Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar harap kelompok kaya ada ‘rasa cinta’ bantu rakyat miskin

SHAH ALAM, 29 DIS: Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap pihak yang meraih keuntungan berganda di sebalik penularan Covid-19 membantu golongan memerlukan ketika ini.

Presiden Parti Keadilan Rakyat berkata kekayaan tersebut tidak mampu dikecapi tanpa keamanan, politik stabil dan komitmen penjawat awam serta pekerja bawahan.

Menurutnya, pandemik itu menjadikan jurang kaya dan miskin jauh melebar namun ia juga tidak memiskinkan rakyat berikutan ada kelompok kecil bertambah mewah.

“Pihak yang memonopoli industri seperti getah mencatat kekayaan melambung. Jadi saya harap ada rasa cinta dari hati nurani untuk berbuat lebih kepada rakyat,” katanya berucap pada Majlis Peluncuran Buku 100 Esei Seni & Sastera Era Reformasi 2008-2011 di sini.

Pada 14 Ogos, Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata ekonomi Malaysia menguncup 17.1 peratus dalam suku kedua 2020, terburuk sejak 1998.

Capaian itu berikutan pelaksanaan perintah kawalan bagi membendung penularan Covid-19 sekali gus menyaksikan ekonomi hampir tidak bergerak.

Bagaimanapun, Bank Dunia menjangka ekonomi Malaysia berada pada landasan pemulihan bermula akhir tahun ini dan kembali kepada pertumbuhan pada 2021.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Jurang pendapatan isi rumah bertambah RM2,000 kepada lebih RM10,000

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Jurang pendapatan antara isi rumah kumpulan 20 peratus teratas dengan kumpulan 40 peratus terbawah semakin melebar daripada RM2,000 pada 1990 kepada lebih RM10,000 pada 2016, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, struktur ekonomi sejak dua dekad lalu telah mengembangkan jurang itu dalam kalangan rakyat, sama ada daripada kumpulan pendapatan, etnik, wilayah mahupun dalam rantaian bekalan.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030) berjudul “Penyusunan Semula Keutamaan Pembangunan Malaysia”, iaitu kerangka hala tuju negara bagi tempoh 2021 sehingga 2030, di sini, hari ini.

“Jurang antara etnik sama ada etnik Bumiputera kepada etnik Cina, mahupun etnik India kepada Cina berkembang antara 3.5 hingga 4 kali ganda sepanjang 27 tahun lalu.

“Perbezaan jurang etnik juga kelihatan dalam bidang pekerjaan, nilai tambah perniagaan mahupun jumlah penguasaan kekayaan korporat antara Bumiputera dan bukan Bumiputera,” kata Dr Mahathir.

Dalam pada itu, beliau berkata, jurang pengagihan ekonomi antara wilayah juga turut berkembang, yang mana 40 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tertumpu di Wilayah Kuala Lumpur.

“Jurang pendapatan penengah di Wilayah ini terjumlah lebih RM10,500 berbanding pendapatan penengah di luar Kuala Lumpur hampir separuh darinya.

“Jurang ekonomi antara bandar dan luar bandar dan jurang antara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak juga menunjukkan pelebaran jurang ekonomi yang semakin ketara,” kata beliau.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, dalam konteks jurang rantaian bekalan, kes-kes monopoli dan pencatutan semakin bertambah dengan sebahagian pihak mengawal rantaian bekalan.

Ini menyebabkan kurangnya penyertaan kumpulan lain khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), katanya.

“Masalah ini berlaku daripada kumpulan petani dan nelayan kecil sehingga kepada perusahaan-perusahaan besar,” jelas Dr Mahathir.

– BERNAMA