Categories
ADN AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

Jom cari kerja di Subang Jaya pada 13 Mac ini

SHAH ALAM, 6 MAC: Warga  Selangor, khususnya penduduk sekitar Subang Jaya yang sedang mencari pekerjaan dipelawa menyertai program Jom Cari Kerja pada 13 Mac depan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya berkata program anjuran bersama pihaknya dan Selangor Kerjaya itu akan diadakan di Pusat Komuniti JKP Zon 4 mulai jam 9 pagi hingga 5 petang.

“Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada orang ramai untuk menghadiri temuduga terbuka, anda juga belajar menulis resume yang betul daripada pakar bidang sumber manusia,” kata Michelle Ng Mei Sze.

Berdasarkan info grafik di Facebook, mereka yang berminat boleh mendaftar menerusi kod QR yang disediakan.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi 011-5550 2881 atau email [email protected]

Selangor Kerjaya adalah inisiatif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bagi memacu ekonomi rakyat melalui padanan kerjaya bersesuaian dan berkesan.

Dilancarkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 26 Januari 2021, Selangor Kerjaya adalah program pengurusan bakat dan tenaga kerja untuk rakyat di negeri ini yang bakal memanfaatkan 10,000 individu yang sedang mencari pekerjaan di Selangor.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Perlukan tenaga mahir, 15,000 cari kerja guna kaedah padanan

SHAH ALAM, 4 MEI: Seramai 10,000 hingga 15,000 penduduk dijangka memperoleh pekerjaan secara sambilan dalam tempoh tiga tahun melalui kaedah padanan kerja.

Ketua Pegawai Operasi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) Soffan Affendi Aminudin menjelaskan pekerjaan antara faktor penting dalam menarik pelaburan ke negeri ini.

“Untuk menarik pelaburan, kita memerlukan tenaga kerja mahir sebagai salah satu kaedah bagi memastikan pelabur memilih Selangor sebagai destinasi pelaburan.

“Kita mahu pastikan pekerja ini sepadan dengan permintaan. Kita juga mahu pastikan apabila mereka bangunkan pelaburan di sini, kita ada modal insan yang membantu melaksanakan perniagaan tersebut,” katanya pada 28 April.

Soffan Affendi berkata seramai 6,000 pencari kerja mendaftar program Selangor Kerjaya setakat ini dan hasilnya dijangka dapat dilihat pada suku ketiga tahun ini.

“Sekarang ini 6,000 ini kita berjaya tarik ke Selangor Kerjaya dan keberkesanan mereka mendapat kerja ini akan nampak mulai bulan September ke atas,” katanya.

Lebih RM70 juta diperuntuk dalam Belanjawan Selangor 2021 untuk program Selangor Kerjaya bagi melahirkan tenaga kerja berkualiti tinggi seiring permintaan pasaran.

Selangor Kerjaya adalah sebahagian Agenda Digitalisasi yang dibentang Dato’Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam Belanjawan Selangor 2021.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor Kerjaya pilihan terbaik anda

(ADVERTORIAL)

Selangor Kerjaya merupakan inisiatif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bagi memacu ekonomi rakyat melalui padanan kerjaya bersesuaian dan berkesan.

Dengan mengambil kira dampak Covid-19 serta kadar pengangguran pekerjaan yang dijangka terus meningkat, Kerajaan Negeri prihatin akan perlunya sebuah jalan penyelesaian dalam memulihkan semula ekonomi warga Selangor.

Dilancarkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 26 Januari, Selangor Kerjaya merupakan program pengurusan bakat dan tenaga kerja untuk rakyat di negeri ini yang bakal memanfaatkan 10,000 individu yang sedang mencari pekerjaan di Selangor.

Program ini membuka peluang kerjaya eksklusif untuk warga Selangor di samping padanan kerjaya yang lebih sesuai melalui sistem profil (profiling). MBI memaklumkan latihan kemahiran dan capaian pembelajaran dalam talian selama 12 bulan secara percuma merupakan antara sebab orang ramai perlu memilih Selangor Kerjaya.

