Categories
SELANGOR

Jelajah Pendidikan Selangor siri pertama 7 April

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 1 APR: Siri pertama Jelajah Pendidikan Selangor 2019 (JPS2019) bakal diadakan di zon utara pada Ahad ini.

Menurut kenyataannya di Facebook, program itu terbuka kepada semua lepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf yang ingin melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Program yang membabitkan daerah Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor itu akan berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Kuala Selangor bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Sesi jelajah kali ini bakal menampilkan ikon pendidikan, Caprice Ariz bersama Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli.

Pada masa sama, pelbagai pihak seperti Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Lembaga Zakat Selangor, Yayasan Selangor, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), IPT dan institut kemahiran akan hadir bagi memberi penerangan, kaunseling serta maklumat kepada peserta yang hadir.

Peserta yang hadir turut berpeluang memohon biasiswa dan bantuan kewangan secara terus kepada pihak terbabit.

Yuran penyertaan adalah percuma dan pendaftaran boleh dibuat di pautan www.jelajahpendidikanselangor.com

Tarikh tutup penyertaan pada 4 April ini.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi 03-56260026 dan 011-50011000.

Categories
SELANGOR

Juwairiya optimis bela nasib pekerja

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 26 JUL: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli optimis memastikan nasib pekerja Pasar Raya Giant Kuala Selangor terbela dan tidak hilang pekerjaan.

Juwairiya berkata, beliau difahamkan seramai 80 pekerja pasar raya berkenaan terjejas dan terpaksa diberhentikan kerja buat masa ini.

“Saya sedang dalam usaha berjumpa dengan peruncit baharu yang bakal menggantikan Pasar Raya Giant berkenaan untuk berbincang sama ada mereka akan menyerap pekerja terjejas ini.

“Bagaimanapun, setakat ini, saya difahamkan 80 pekerja itu akan diberi pampasan mengikut tempoh berapa lama mereka bekerja di pasar raya itu,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Katanya, kesemua pekerja itu terdiri daripada penduduk tempatan yang tinggal di Sekinchan dan Kuala Selangor.

“Saya akan cuba sedaya upaya berusaha memastikan nasib pekerja terus terbela dan tidak menganggur,”katanya.

Terdahulu, kebanyakan Pasar Raya Giant terpaksa dihentikan perniagaan akibat berlakunya kelembapan jualan dalam sektor runcit Malaysia.

Difahamkan, Pasar Raya Giant Kuala Selangor mula ditutup pada 20 Julai lalu, bakal digantikan dengan pasar raya baharu antaranya Pasar Raya NSK atau Pasar Raya TF yang akan dibuka tidak lama lagi.

Categories
SELANGOR

Isu banjir Kg Asahan dibincang segera – Juwairiyah

OLEH NADIAH ZAMLUS

BUKIT MELAWATI, 28 MEI: Kekerapan banjir kilat yang berlaku di Batu 7 dan 8, Kampung Asahan akan dibincangkan segera, demikian menurut Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati, Juwairiyah Zulkifli.

Katanya, ia berikutan kejadian banjir kilat kerap berlaku setiap kali hujan lebat luar biasa melanda kawasan berkenaan.

“Walaupun ia dilihat perkara biasa, namun saya memandang serius isu ini dan ia akan dibawa ke peringkat Pejabat Daerah dan Tanah untuk dibincangkan segera.

“Saya juga akan melihat mekanisma terbaik untuk menanganinya,” katanya kepada SelangorKini.

Semalam, 15 rumah penduduk di Kampung Asahan terjejas akibat dilanda banjir kilat akibat daripada hujan lebat berterusan sejak awal pagi.

Juwairiyah berkata, kejadian berlaku disebabkan kunci air milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di situ mengalami kerosakan.

“JPS sudahpun mengambil tindakan dengan mengepam keluar air dari rumah penduduk, setakat ini tidak ada pemindahan penduduk dilaporkan.

“Setakat ini beberapa agensi Kerajaan Negeri dihubungi, saya meminta supaya kesemua penduduk dipantau dan diberi bantuan sewajarnya memandangkan sekarang adalah Ramadan dan banyak persiapan perlu dibuat,” katanya.