SHAH ALAM, 19 DIS: Terdapat tiga lokasi tanah runtuh dikesan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa susulan hujan berterusan di negeri ini beberapa hari lalu.
Tiga lokasi berkenaan ialah di Taman Sering Ukay, Ukay Heights dan Dataran Ukay yang melibatkan dua kediaman.
“Yang dipertua MPAJ (Majlis Perbandaran Ampang Jaya) telah dimaklumkan oleh Pejabat Penyelaras DUN Bukit Antarabangsa dan Unit Cerun.
“Jabatan Kejuruteraan MPAJ telah diarahkan oleh yang dipertua untuk tindakan segera,” menurut DUN terbabit di Facebook.
Semalam, Selangor mengalami banjir kilat di beberapa kawasan disebabkan taburan hujan lebih dua kali ganda paras tertinggi pernah direkodkan sebelum ini.
Antara daerah yang terjejas teruk ialah Shah Alam, Klang, Hulu Langat, Sepang dan Kuala Langat.
AMPANG, 17 SEPT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa mengedarkan mangkuk tingkat berisi juadah makan tengah hari kepada penduduk memerlukan sejak minggu lalu.
Penyelarasnya Suzana Shaharudin berkata inisiatif dengan kerjasama sukarelawan Team Selangor memanfaatkan kira-kira 400 keluarga setakat ini.
“Makanan tengah hari dimasak oleh sukarelawan terbabit untuk diagihkan kepada keluarga susah. Kita sudah masuk ke kawasan Pangsapuri Seri Nila, Kampung Baru Ampang, Kampung Sungai Sering dan Kampung Kuala Ampang.
“Semalam, kita sumbangkan 25 lagi mangkuk tingkat kepada penduduk di Kampung Melayu Ampang. Kita juga akan berbincang dengan Team Selangor untuk meneruskan program ini dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak peringkat DUN Bukit Antarabangsa di Dataran Santai Ampang Point di sini.
Sementara itu, Suzana memaklumkan lebih 3,000 bakul makanan disalurkan kepada individu terjejas wabak sejak awal tahun sehingga kini.
Menurutnya, pek mengandungi beras, tepung, gula dan milo bernilai RM50 setiap satu diberi mengikut senarai diperoleh melalui persatuan penduduk, ketua kampung dan Ketua Komuniti India (KKI).
“Kita juga tidak melupakan keluarga yang mengibarkan bendera putih dan individu dikuarantin dengan agihan dibuat dari rumah ke rumah oleh pegawai pejabat penyelaras pusat khidmat masyarakat,” katanya.
AMPANG, 16 SEPT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa memohon tambahan 250 dos bagi menjayakan program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak berikutan sambutan luar jangka.
Penyelarasnya berkata kuota 250 dos ketika ini tidak cukup untuk menampung jumlah pendaftaran yang ramai dalam aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) termasuk tanpa janji temu.
Suzana Shaharudin turut mencadangkan program yang melibatkan komuniti sekitar DUN Lembah Jaya diadakan sekali lagi bagi membolehkan lebih ramai menerima manfaat.
“Alhamdulillah, Selgate Healthcare memahami keadaan ini dan menyediakan dos tambahan diperlukan. Cuma melihat sambutan diterima, kemungkinan besar program ini perlu diadakan sekali lagi.
“Sebanyak 60 peratus peserta yang hadir adalah warga asing manakala selebihnya rakyat tempatan. Ini bermakna masih ada rakyat kita belum menerima suntikan pelalian,” katanya ditemui di Dataran Santai Ampang Point di sini hari ini.
Sementara itu, penyelaras DUN Lembah Jaya akan memohon kepada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan program vaksin bergerak khusus buat penduduk di kawasan terbabit.
“Saya percaya masih ada saki-baki yang belum divaksin berkemungkinan mereka takut untuk keluar rumah. Jadi, kita akan bincang dengan pihak Selgate berhubung perkara ini.
“Dengan cara ini kita mampu mencapai hasrat kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat,” kata Daing Muhammad Reduan Bachok.
Program Selvax bergerak dijalankan sejak 12 September bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.
Inisiatif itu membabitkan 11 Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai permulaan dari jam 9 pagi hingga 5 petang selama seminggu.
Selain Bukit Antarabangsa, DUN terlibat Hulu Bernam, Bandar Baru Klang, Batu Tiga, Tanjung Sepat, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Dengkil dan Kampung Tunku.
SHAH ALAM, 15 SEPT: Program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak akan diteruskan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa dan Batang Kali, esok.
