Categories
AGENDA EXCO SELANGOR

Empat lelaki ditahan ambil kayu bakau tanpa kebenaran

SHAH ALAM: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) menahan empat lelaki yang didakwa mengambil hasil hutan kayu bakau berhampiran Sungai Kembung, Pulau Indah pada 23 Ogos lalu.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata operasi yang turut disertai Pasukan Gerak Am (PGA) Pulau Carey turut menyita sampan fiber, enjin sangkut, 200 batang kayu jaras bakau dan tiga motosikal.

“Lebih kurang jam 9.00 malam, pasukan berjaya menahan empat lelaki yang memunggah kayu jaras bakau daripada sampan ke tebing sungai. Mereka telah dibawa ke Balai Polis Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau individu terbabit disiasat di bawah Seksyen 84(1) Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 dan jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih RM200,000 atau dipenjarakan tidak kurang setahun atau kedua-duanya.

“Manakala kayu jaras bakau yang disita disimpan sementara di Pejabat Renj Hutan Pelabuhan Klang sebelum proses lelongan dijalankan.”

Categories
SELANGOR

Jabatan Perhutanan Selangor selenggara 10 taman eko rimba

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 6 JULAI: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) kini menyelenggara 10 taman eko rimba di negeri ini, kata Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Puat Dahalan.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat pemantauan berkala bagi kemudahan disediakan buat pengunjung.

“Setiap tahun JPNS menerima peruntukan bagi membolehkan kerja selenggaraan ini berjalan lancar dan kemungkinan jumlah tersebut itu ditambah lagi.

“Justeru, kami menggesa orang ramai terutamanya pengunjung menjaga kebersihan serta kemudahan disediakan,” katanya kepada SelangorKini.

Antara taman eko rimba yang dipantau sepenuhnya JPNS ialah Taman Eko Rimba Sungai Tengkala, Taman Rimba Eko Gunung Nuang, Taman Rimba Eko Sungai Congkak, Taman Rimba Eko Sungai Gabai, Taman Rimba Eko Ampang, Taman Rimba Eko Sungai Tua, Taman Rimba Eko Sungai Sendat, Taman Rimba Eko Komanwel, Taman Rimba Eko Kanching dan Taman Rimba Eko Templer.

Beliau berkata demikian selepas Program L’oreal Citizen Day di Taman Eko Rimba Sungai Tengkala.

Hadir sama Pengarah Urusan L’oreal Malaysia Sdn Bhd, Malek Bekdache dan Pengarah LESTARI Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Raihan Mohd Taha.

Mohd Puat berkata, taman eko rimba dahulunya dikenali sebagai hutan lipur diperkenalkan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), pada penghujung 2016.

Katanya, penjenamaan semula hutan lipur kepada taman eko rimba dilaksanakan semua Jabatan Perhutanan Negeri termasuk JPNS bagi memberi imej lebih positif, di samping mengelakkan kekeliruan penggunaan nama hutan lipur oleh agensi lain.

“Hutan ataupun taman eko rimba ini bukan saja berfungsi sebagai tempat perlindungan yang menjadi habitat kepada pelbagai spesies flora dan fauna, malah ia juga turut menjana kitaran hidrologi dan udara sehingga membolehkan kelangsungan kehidupan lain,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

JPNS kutip hasil RM158.7 juta

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 14 NOV: Jabatan Perhutanan Selangor (JPNS) berjaya meraih pendapatan mencecah RM158.7 juta, setakat September lalu.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, ia diperolehi menerusi aktiviti kuari, pembersihan di tanah milik kerajaan dan hutan simpan kekal.

Katanya, tiada lesen pembalakan komersial dikeluarkan sejak dasar moratorium 25 tahun memberhentikan pembalakan komersial diperkenalkan, pada 2010.

“Sejak dasar moratorium diamalkan, tiada lagi kawasan pembalakan aktif di Selangor.

“Memang ada pencerobohan bagi aktiviti pembalakan haram, namun JPNS sudah mengambil tindakan sewajarnya termasuk mengenakan kompaun dan melaporkan kepada polis,” katanya.

Elizabeth berkata, JPNS turut menerima hasil pengenaan kompaun kesalahan hutan iaitu RM68,534 pada 2014, RM64,100 (2015), RM145,300 (2016) dan RM54,800 setakat Ogos lalu, bagi tahun ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim berhubung pembalakan haram, di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menjawab pertanyaan ADN Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz berhubung industri pembalakan.