Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Permohonan bantuan makanan, peranti paling banyak diterima wakil rakyat

SHAH ALAM, 30 JUN: Permohonan bantuan makanan dan peranti bagi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) paling banyak diterima wakil rakyat Selangor ketika pandemik Covid-19 melanda negara sejak lebih setahun lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata pemohon pula adalah dalam kalangan individu yang tidak dibenarkan bekerja oleh majikan serta hilang pekerjaan.

“Kita menerima banyak aduan dan rintihan terutamanya keperluan makanan kerana ramai yang hilang punca pendapatan. Malah sehingga semalam, netizen pun sudah menggerakan satu kempen kibar bendera putih kerana masyarakat amat tertekan, berada dalam keadaan tekanan hidup.

“Kita juga mendapat aduan mengenai pendidikan terutama di luar bandar yang tidak ada kemudahan gajet untuk melaksanakan PdPR, mungkin mereka mempunyai anak tiga, empat orang anak tetapi gajetnya hanya satu,” katanya menerusi Bual Bicara – Covid-19: Mencari Jalan Keluar yang disiarkan secara langsung menerusi TV Selangor, malam tadi.

Juwairiya berkata Kerajaan Selangor sedar keadaan itu dan memperkenal Pakej Kita Selangor 2.0 bagi membantu rakyat dengan peruntukan menyeluruh termasuk kawasan pembangkang.

Menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 yang dibentang pada 9 Jun lalu, peruntukan program Mesra Rakyat kepada semua 56 wakil rakyat termasuk pembangkang ditingkat kepada RM100,000.

Kerajaan Negeri atas semangat ‘Kita Selangor’ juga setuju memberi peruntukan tambahan RM50,000 untuk program tersebut membabitkan jumlah keseluruhan RM3.28 juta.

Categories
ADN SELANGOR

Kad SIM bantu pelajar luar bandar ikuti PdPR dalam talian

SHAH ALAM, 25 JAN: Pemberian kad SIM memudahkan pelajar di kawasan luar bandar mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam talian.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli berkata inisiatif itu mampu meningkatkan fokus murid berikutan sebelum ini sering berdepan masalah capaian internet.

“Langkah ini tepat pada masanya kerana pelajar di luar bandar perlu dibantu bagi mengelak mereka tertinggal dalam silibus pembelajaran.

“Kita enggan melihat prestasi pelajaran mereka terjejas akibat masalah talian komunikasi dan internet,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau menambah kerajaan bertanggungjawab menyediakan sistem sokongan kepada pelajar terutama yang kurang berkemampuan dalam menjalani norma baharu pendidikan.

Semalam, Dato’ Menteri Besar memaklumkan sebanyak 40,000 kad SIM akan diagih kepada penduduk luar bandar pada Mac bagi mendapatkan rangkaian komunikasi memuaskan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan melalui program Rakan Digital dihadkan untuk pembelajaran dan perniagaan sahaja.

Categories
ADN SELANGOR

43 pemilik Taman Mawar Putih bakal terima geran

KUALA SELANGOR, 9 OKT: Seramai 43 pemilik rumah di Taman Mawar Putih di sini mampu menarik nafas lega apabila masalah pemilikan tanah yang membelenggu mereka selama 24 tahun bakal berakhir.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, mereka bakal menerima geran pemilikan rumah masing-masing pada tahun depan.

Katanya, kesukaran mereka mendapatkan geran rumah selama ini berikutan terdapat pemilik tanah dan pemaju sudah meninggal dunia serta tidak dapat dihubungi.

“Kita sudah mengadakan mesyuarat bersama Pejabat Tanah Kuala Selangor dan Majlis Daerah Kuala Selangor serta wakil penduduk Taman Mawar Putih, semalam.

“Pihak pejabat tanah memberi jaminan kepada saya supaya isu itu boleh diurus dalam tempoh enam bulan namun pecah sempadan perlu dilakukan sebelum proses pindah milik diteruskan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Katanya, selepas proses persempadanan itu selesai urusan pindah milik akan dibuat dan penduduk dapat tinggal di rumah itu tanpa wujud permasalahan lagi.

“Bagaimanapuun, penduduk juga perlu memberikan kerjasama kepada kami dan jabatan terlibat supaya ia dapat memudahkan urusan semua pihak.

“Kita menyasarkan isu ini dapat diselesaikan dalam tempoh enam bulan atau jika kerjasama baik antara semua pihak sasaran mungkin dapat diawalkan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Isu banjir Kg Asahan dibincang segera – Juwairiyah

OLEH NADIAH ZAMLUS

BUKIT MELAWATI, 28 MEI: Kekerapan banjir kilat yang berlaku di Batu 7 dan 8, Kampung Asahan akan dibincangkan segera, demikian menurut Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati, Juwairiyah Zulkifli.

Katanya, ia berikutan kejadian banjir kilat kerap berlaku setiap kali hujan lebat luar biasa melanda kawasan berkenaan.

“Walaupun ia dilihat perkara biasa, namun saya memandang serius isu ini dan ia akan dibawa ke peringkat Pejabat Daerah dan Tanah untuk dibincangkan segera.

“Saya juga akan melihat mekanisma terbaik untuk menanganinya,” katanya kepada SelangorKini.

Semalam, 15 rumah penduduk di Kampung Asahan terjejas akibat dilanda banjir kilat akibat daripada hujan lebat berterusan sejak awal pagi.

Juwairiyah berkata, kejadian berlaku disebabkan kunci air milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di situ mengalami kerosakan.

“JPS sudahpun mengambil tindakan dengan mengepam keluar air dari rumah penduduk, setakat ini tidak ada pemindahan penduduk dilaporkan.

“Setakat ini beberapa agensi Kerajaan Negeri dihubungi, saya meminta supaya kesemua penduduk dipantau dan diberi bantuan sewajarnya memandangkan sekarang adalah Ramadan dan banyak persiapan perlu dibuat,” katanya.