Categories
AGENDA NASIONAL

Aura bahasa Melayu Dr. Malar, Mekyun

IPOH, 26 OGOS: Suka betul dengar segmen celoteh Dr Malar, penggunaan bahasa yang sedap didengar, menurut Ummi Nadiah dalam ruangan komen Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Bukan beliau sahaja, malah ramai lagi yang mengikuti Program Ambang Merdeka, Celoteh Dr Malar secara langsung di media sosial DBP itu turut memuji kepetahan doktor perubatan kelahiran Kuantan, Pahang tersebut berbahasa Melayu.

Apa tidaknya, tiap butir perkataan yang keluar daripada pemilik nama penuh, Malar Santhi Santherasegapan tersusun cantik dengan penggunaan bahasa yang standard.

Kefasihannya itu menjadikan doktor perubatan yang bertugas di hospital swasta di Lembah Klang ini sering menarik perhatian pelayar media sosial khususnya di platform TikTok tatkala beliau berkongsi tips kesihatan terutamanya mengenai virus Covid-19 dan vaksinasi.

Sementara itu, tidak kurang juga perhatian yang diterima seorang anak muda berbangsa Cina yang mesra dipanggil Mekyun dalam kalangan pengikut media sosial Instagram dan TikToknya apabila sering memuat naik video dalam dialek Kelantan dan Bahasa Melayu.

Berjaya mengumpul lebih 100 ribu pengikut, Mekyun atau nama sebenarnya Wee Yun Nee, 24, tidak ketinggalan berkongsi tentang kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan sehingga ada menggelarnya sebagai ikon bagi menggalakkan lebih ramai rakan bangsa lain untuk turut sama menggunakan bahasa kebangsaan itu.

Namun, apabila melihat kekaguman ramai terhadap kaum bukan Melayu fasih berbahasa Melayu, timbul persoalan, mengapa ia menjadi sesuatu yang pelik apabila bangsa lain petah berbahasa kebangsaan?

Walhal, bukankah bahasa Melayu yang merupakan bahasa rasmi itu sepatutnya fasih diucapi dan dilazimi dalam kalangan masyarakat Malaysia tanpa mengira bangsa apapun?

Keadaan ini berlaku kerana Bahasa Melayu belum begitu diterima oleh rakyat bukan Melayu di negara ini sekali gus menyebabkan ramai yang tidak fasih dan gagal menguasainya dengan baik, menurut Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Teo Kok Seong.

“Sangat menyedihkan, setelah 64 tahun negara mencapai kemerdekaan, Bahasa Melayu hanya menjadi instrumen untuk lulus peperiksaan sahaja bagi mencukupi syarat mendapatkan sijil.

“Kebanyakan mereka ini belajar Bahasa Melayu kerana terpaksa, bukan sebab mereka bangga untuk menuturkannya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Tegas Teo, apabila seseorang itu tidak merasa bangga menggunakan bahasa kebangsaan, ini bermakna tiada kecintaan dan kesetiaan yang ditonjolkan dalam diri mereka untuk berusaha fasih bahasa tersebut dengan bergaul dalam komuniti pengguna Bahasa Melayu sebagaimana mereka berbangga mempelajari Bahasa Inggeris untuk masuk ke dalam komuniti yang menuturkan bahasa tersebut.

Sementara itu, Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh Dr Yahya Osman berkata pujian dan galakan harus diberikan kepada kedua-dua personaliti Dr Malar dan Mekyun untuk diangkat sebagai ikon kepada masyarakat India dan Cina dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian.

“Pada zaman teknologi yang semakin berkembang ini, terdapat beberapa individu daripada bangsa lain seperti Dr Malar yang rajin berkongsi cerita berkenaan Covid-19, Mekyun dan beberapa lagi pemuda berbangsa Cina yang memuat naik video menggunakan bahasa Melayu dengan fasih dan baik.

“Kita harus memuji usaha-usaha baik ini dan menggalakkan lebih ramai lagi individu yang bukan asalnya penutur jati Melayu seperti ini supaya Bahasa Melayu dapat dimartabatkan sebaiknya termasuklah di platform media sosial,” katanya.

Yahya berkata inisiatif warganet ketika ini dalam memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu bukan sekadar penyampaian maklumat sahaja malah sebagai medium untuk berkomunikasi dengan setiap masyarakat berbilang bangsa dalam merapatkan hubungan antara satu sama lain.

