Categories
NASIONAL SELANGOR

PKR Lancar Institut Rakyat, Lahirkan Dasar Lebih Baik

institut rakyat PKR 01

SUBANG JAYA, 21 FEB : PKR hari ini melancarkan Institut Rakyat bagi menjalankan penyelidikan dan membuat formula dasar ke arah keadilan sosial dan masa depan mampan negara.

Badan pemikir itu akan mendapatkan pandangan awam, masyarakat sivil, pembuat dasar, ahli korporat dan sektor awam melalui bengkel perbincangan, forum, persidangan dan penerbitan kertas kerja bagi melahirkan dasar.

Menurut Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim Insitut Rakyat dengan slogan ‘Ke Arah Malaysia Baru’ tersebut dilahirkan dari hasil desakan pemimpin muda dalam PKR.

“Ini sesuatu yang baru, ahli politik seperti saya dari masa ke semasa terpaksa tunduk kepada tokoh-tokoh muda yang mahukan Institut Rakyat ditubuhkan,” kata Anwar sebelum melancarkan ‘think tank’ tersebut dihadapan lebih 100 hadirin.

Sementara itu, Pengerusi Institut Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dalam sidang medianya berkata Institut Rakyat tetap menjalankan fungsi sebagai badan pemikir dan pengkritik kerajaan walaupun sekiranya PKR mentadbir Putrajaya nanti.

Selain Dr Wan Azizah sebagai Pengerusi, turut berada dalam lembaga pengarah Institut Rakyat, Dr Syed Husin Ali sebagai Timbalan Pengerusi, Dr Mehnun Siraj dan tiga nama lain.

Sebelum itu, majlis pelancaran Institut Rakyat yang diadakan di Hotel Empire Subang petang tadi turut dihadiri beberapa ahli akedemik, ahli ekonomi dan pemimpin PKR.

Antara yang turut hadir termasuklah, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Pengarah Startegi PKR, Mohd Rafizi Ramli, bekas Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali, Ahli Ekonomi, Dr Jomo Sundaram dan Pakar ekonomi Azrul Azwar Ahmad Tajudin.