Program bagi memastikan tiada penduduk negeri ini tercicir daripada menerima pelalian seterusnya akan berada di Dataran Santai, Ampang Point dan Pusat Khidmat Rakyat Penyelaras Batang Kali.
Berdasarkan infografik yang dikongsi EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud di Facebook, program bermula jam 9 pagi hingga 5 petang. Suntikan diberi secara percuma penduduk termasuk warga asing.
Program anjuran Kerajaan Negeri itu bermula di DUN Bandar Baru Klang pada 12 September diikuti Batu Tiga, Tanjung Sepat (13 September), Hulu Bernam (14 September), Gombak Setia (hari ini) Bukit Antarabangsa dan Batang Kali esok, Banting, Teratai (17 September), Dengkil serta Kampung Tunku (18 September).
SHAH ALAM, 4 JULAI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa bekerjasama dengan ahli majlis di empat zon bagi mengesan penduduk terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Penyelaras, Suzana Shaharudin berkata pihaknya turut jalin kerjasama dengan ketua kampung bagi memastikan tiada penduduk terputus bekalan makanan asas.
“Kita percaya masih ada penduduk yang malu dan mengambil tindakan berdiam diri berbanding mengibarkan bendera putih seperti kempen yang dimulakan warga maya.
“Penduduk tidak perlu hadir ke pusat khidmat masyarakat sebaliknya kita akan mencari mereka untuk menghulurkan bantuan,” katanya kepada SelangorKini.
Suzana berkata pihaknya juga bersedia untuk menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada individu memerlukan sokongan mental.
“Selain bantuan makanan, kesihatan mental juga amat penting dan penduduk juga boleh menghubungi talian Befrienders Kuala Lumpur sekiranya mengalami masalah,” katanya.
Baru-baru ini, kempen bendera putih dimulakan warga maya di media sosial bagi membantu golongan susah dengan mengibarkannya di halaman rumah sekiranya tiada makanan dan memerlukan bantuan.
PKPD dilaksana di 34 mukim di lapan daerah Selangor selama 14 hari bermula semalam sehingga 16 Julai.
SHAH ALAM, 26 JUN: Penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Klang dan Bukit Antarabangsa disaran membuat saringan Covid-19 secara percuma esok.
Saringan Komuniti fasa tiga anjuran Kerajaan Negeri diadakan di Dewan Serbaguna MPAJ AU5 bermula jam 9 pagi hingga 6 petang.
Orang ramai boleh membuat pendaftaran awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), tekan butang Sihat dan pilih Pendaftaran Saringan atau layari http://screening.selangkah.my/login.
Saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) membolehkan jangkitan Covid-19 dikesan dalam tempoh kurang 30 minit.
Selangor memperuntuk RM10.7 juta untuk menjayakan program terbabit dengan menumpukan kawasan mencatat jangkitan tinggi selain sektor industri dan perkilangan.
Program bermula Sabtu minggu lepas memanfaatkan penduduk Seri Setia dan Taman Medan diikuti Gombak Setia, Sungai Tua dan Taman Templer manakala Kajang hari ini.
GOMBAK, 5 MEI : Calon PKR Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali melahirkan kekesalan terhadap kelemahan sistem Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mengendalikan proses pilihan raya kali ini.
Ini kerana menurut Azmin, beliau menerima banyak aduan daripada pengundi yang mengatakan mereka terpaksa beratur panjang dan menunggu berjam-jam untuk mengundi walaupun telah tiba seawal pukul 8 pagi.
“Saya kesal dengan sistem SPR yang saya saksikan sendiri di mana pengundi terpaksa beratur berjam-jam terutama warga emas.
“Saya dapati jumlah saluran juga tidak dapat menampung pengundi yang ramai. SPR sepatutnya selesaikan perkara ini sebelum tiba hari pengundian,” katanya semasa tiba di Sekolah Kebangsaan Klang Gate untuk mengundi.
Beliau tiba di perkarangan pusat mengundi dengan ditemani isterinya, Shamsida Taharin dan adiknya, Azwan Ali kira-kira pukul 2.10 petang tadi.
Pertandingan di Gombak menyaksikan pertembungan tiga penjuru di mana Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR bertanding menentang Datuk Dr Rahman Ismail dari BN dan Datuk Said Naza Abu Bakar, calon Bebas.
Manakala DUN Bukit Antarabangsa menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Azmin dan Mohamad Nadzim Ibrahim dari BN.