara 24 hingga 49 tahun dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan lanjut ekoran mengalami masalah sesak nafas.

“Kita bersama JAS telah pun membuat tangkapan empat orang termasuk pemilik premis yang disyaki terlibat dalam insiden pembuangan sisa toksik ini.

“Maklumat selebihnya kita akan bagi kemudian sebab tangkapan baru sahaja dilakukan tadi. Pihak polis akan beri bantuan sepenuhnya kepada pihak JAS untuk operasi susulan, mungkin ada lagi lokasi-lokasi yang kita perlu periksa serbu dan mungkin ada tangkapan-tangkapan yang kita perlu buat,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Johor Dr Mohd Famey Yusoff yang ditemui di lokasi berkenaan berkata proses pensampelan di kawasan tercemar telah dilakukan dan sampel yang diambil akan dihantar ke Jabatan Kimia, sama ada di Melaka atau Petaling Jaya untuk dianalisis.

“Pada masa ini, kita tidak boleh menentu pasti apakah bahan yang dibuang sebenarnya. Bagaimanapun, kita telah dapat kenal pasti puncanya (cuma) kita tak boleh maklumkan dulu, ia mesti melalui analisis makmal.

“Pada ketika ini, pegawai kita dan pihak polis akan buat serbuan ke premis-premis yang dipercayai melakukan pelupusan secara haram,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan meneruskan pemantauan 24 jam dari sekarang bagi memastikan bahan kimia berkenaan tidak membahayakan penduduk sekitar.

“Ketika ini seperti yang semua maklum, tiada bau dan sebagainya dan tiga jenis bahan kimia di udara (dikesan) yang kita cerap bacaannya tahap 0.6 hingga 1 ppm (bahagian setiap juta) jadi ia sangat rendah, kurang dan minimum.

“Oleh itu, kita akan pantau untuk pastikan tidak berlaku peningkatan dan sekaligus untuk kita beri keyakinan kepada penduduk kawasan tersebut selamat,” kata Mohd Famey.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua pelajar sekolah di Selangor, pekerja bank di JB positif Covid-19

SHAH ALAM, 28 SEPT: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor memaklumkan terdapat dua pelajar di sebuah sekolah menengah di Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang dikesan positif Covid-19.

Bagaimanapun Pengarahnya Datuk Dr Sha’ari Ngadiman ketika dihubungi berkata, kedua-dua pelajar berkenaan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Kedua-dua pelajar berkenaan yang juga adik beradik disyaki dijangkiti oleh abang mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) Izmi Ismail pula berkata, sekolah berkenaan masih meneruskan sesi persekolahan seperti biasa hari ini, namun kelas kedua-dua adik beradik itu disanitasi sepenuhnya terlebih dahulu, sebelum digunakan.

Katanya, sebarang tindakan lanjut seperti penutupan sekolah itu sekiranya perlu, adalah berdasarkan kepada nasihat daripada Pejabat Kesihatan Daerah Klang.

Sementara itu di Johor Bahru, CIMB Group Holdings Bhd hari ini mengesahkan satu kes Covid-19 melibatkan seorang kakitangannya yang bertugas di bahagian komersial, cawangan Permas Jaya.

Kumpulan itu menyatakan sebagai tindakan pencegahan, keseluruhan cawangan itu melalui pensanitasian dan pembersihan, semalam (27 Sept).

“Ini berikutan satu kes yang disahkan Covid-19 di pejabat Komersial Bank CIMB, yang terletak di tingkat berbeza cawangan Permas Jaya. Tiada kakitangan cawangan bank berurusan dengan pekerja komersial bank tersebut,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook CIMB Malaysia hari ini.

Bank tersebut turut memberikan jaminan kepada pelanggannya yang cawangan bank CIMB Bandar Baru Permas Jaya dibuka seperti biasa.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Johor Dr Aman Rabu yang dihubungi, turut mengesahkan proses sanitasi yang dilakukan CIMB itu adalah atas inisiatif sendiri dan langkah-langkah kawalan, berikutan pengesanan kes Covid-19 melibatkan kakitangan bank berkenaan.

Beliau berkata demikian, ketika diminta mengulas mengenai beberapa keping gambar yang tular di media sosial, mendakwa terdapat kes Covid-19 di cawangan bank berkenaan, yang menunjukkan beberapa individu sedang melakukan proses sanitasi.

-BERNAMA