Jelasnya, penggunaan Bahasa Melayu dalam pergaulan harian masyarakat termasuklah di alam maya amat penting kerana itu dapat membantu untuk menguasainya dengan lebih baik sekali gus menjadi contoh terbaik buat anak mereka.

“Pergaulan amat penting dalam mempengaruhi penggunaan Bahasa Melayu. Contohnya, anak-anak atau pelajar Malaysia yang belajar mahupun tinggal di luar negara, penggunaan Bahasa Inggeris mereka lancar kerana pengaruh persekitaran dan pergaulan harian.

“Daripada situ mereka dapat mengenal loghat serta cara sebutan yang betul dan begitu jugalah dengan Bahasa Melayu apabila ia sentiasa digunakan, pasti ramai yang akan fasih,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MBM sokong pindaan Akta DBP 1959 perkasa guna bahasa Melayu

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Majlis Belia Malaysia (MBM) menyokong dan mendukung penuh usaha meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 (Semakan 1978, Pindaan dan Peluasan 1995) untuk memperkasa penggunaan bahasa Melayu di negara ini.

Presiden MBM Jufitri Joha berkata tujuan pindaan akta tersebut adalah untuk memberi kuasa kepada DBP mengenakan tindakan terhadap pihak yang ingkar kepada pemakaian bahasa Melayu yang dijamin oleh undang-undang.

“Setelah hampir 64 tahun merdeka, malangnya umum melihat bahasa Melayu belum cukup ditempatkan secara wajar dan saksama bahkan terkadang tidak dipedulikan.

“DBP sebagai pemegang taruh yang bertanggungjawab memelihara amanah bahasa kebangsaan perlu diberikan kuasa untuk mengambil tindakan bukan sekadar menggalakkan sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Jufitri, Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 menetapkan bahawa segala urusan rasmi kerajaan harus menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara.

“Bagaimanapun sebahagian besar seksyen yang terdapat pada keseluruhan akta berkenaan hanya berkisar terhadap usaha menggalak dan mendorong pemakaian bahasa kebangsaan tanpa memberikan kuasa mengambil tindakan.

“Justeru, MBM memberikan sokongan terhadap DBP dan syor yang diambil untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Draf pindaan Akta DBP 1959 (Semakan 1978, Pindaan dan Peluasan 1995),” katanya.

Pada masa sama katanya, pelantikan Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) Datuk Zainal Abidin Borhan sebagai Pengerusi jawatankuasa itu dilihat satu langkah yang tepat, sementara MBM juga merupakan antara anggota jawatankuasa tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan supaya Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) terus diperkasakan bagi mencapai agenda “Kemakmuran Bersama” dan status negara maju.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Cadangan pinda akta DBP tingkat kesedaran guna bahasa kebangsaan

KUALA LUMPUR, 6 JULAI: Cadangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) supaya kerajaan meminda Akta DBP dilihat mampu meningkatkan kesedaran orang ramai dalam penggunaan bahasa Melayu dengan lebih bertanggungjawab.

Menurut Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), pindaan yang dicadangkan bagi membolehkan DBP mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang tidak menghormati bahasa kebangsaan itu juga dapat memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan satu daripada bahasa utama dunia.

“Selaras dengan fungsinya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pemersatuan rakyat, bahasa Melayu perlulah diangkat dalam semua bidang termasuk pentadbiran, pendidikan, undang-undang, media dan sebagainya melalui penguasaan bahasa secara tegas, berkesan dan berterusan.

“Melalui komitmen kerajaan dalam meminda Akta DBP itu, kami yakin semua pihak akan akur kepada penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam semua ranah kehidupan, secara lebih bertanggungjawab,” menurut PPM dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, penguatkuasaan undang-undang merupakan satu daripada langkah bagi mengawal selia serta memastikan penggunaan bahasa yang betul, jitu dan bermutu selain menimbulkan kesedaran dalam masyarakat berbilang kaum tentang wujudnya bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

PPM turut bersedia menggalas tanggungjawab bersama DBP bukan sahaja dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama negara, malah sehingga ke peringkat antarabangsa, setanding bahasa utama lain di dunia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

ABIM saran DBP diperkasa, atasi isu bahasa Melayu

SHAH ALAM, 23 OGOS: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa supaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diberi peranan lebih luas dan berkesan dalam menangani isu penggunaan bahasa Melayu yang membimbangkan ketika ini.

Setiausaha Agungnya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, penggunaan bahasa kebangsaan penting untuk semua pihak peka dan sensitif khususnya dalam program rasmi membabitkan kerajaan.

