Categories
AGENSI SELANGOR

Selangor Kerjaya tawar kelainan, jadi contoh negeri lain

SHAH ALAM, 28 JAN: Program Selangor Kerjaya menawarkan kelainan dengan menyediakan latihan secara dalam talian serta membantu proses temu duga pemohon.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) berkata inisiatif itu membantu majikan mendapat pekerja yang menepati kekosongan jawatan selain bimbingan mentor untuk memantapkan prestasi kerja.

“Sebagai negeri maju dan penyumbang utama ekonomi negara, Selangor sentiasa ke hadapan untuk melaksanakan pelbagai daya usaha serta landasan kepada belia untuk memajukan diri.

“Justeru MBM berharap usaha ini menjadi contoh kepada negeri lain supaya kita dapat mengimbangi kesan penularan Covid-19,” kata Jufitri Joha kepada SelangorKini.

Pada Selasa, Dato’ Menteri Besar mengumumkan pekerja terpilih menerusi Selangor Kerjaya bakal menjalani latihan secara dalam talian bersama syarikat besar atau ternama dengan bimbingan mentor untuk memantapkan prestasi serta menyesuaikan diri dengan pekerjaan baharu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif tersebut seiring usaha membantu warga Selangor meningkatkan kemahiran, menjalani latihan semula kemahiran atau mempelajari kemahiran baharu bagi menyokong kemahiran sedia ada.

Selangor Kerjaya menawarkan 10,000 peluang pekerjaan dalam tempoh tiga tahun pascawabak Covid-19 dan sebagai permulaan, 2,000 peluang disediakan kepada lepasan universiti, vokasional dan sekolah menengah.

Categories
AGENDA NASIONAL

MBM sokong pindaan Akta DBP 1959 perkasa guna bahasa Melayu

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Majlis Belia Malaysia (MBM) menyokong dan mendukung penuh usaha meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 (Semakan 1978, Pindaan dan Peluasan 1995) untuk memperkasa penggunaan bahasa Melayu di negara ini.

Presiden MBM Jufitri Joha berkata tujuan pindaan akta tersebut adalah untuk memberi kuasa kepada DBP mengenakan tindakan terhadap pihak yang ingkar kepada pemakaian bahasa Melayu yang dijamin oleh undang-undang.

“Setelah hampir 64 tahun merdeka, malangnya umum melihat bahasa Melayu belum cukup ditempatkan secara wajar dan saksama bahkan terkadang tidak dipedulikan.

“DBP sebagai pemegang taruh yang bertanggungjawab memelihara amanah bahasa kebangsaan perlu diberikan kuasa untuk mengambil tindakan bukan sekadar menggalakkan sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Jufitri, Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 menetapkan bahawa segala urusan rasmi kerajaan harus menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara.

“Bagaimanapun sebahagian besar seksyen yang terdapat pada keseluruhan akta berkenaan hanya berkisar terhadap usaha menggalak dan mendorong pemakaian bahasa kebangsaan tanpa memberikan kuasa mengambil tindakan.

“Justeru, MBM memberikan sokongan terhadap DBP dan syor yang diambil untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Draf pindaan Akta DBP 1959 (Semakan 1978, Pindaan dan Peluasan 1995),” katanya.

Pada masa sama katanya, pelantikan Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) Datuk Zainal Abidin Borhan sebagai Pengerusi jawatankuasa itu dilihat satu langkah yang tepat, sementara MBM juga merupakan antara anggota jawatankuasa tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan supaya Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) terus diperkasakan bagi mencapai agenda “Kemakmuran Bersama” dan status negara maju.

– BERNAMA