GOMBAK, 5 MEI : Calon PKR Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali melahirkan kekesalan terhadap kelemahan sistem Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mengendalikan proses pilihan raya kali ini.
Ini kerana menurut Azmin, beliau menerima banyak aduan daripada pengundi yang mengatakan mereka terpaksa beratur panjang dan menunggu berjam-jam untuk mengundi walaupun telah tiba seawal pukul 8 pagi.
“Saya kesal dengan sistem SPR yang saya saksikan sendiri di mana pengundi terpaksa beratur berjam-jam terutama warga emas.
“Saya dapati jumlah saluran juga tidak dapat menampung pengundi yang ramai. SPR sepatutnya selesaikan perkara ini sebelum tiba hari pengundian,” katanya semasa tiba di Sekolah Kebangsaan Klang Gate untuk mengundi.
Beliau tiba di perkarangan pusat mengundi dengan ditemani isterinya, Shamsida Taharin dan adiknya, Azwan Ali kira-kira pukul 2.10 petang tadi.
Pertandingan di Gombak menyaksikan pertembungan tiga penjuru di mana Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR bertanding menentang Datuk Dr Rahman Ismail dari BN dan Datuk Said Naza Abu Bakar, calon Bebas.
Manakala DUN Bukit Antarabangsa menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Azmin dan Mohamad Nadzim Ibrahim dari BN.