Bagi tempoh jangka pendek, Selangor Kerjaya yang akan dilaksanakan hingga Disember 2023 bakal menempatkan 10,000 tenaga kerja menerusi pelaksanaan sistem profil, padanan kerja sesuai (job matching) dan latihan peningkatan kemahiran (upskilling).

Untuk jangka panjang pula, MBI mahu membina pangkalan data bagi pembangunan insan negeri, memenuhi permintaan kemahiran dan laluan kerjaya bagi peluang pekerjaan abad ke-21 melalui peningkatan kemahiran serta latihan semula (reskilling). Selain itu, Selangor Kerjaya juga ingin menyelesaikan masalah ketidakseimbangan kemahiran dan ketidakpadanan kerja di pasaran dengan lebih efektif.

Apa itu Selangor Kerjaya?

  • Program pengurusan bakat dan tenaga kerja untuk 10,000 rakyat di Selangor mulai Januari 2021 hingga Disember 2023
  • Dilancarkan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 26 Januari 2021

Kenapa Selangor Kerjaya?

  • Peluang kerjaya eksklusif untuk warga Selangor
  • Perkhidmatan sistem profil pintar secara percuma yang mengambil kira minat, keperibadian dan kemahiran tenaga kerja untuk padanan kerjaya lebih sesuai
  • Latihan profesional, akses pembelajaran dalam talian selama 12 bulan secara percuma

Siapa yang layak?

  • Warganegara Malaysia
  • Lahir atau menetap di Selangor
  • Berumur 18 tahun ke atas

Manfaat tenaga kerja:

  • Percuma perkhidmatan sistem profil, bimbingan kerjaya, peningkatan kemahiran, latihan semula (jika perlu) dan penempatan kerjaya
  • Pekerjaan sepenuh masa dengan gaji yang kompetitif
  • Bekerja dengan majikan reputasi baik
  • Proses bimbingan berkala sepanjang tempoh 12 bulan
  • Program latihan dalam talian selama setahun

Sasaran?

  • Graduan IPT
  • Pelajar lepasan sekolah menengah dan latihan vokasional
  • Tenaga kerja yang diberhentikan kesan Covid-19

Daftar hari ini di www.selangorkerjaya.com.my

 

“Selangor Kerjaya sebuah platform terbaik yang tidak tertumpu hanya kepada graduan semata-mata.
Peluang kerjaya dari pelbagai industri membantu calon memilih jawatan yang sesuai.
Saya mengesyorkan kepada semua terutama rakyat Selangor menggunakan platform ini untuk mencari kerja baharu.”
– Ahmad Abid Hakim, 27

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kurang dua bulan dapat kerjaya sesuai kemahiran

SHAH ALAM, 30 APRIL: Dalam masa kurang dua bulan sahaja, pencari kerja memperoleh pekerjaan sesuai menerusi inisiatif Selangor Kerjaya.

Ketua Pegawai Operasi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) Soffan Affendi Aminudin berkata aspek kemahiran dipadankan dengan pencari kerja dalam program itu.

Beliau menjelaskan sesetengah individu yang memiliki kelayakan tertentu tidak meminati bidang yang dipelajarinya sebaliknya mahir dalam lapangan lain.

Soffan Affendi Aminudin

“Kita sepadankan kemahiran dengan penawaran. Hari ini awak mohon, kita akan saring dulu dan lihat bakat, kemahiran awak ini cenderung ke arah mana.

“Proses ini mengambil masa antara dua hingga tiga minggu dan tempoh sebulan lagi untuk diberi latihan,” katanya pada 28 April.

Soffan Affendi berkata Selangor Kerjaya juga berfungsi merapatkan jurang kemahiran antara bakal pekerja dengan majikan.

Lebih 6,000 pencari kerja mendaftar program Selangor Kerjaya setakat ini dan hasilnya dijangka dilihat pada suku ketiga pada tahun ini.

