Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

600 penduduk Pandamaran terima baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina

SHAH ALAM, 31 JAN: Seramai 600 keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran menerima baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina bernilai RM100.

Wakil rakyatnya Tony Leong Tuck Chee berkata penerima merupakan golongan berpendapat rendah (B40), orang kelainan upaya, warga emas serta ibu tunggal.

“Pemberian ini membantu meringankan beban mereka dalam menyediakan keperluan sambutan Tahun Baharu Cina.

“Baucar tersebut boleh dibelanjakan di Giant Bukit Tinggi sejak 2 Januari lalu hingga esok (hari ini). Harap bantuan ini digunakan sebaik mungkin,” katanya kepada SelangorKini.

Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri yang menyasar kumpulan B40 sebagai inisiatif jangka panjang bagi membela kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Serahan bantuan dibuat melalui pusat khidmat masyarakat di kawasan masing-masing mengikut komponen utama kaum dan sambutan perayaan.

Categories
ADN SELANGOR

450 baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina untuk penduduk Kota Kemuning

SHAH ALAM, 30 JAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning mengagihkan 450 baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina bagi meringankan beban penduduk menyediakan keperluan.

Wakil rakyat V Ganabatirau berkata 100 daripada baucar terbabit merupakan tambahan pihaknya dengan peruntukan RM10,000 selepas mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penduduk.

“Hampir 90 peratus penerima merupakan mangsa banjir pada Disember lalu. Kita harap penambahan ini membantu mereka.

“Kebanyakan penerima adalah golongan B40 (keluarga berpendapatan rendah), warga emas, ibu tunggal atau orang kelainan upaya,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

EXCO kerajaan prihatin itu berkata pihaknya turut mengagihkan baucar dengan nilai sama sumbangan Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) kepada 30 penerima layak.

“Penerima boleh menggunakan baucar berkenaan di pasar raya Giant Kota Kemuning dan mana-mana cawangan 99 SpeedMart berdekatan,” katanya.

Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri yang menyasar kumpulan B40 sebagai inisiatif jangka panjang bagi membela kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Serahan bantuan dibuat melalui pusat khidmat masyarakat di kawasan masing-masing mengikut komponen utama kaum dan sambutan perayaan.