Categories
SELANGOR

Pendedahan rasuah, emosi ibu hiasi hari ke-2 Tribunal Rakyat

ibu k murugan(ANALISIS)

Seramai tujuh saksi memberi keterangan pada hari kedua Tribunal Rakyat PRU-13.

Pendengaran kali ini gempar dengan beberapa pendedahan saksi selain tetapi turut disaluti emosi apabila kes pembunuhan seorang pekerja kempen diperdengar.

Pendedahan bermula berikutan tiga video durasi lima minit berkaitan kekecohan proses pengundian Parlimen Tapah yang dibawa calon, Vasantha Kumar, dipertonton kepada panel tribunal.

Ia memaparkan Vasantha dan penyokongnya dihalau dari pusat pengiraan undi.

Ibu mendiang K Murugan yang mati dibunuh, Rajamah Pachiapan pula memberi keterangannya dengan penuh emosi berkaitan kes pembunuhan itu sambil menangis teresak-esak.

K Murugan berusia 36 tahun ialah pengawal peribadi dan pekerja kempen kepada calon Parlimen Tapah, Vasantha.

Mayatnya ditemui berhampiran kolam Taman Perindustrian Bemban di Batu Gajah 1 Mei lalu dengan kesan kecederaan termasuk badan dikelar dan diikat wayar.

Rajamah mendedahkan anaknya ada menerima panggilan ancaman bunuh sebelum dibunuh.

Yasmin Masidi pula membentang hasil laporan Pemantau sepanjang PRU 13 hasil maklum balas 3,000 sukarelawan yang memantau pada hari penamaan calon, tempoh berkempen dan waktu mengundi.

Hasil laporan itu menyeluruh dan tidak mensasarkan hanya sebelah pihak sama ada kerajaan atau pembangkang.

Pengarah Program Merdeka Center, Ibrahim Suffian pula memberi keterangan berkaitan perjalanan undi awal yang boleh menentukan kemenangan kepada 30 parlimen serta peranan kerajaan sementara pada pilihan raya.

Orang Asal dari Kuala Lipis Pahang, Norman anak lelaki Kong mengejutkan hadirin apabila mengakui dibayar RM20 jika mengundi BN, malah dijanjikan RM80 lagi tetapi tidak dibayar.

“Satu lagi janji tidak ditepati,” katanya.

Seorang lagi saksi, Datuk Abdul Halim Hussin pula mendedahkan gelagat BN yang memberi baucar kepada pengundi untuk ditunaikan jika BN menang pilihan raya.

Calon PKR Parlimen Teluk Bahang itu melihat sendiri ke lokasi untuk menunaikan baucar, malah membawa bukti video.

– FZL

Categories
NASIONAL

Ibu mangsa bunuh menangis teresak-esak di Tribunal Rakyat

ibu k murugan parlimenSUBANG JAYA 19 SEPT: “Saya hanya mahukan keadilan atas kematian anak saya. Itu sahaja,” kata ibu mendiang K Murugan sambil menitiskan air mata ketika disoal panel Tribunal Rakyat berkaitan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Rajamah Pachiapan teresak-esak ketika menceritakan insiden kehilangan Murugan, 36, yang dipercayai dibunuh berhampiran kolam Taman Perindustrian Bemban di Batu Gajah pada 1 Mei lalu.

Menceritakan detik kehilangan Murugan, saksi kesembilan itu, berkata, anaknya tidak pulang ke rumah selepas keluar membersihkan dewan ceramah kira-kira jam12 tengah malam.

“Memang tinggal serumah bersama saya sejak dulu. Dia beritahu saya untuk keluar membersihkan bilik mesyuarat tempat berlangsungnya ceramah malam itu.

“Tapi, dia tidak kembali sehingga mayatnya ditemui 5 Mei lalu,” katanya yang mengesahkan anaknya ada menerima panggilan ugutan supaya tidak menyokong calon PKR.

Beliau berkata, polis tidak mengambil sebarang tindakan sehingga hari ini meskipun beberapa siri laporan polis dibuat.

“Saya ada disoal siasat tetapi malangnya tiada tindakan dari polis. Saya hanya mahu keadilan,” katanya.

K Murugan ialah pengawal peribadi dan pekerja kempen kepada calon Parlimen Tapah, K Vasantha Kumar.

Mayatnya ditemui berhampiran kolam Taman Perindustrian Bemban di Batu Gajah pada 1 Mei dengan kesan kecederaan termasuk badan dikelar dan diikat menggunakan wayar.