Katanya, ia merujuk kepada bahasa kebangsaan yang dipelihara kedudukannya menerusi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan.

“Jika program rasmi kerajaan sendiri tidak memartabatkan bahasa kebangsaan, bagaimana mungkin kita menerapkan kepentingan bahasa kepada agensi swasta serta masyarakat.

“Tindakan segera perlu diambil, memandangkan hanya bangsa yang tidak mempunyai jati diri serta akar budaya sahaja, akan memperlekeh bahasanya sendiri.

“Malah, tiada kempen agresif mendaulatkan bahasa kebangsaan merentas sektor, ditambah pula penguasaan bahasa Melayu lemah pada peringkat sekolah vernakular dan persendirian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian merujuk kepada pengumuman nama Hari Sukan Negara 2019 yang ditukar kepada Malaysia Sports Challenge 2019 oleh Kementerian Belia dan Sukan seperti diumumkan Timbalan Menterinya, Steven Sim Chee Keong.

Muhammad Faisal berkata, tindakan kerajaan itu merentap jiwa rakyat serta pendukung bahasa yang cintakan bahasa dan negaranya.

Katanya, ABIM tidak menafikan kepentingan menguasai bahasa lain tetapi meminta kementerian menukar semula nama program tebabit ke dalam bahasa kebangsaan.

“Mentaliti penggunaan istilah bahasa Inggeris pada nama sesuatu program rasmi kerajaan untuk kononnya dilihat ‘maju’ atau ‘komersial’ adalah gejala pemikiran terpasung serta minda terjajah,” katanya.

“ABIM tegas isu yang absah dan menjadi perkara pokoknya ialah penggunaan bahasa Melayu merentas sektor yang semakin dipinggirkan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

DBP tidak setuju tukar nama Hari Sukan Negara kepada MYSC’19

KUALA LUMPUR, 23 OGOS: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak bersetuju dengan keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menukar nama program Hari Sukan Negara 2019 kepada Malaysia Sports Challenge 2019 (MySC’19).

DBP dalam kenyataannya berkata, sekiranya program atau aktiviti diadakan di peringkat antarabangsa, DBP mencadangkan nama program dibuat secara dwibahasa iaitu dengan mendahulukan bahasa kebangsaaan dan diikuti dengan terjemahan.

“Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 memperuntukkan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

“Bahasa rasmi yang dimaksudkan ialah bahasa yang digunakan dalam semua maksud rasmi meliputi wacana lisan dan tulisan di peringkat kerajaan persekutuan, kerajaan-kerajaan negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan,” kata kenyataan itu.

DBP berkata, penjenamaan semula ini menunjukkan pihak KBS tidak selari dengan hasrat kerajaan untuk meluaskan penggunaan bahasa Melayu termasuklah dalam program rasmi kerajaan.

“DBP menyarankan semua kementerian dan agensi kerajaan mendaulatkan bahasa kebangsaan sebagai identiti negara serta wahana komunikasi dan perpaduan dalam semua program peringkat jabatan, kebangsaan dan antarabangsa,” kata kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

‘Respek’, kerajaan pinggir maruah bahasa

gambar hiasan
gambar hiasan

SHAH ALAM 27 OGOS : Pihak Kerajaan digesa merujuk kepada pakar bahasa dan Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) sebelum memilih sebarang istilah untuk dijadikan tema agar tepat penggunaannya.

Presiden Kumpulan Sasterawan Kayvan, Uthaya Shankar SB, berkata ‘membelakangkan’ pandangan pakar bahasa dan DBP disifatkan tindakan ‘membunuh’ bahasa itu sendiri yang tidak sepatutnya berlaku.

Baru-baru ini kerajaan memilih untuk menggunakan perkataan ‘respek’ untuk tema sambutan Hari Wanita 2013 iaitu ‘Respek Wanita: Masyarakat Sejahtera’.

“Ia memberikan gambaran bahawa kita sendiri tidak memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan.

“Sedangkan istilah yang setara dan sama maksudnya sudah wujud dalam bahasa Melayu seperti ‘respek wanita’ sepatutnya boleh menggunakan ‘hormati wanita’,” kata Uthaya ketika dihubungi TVSelangor.

Katanya, tindakan menuding jari terhadap DBP setiap kali berlakunya isu bahasa adalah tidak adil kerana pihak terbabit sewajarnya membuat rujukan dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Macam isu ‘respek’ ini, saya percaya mereka tidak merujuk kepada DBP atau pakar bahasa.

