Categories
NASIONAL

SPR patut belajar cara guna dakwat kekal dari Indonesia

spr on black 01

SUBANG JAYA 20 SEPT: Seorang pakar kimia mendedahkan dakwat kekal yang digunakan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) hanya mengandungi satu peratus argentum nitrat (silver nitrate).

Steven Ng berkata, dakwat kekal yang digunakan dalam pilihan raya lazimnya mengandungi antara 10 hingga 18 peratus argentum nitrat larut bagi meninggalkan tanda kehitaman dan bertahan beberapa hari.

“Pelbagai isu ditimbulkan orang ramai berhubung penggunaan dakwat kekal termasuk dakwaan mengatakan ia kekal dan ada tidak kekal.

“Tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri mengesahkan dakwat itu bersifat tidak kekal,” katanya ketika memberi keterangan sebagai saksi Tribunal Rakyat di Hotel Empire, hari ini.

Menolak dakwaan Kementerian Kesihatan kononnya argentum nitrat menyebabkan kanser sebagai tidak sahih, Stevan berkata, dakwat kekal yang dipalit di jari mengambil masa kira-kira 30 hingga 40 saat untuk benar-benar kering.

“SPR dakwa ia kering di jari pengundi dalam kurang dua saat sedangkan dakwat kekal perlu sekurang-kurangnya lebih 30 saat untuk lekat pada jari,” katanya.

Sementara itu, panel Tribunal Rakyat PRU-13, Profesor Ramlan Surbakti mencadangkan SPR mempelajari pengalaman Indonesia dalam penggunaan dakwat kekal.

Ia ekoran penggunaan dakwat kekal pada PRU 13 menimbulkan kontroversi kerana mudah tanggal.

“Saya sudah dua kali mengunjungi Malaysia untuk berkongsi pengalaman bersama SPR tentang kemahiran Indonesia menggunakan dakwat kekal.

“Saya tertanya-tanya mengapa SPR tidak mahu bertanya kepada negara lain cara penggunaan sebenar dakwat kekal,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pendedahan rasuah, emosi ibu hiasi hari ke-2 Tribunal Rakyat

ibu k murugan(ANALISIS)

Seramai tujuh saksi memberi keterangan pada hari kedua Tribunal Rakyat PRU-13.

Pendengaran kali ini gempar dengan beberapa pendedahan saksi selain tetapi turut disaluti emosi apabila kes pembunuhan seorang pekerja kempen diperdengar.

Pendedahan bermula berikutan tiga video durasi lima minit berkaitan kekecohan proses pengundian Parlimen Tapah yang dibawa calon, Vasantha Kumar, dipertonton kepada panel tribunal.

Ia memaparkan Vasantha dan penyokongnya dihalau dari pusat pengiraan undi.

Ibu mendiang K Murugan yang mati dibunuh, Rajamah Pachiapan pula memberi keterangannya dengan penuh emosi berkaitan kes pembunuhan itu sambil menangis teresak-esak.

K Murugan berusia 36 tahun ialah pengawal peribadi dan pekerja kempen kepada calon Parlimen Tapah, Vasantha.

Mayatnya ditemui berhampiran kolam Taman Perindustrian Bemban di Batu Gajah 1 Mei lalu dengan kesan kecederaan termasuk badan dikelar dan diikat wayar.

Rajamah mendedahkan anaknya ada menerima panggilan ancaman bunuh sebelum dibunuh.

Yasmin Masidi pula membentang hasil laporan Pemantau sepanjang PRU 13 hasil maklum balas 3,000 sukarelawan yang memantau pada hari penamaan calon, tempoh berkempen dan waktu mengundi.

Hasil laporan itu menyeluruh dan tidak mensasarkan hanya sebelah pihak sama ada kerajaan atau pembangkang.

Pengarah Program Merdeka Center, Ibrahim Suffian pula memberi keterangan berkaitan perjalanan undi awal yang boleh menentukan kemenangan kepada 30 parlimen serta peranan kerajaan sementara pada pilihan raya.

Orang Asal dari Kuala Lipis Pahang, Norman anak lelaki Kong mengejutkan hadirin apabila mengakui dibayar RM20 jika mengundi BN, malah dijanjikan RM80 lagi tetapi tidak dibayar.

“Satu lagi janji tidak ditepati,” katanya.

Seorang lagi saksi, Datuk Abdul Halim Hussin pula mendedahkan gelagat BN yang memberi baucar kepada pengundi untuk ditunaikan jika BN menang pilihan raya.

Calon PKR Parlimen Teluk Bahang itu melihat sendiri ke lokasi untuk menunaikan baucar, malah membawa bukti video.

– FZL