Laman web www.selangorkerjaya.com.my dilancarkan Dato’ Menteri Besar pada 26 Januari bagi menangani isu penggangguran dalam jangka pendek dan panjang.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor Kerjaya: Peserta ditawar kerja jalani kursus khas

SHAH ALAM, 8 MAC: Pemohon program Selangor Kerjaya yang mendapat tempat dalam pasaran kerja berpeluang mengikuti kursus khas selama setahun.

Ketua pegawai eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) berkata kursus secara maya dipilih majikan bagi meningkatkan kemahiran serta kualiti kerja dan sijil akan diberikan kepada mereka selepas menamatkan latihan.

“Untuk rekod, seramai 38 daripada 80 individu yang melepasi sesi temuduga dalam talian dan fizikal berjaya ditempatkan ke pelbagai sektor pekerjaan,” kata Norita Mohd Sidek kepada SelangorKini.

Beliau berkata Selangor Kerjaya mempunyai ciri unik berbanding saluran carian pekerjaan lain seperti pemohon perlu melalui ujian profil untuk proses saringan bagi memahami minat, kemahiran dan jenis kerja sesuai.

“Laporan ini akan dikongsikan dengan mereka sebagai rujukan, malah latihan asas dijalankan untuk menyediakan tenaga kerja yang dipilih untuk ditemuduga.

“Justeru, MBI berharap lebih ramai warga Selangor mengambil peluang mendaftar diri dan membina kerjaya melalui program ini,” katanya.

Pada 26 Januari, Kerajaan Negeri melancarkan laman sesawang www.selangorkerjaya.com.my untuk menangani isu penggangguran dalam jangka masa pendek dan panjang.

Usaha tersebut turut dikhususkan kepada individu yang hilang pekerjaan susulan penularan Covid-19.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

3,794 individu daftar dengan portal pencari kerja Selangor

SHAH ALAM, 8 MAC: Seramai 3,794 individu berdaftar dengan portal pencari kerja yang diwujudkan Kerajaan Selangor setakat 26 Februari lalu.

Ketua pegawai eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) berkata 2,781 adalah individu yang hilang pekerjaan termasuk graduan yang belum memiliki kerjaya dan 1,013 pemohon masih bekerja.

“Seramai 3,598 graduan universiti berdaftar dan selebihnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia.

“Rekod kami mendapati 80 individu terpilih menghadiri temu duga dalam talian dan fizikal, 38 daripadanya pula berjaya ditempatkan ke pelbagai sektor pekerjaan,” kata Norita Mohd Sidek kepada SelangorKini.

Tambah Norita, sebanyak 1,384 kekosongan jawatan disediakan daripada 32 majikan yang berdaftar dengan perkhidmatan Selangor Kerjaya.

Laman web www.selangorkerjaya.com.my dilancarkan Dato’ Menteri Besar pada 26 Januari 2021 untuk menangani isu penggangguran dalam jangka masa dekat dan panjang.

Perkhidmatan Selangor Kerjaya itu menawarkan pelbagai maklumat untuk pencari kerja serta majikan mendapat tenaga kerja yang menepati kekosongan jawatan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor Kerjaya sesuaikan profil calon dengan kerja, kehendak majikan

SHAH ALAM, 29 JAN: Sistem profil pintar program Selangor Kerjaya mampu menyesuaikan biodata pemohon dengan pekerjaan yang sepadan.

Dato’ Menteri Besar berkata padanan itu dibuat bagi memastikan pemohon jawatan menepati kehendak majikan.

“Malah, menerusi program ini kemahiran calon akan ditingkatkan dengan latihan bagi memastikan kualiti, hasil serta kadar kekal kerja yang tinggi,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook.

 

Beliau berkata Selangor Kerjaya adalah salah satu inisiatif Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dan mempunyai ciri unik yang tidak dimiliki platform carian pekerjaan lain.

“Bagi pencari kerja, segera daftar di www.selangorkerjaya.com.my untuk menikmati manfaat ini,” katanya.

Pada Selasa lalu, Amirudin memaklumkan program tersebut bakal menawarkan 10,000 peluang pekerjaan dalam tempoh tiga tahun pascawabak Covid-19 dengan 2,000 daripadanya kepada lepasan universiti, vokasional dan sekolah menengah.