“Sepatutnya apabila mereka sedar sudah lemah dalam penggunaan bahasa, maka patut merujuk kepada pakar bahasa yang mencintai bahasa bagi mendapatkan pandangan yang terbaik,” kata beliau.

Katanya, tidak ada keperluan untuk menggunakan perkataan ‘respek’ walaupun ia wujud dalam kamus kerana istilah ‘hormat’ sudah lama wujud dan lebih sesuai digunakan.

“Secara umumnya kementerian dan kerajaan tidak merujuk kepada pakar bahasa, jika mereka merujuk sudah tentu ia tidak akan mendatangkan masalah.

“Rujuklah pakar bahasa sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.

Beliau berkata, DBP mempunyai kuasa untuk memantau penggunaan bahasa di negara ini dan membuat teguran terhadap pihak terbabit jika berlakunya kesalahan penggunaan tatabahasa.

“Namun DBP mempunyai kuasa terhad kerana diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan yang kedudukannya agak rendah sehingga sukar untuk membuat teguran terhadap pihak Perdana Menteri atau Menteri terbabit,” kata beliau.

Sementara itu, menurut Pengarang dan Penulis Terkenal, Nisah Haron di dalam komen di laman Facebook berkata, perkataan seperti ‘respek’, ‘bajet’, malah ‘rempit’ juga ada dalam kamus.

“Namun, kita harus bijak memilih situasi yang sesuai untuk menggunakannya.

“Apabila kata-kata yang mudah juga diperlekeh seperti ejaan dalam media sosial yang dieja berleluasa, kesannya kelompok yang demikian sudah pun berada di dalam arus perdana, menjawat jawatan penting dan mengalirkan sikap mereka terhadap bahasa dalam tugas-tugas rasmi.

“Sudah tidak boleh dibezakan situasi rasmi dan tidak rasmi lagi,” katanya.

Beliau berkata, menyalahkan pihak DBP sahaja apabila timbul isu bahasa adalah tidak wajar.

“Kerja mendidik masyarakat termasuk kementerian dan menteri-menterinya perlu diteruskan dengan tekal. Ini tugas setiap anggota masyarakat.

Betulkan yang biasa, biasakan yang betul. Mari betulkan bahasa kita semua dahulu. Jika kita semua menjaga bahasa masing-masing, generasi yang seterusnya akan bertambah baik,” kata beliau.

Categories
NASIONAL

Audit Saran DBP Pantau Syarikat Cetak Dan Edar Buku Elak Jejas Pelajar

SHAH ALAM, 16 OKT : Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) disarankan supaya memantau pengurusan syarikat konsesi yang dilantik bagi memastikan operasi percetakan dan pengedaran buku teks sekolah berjalan lancar dan tidak menjejaskan pembelajaran pelajar.

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2011, pihak DBP hanya mengambil tindakan setelah mendapati syarikat konsesi penswastaan menghadapi krisis kewangan yang kritikal dan tidak mampu untuk meneruskan operasinya.

Menurut laporan itu, syarikat konsesi seringkali gagal merancang pembekalan dan pengedaran buku teks ke semua sekolah seluruh negara dengan baik sehingga mengakibatkan kelewatan.

“Pada pendapat Audit, syarikat konsesi dari awal penswastaan tidak berupaya melaksanakan tanggungjawabnya dan DBP perlu mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap syarikat ini. Kegagalan syarikat konsesi melaksanakan obligasinya berpunca daripada masalah aliran tunai dan hutang yang serius,” jelas laporan itu.

Laporan itu turut mendedahkan bahawa syarikat konsesi turut mengalami masalah kewangan yang kritikal dengan jumlah hutang sebanyak RM123.61 juta dan didapati tidak berkemampuan untuk meneruskan obligasi percetakan dan pengedaran buku teks bagi kegunaan tahun 2012.

Sehubungan itu, DBP disarankan supaya memantapkan klausa perjanjian penswastaan dengan syarikat yang mengambil alih supaya kelemahan dalam perjanjian yang sebelum ini tidak berulang.

“Pada pendapat Audit, DBP perlu memantau secara berkala pengurusan dan operasi penswastaan termasuk pemantauan terhadap aliran tunai syarikat. Tindakan awal sepatutnya diambil bagi mengatasi masalah yang dihadapi sebelum syarikat memberhentikan operasinya,” kata laporan itu.