Usaha tersebut turut dikhususkan kepada individu yang hilang pekerjaan pada tahun ini susulan penularan Covid-19.

Categories
AGENSI SELANGOR

Selangor Kerjaya tawar kelainan, jadi contoh negeri lain

SHAH ALAM, 28 JAN: Program Selangor Kerjaya menawarkan kelainan dengan menyediakan latihan secara dalam talian serta membantu proses temu duga pemohon.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) berkata inisiatif itu membantu majikan mendapat pekerja yang menepati kekosongan jawatan selain bimbingan mentor untuk memantapkan prestasi kerja.

“Sebagai negeri maju dan penyumbang utama ekonomi negara, Selangor sentiasa ke hadapan untuk melaksanakan pelbagai daya usaha serta landasan kepada belia untuk memajukan diri.

“Justeru MBM berharap usaha ini menjadi contoh kepada negeri lain supaya kita dapat mengimbangi kesan penularan Covid-19,” kata Jufitri Joha kepada SelangorKini.

Pada Selasa, Dato’ Menteri Besar mengumumkan pekerja terpilih menerusi Selangor Kerjaya bakal menjalani latihan secara dalam talian bersama syarikat besar atau ternama dengan bimbingan mentor untuk memantapkan prestasi serta menyesuaikan diri dengan pekerjaan baharu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif tersebut seiring usaha membantu warga Selangor meningkatkan kemahiran, menjalani latihan semula kemahiran atau mempelajari kemahiran baharu bagi menyokong kemahiran sedia ada.

Selangor Kerjaya menawarkan 10,000 peluang pekerjaan dalam tempoh tiga tahun pascawabak Covid-19 dan sebagai permulaan, 2,000 peluang disediakan kepada lepasan universiti, vokasional dan sekolah menengah.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor Kerjaya turunkan kadar pengangguran belia

SHAH ALAM, 27 JAN: Program Selangor Kerjaya dijangka menurunkan sebahagian kadar pengangguran dalam kalangan belia terutama di Lembah Klang, kata presiden Majlis Belia Malaysia (MBM).

Jufitri Joha berkata kadar penganggguran belia berumur 15 hingga 30 tahun sehingga suku kedua tahun lepas adalah 8.9 peratus atau 502,300 individu.

“Inisiatif ini memenuhi aspirasi anak muda yang majoritinya mendiami Lembah Klang khususnya di Selangor untuk mendapatkan peluang pekerjaan.

“Latihan profesional berteraskan kemahiran dan teknologi secara dalam talian yang ditawarkan Selangor Kerjaya seiring dengan Revolusi Industri 4.0,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Beliau menyifatkan Selangor Kerjaya sebagai pelengkap kepada program MyFuture Job di peringkat nasional sekali gus memberi banyak pilihan pekerjaan kepada belia di Selangor.

Semalam Kerajaan Negeri melancarkan laman web www.selangorkerjaya.com.my untuk menangani isu penggangguran dalam jangka masa dekat dan panjang.

Dato’ Menteri Besar berkata Selangor Kerjaya menawarkan 10,000 peluang pekerjaan dalam tempoh tiga tahun pascawabak Covid-19.

Dato’ Menteri Besar menjelaskan sebagai permulaan, sebanyak 2,000 peluang ditawarkan kepada lepasan universiti, vokasional dan sekolah menengah.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor Kerjaya tawar latihan bersama syarikat besar, ternama

SHAH ALAM, 26 JAN: Tenaga kerja terpilih menerusi program Selangor Kerjaya bakal menjalani latihan secara dalam talian bersama syarikat besar atau ternama, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mereka juga dibimbing seorang mentor untuk membantu memantapkan prestasi serta menyesuaikan diri dengan pekerjaan baharu.

“Inisiatif ini seiring usaha membantu warga Selangor meningkatkan kemahiran, latihan semula kemahiran atau mempelajari kemahiran baharu bagi menyokong kemahiran sedia ada.

Laman web Selangor Kerjaya menawarkan pelbagai maklumat untuk pencari kerja serta majikan mendapat tenaga kerja yang menepati kekosongan jawatan.

“Ia situasi menang-menang kepada tenaga kerja, majikan dan Kerajaan Negeri bagi menangani pengangguran serta penawaran pekerjaan,” katanya semasa program Selangor Kerjaya di Facebook hari ini.

Beliau berkata tawaran tenaga kerja berkemahiran yang ramai mendorong kemasukan pelabur sekali gus merangsang ekonomi negeri pasca Covid-19.

“Sasaran Selangor ke arah ekonomi digital dan pertumbuhan industri bernilai tinggi bergantung kepada penyediaan tenaga kerja berkemahiran.

“Malah pemain utama industri aeroangkasa seperti GE Engine Services Sdn Bhd, Aerobus Malaysia dan UMW Aerospace Sdn Bhd yang beroperasi di Selangor menawarkan peluang besar kepada pencari kerja,” katanya.

Pada 26 Jun tahun lepas Amirudin berkata industri aeroangkasa di Selangor mampu mewujudkan 40,000 peluang kerja dalam tempoh sepuluh tahun.

Categories
AGENDA NASIONAL

Negeri tawar 10,000 peluang kerja pascawabak Covid-19

SHAH ALAM, 26 JAN: Program Selangor Kerjaya bakal menawarkan 10,000 peluang pekerjaan dalam tempoh tiga tahun pascawabak Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata sebagai permulaan, sebanyak 2,000 peluang ditawarkan kepada lepasan universiti, vokasional dan sekolah menengah.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan usaha tersebut turut dikhususkan kepada individu yang hilang pekerjaan pada tahun ini susulan penularan Covid-19.

“Penularan wabak benar-benar menguji kita, justeru Kerajaan Negeri bertindak proaktif dengan melaksanakan pengumpulan data bersepadu berkaitan permintaan dan tawaran kerja,” katanya berucap merasmikan program tersebut di Facebook hari ini.

“Analisa ini membantu pelaksanaan strategi komprehensif dan holistik untuk menyelesaikan isu tenaga kerja yang tidak memenuhi keperluan pasaran buruh di Selangor.”

Kerajaan Negeri melancarkan laman web www.selangorkerjaya.com.my untuk menangani isu penggangguran jangka masa pendek dan panjang.

Program tersebut menawarkan pelbagai maklumat bagi membolehkan pencari kerja dan majikan mendapat tenaga kerja yang menepati kekosongan jawatan.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor lancar laman web bantu pencari kerja, majikan

SHAH ALAM, 26 JAN: Kerajaan Negeri melancarkan laman web www.selangorkerjaya.com.my untuk menangani isu penggangguran dalam jangka masa dekat dan panjang.

Dato’ Menteri Besar berkata perkhidmatan Selangor Kerjaya menawarkan pelbagai maklumat untuk pencari kerja serta majikan mendapat tenaga kerja yang menepati kekosongan jawatan.

“Selain itu Selangor Kerjaya juga berinteraksi dengan orang ramai secara terus menerusi media sosial seperti Facebook, Instagram, Linkedin, Twitter dan Whatsapp.

Dato’ Seri Amirudin Shari ketika pelancaran Selangor Kerjaya yang dibuat secara maya pada 26 Januari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Perkhidmatan ini adalah percuma dan ditanggung sepenuhnya Kerajaan Negeri melibatkan peruntukan sejumlah RM58 juta untuk membuka peluang pekerjaan kepada warga Selangor,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook hari ini.

Beliau berharap golongan belia khususnya graduan untuk mengambil peluang disediakan untuk membina kerjaya serta memantapkan ekonomi.

“Jangan lepaskan peluang tersedia, teruskan berusaha dan tawakal. Insya-Allah, kejayaan bakal menjadi milik anda,” katanya.

Golongan belia khususnya graduan perlu mengambil peluang untuk membina kerjaya serta memantapkan ekonomi.