Categories
AGENDA NASIONAL

Kekal tarif elektrik bantu pengguna tangani kos sara hidup

KUALA LUMPUR, 1 FEB: Pengekalan kadar tarif elektrik bagi pengguna domestik di Semenanjung Malaysia untuk Tempoh Regulatori Ketiga (RP3) dapat membantu rakyat menampung kos sara hidup yang tinggi berikutan impak pandemik dan bencana banjir.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Saravanan Thambirajah berkata walaupun berlaku peningkatan kos bahan api ekoran kenaikan harga arang batu di pasaran sehingga mencecah US$200 satu tan, kerajaan melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) akan menampung kos bahan api untuk tempoh Februari 2022 hingga Jun 2022.

Beliau berkata dengan subsidi ini, pengguna tidak perlu membayar kos yang tinggi untuk penggunaan tenaga elektrik.

“Kerajaan telah bersetuju untuk pemberian rebat dua sen/kWj dikekalkan kepada semua pengguna domestik dan tiada surcaj dikenakan. Kerajaan memperuntukkan dana KWIE sebanyak RM715 juta untuk menanggung kos tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata kerajaan juga mengumumkan pengguna bukan domestik seperti komersial dan industri, akan dikenakan surcaj Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebanyak pengenaan surcaj 3.70 sen/kWj.

Ini kemungkinan menjadi sebab kos operasi mereka meningkat dan akan dipindahkan kepada pengguna seterusnya menyebabkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan dalam tempoh terdekat, katanya.

“FOMCA menyarankan Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna supaya membuat pemantauan dan memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga dan tidak mencatut.

“Ini amat penting kerana harga barang dan perkhidmatan menunjukkan trend meningkat dan akan menjejaskan kuasa beli pengguna terutama golongan B50,” katanya.

Saravanan berkata kerajaan juga perlu meneruskan bantuan kepada golongan tersebut agar mereka terus dilindungi dan dibantu untuk menangani kos sara hidup yang tinggi pada masa kini.

“Kerajaan juga perlu membantu perniagaan dan industri yang terkesan melalui inisiatif yang dapat membantu mengurangkan kos operasi agar mereka dapat menanggung kos ini tanpa menjejaskan operasi mereka,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengesa pengguna mengambil langkah bijak bagi menjimatkan penggunaan tenaga elektrik walaupun kerajaan telah mengumumkan subsidi.

Ketua Aktivis, Nadzim Johan berkata bagaimanapun, persatuan itu menjangkakan harga barangan tetap meningkat kerana bermula 1 Februari, 2022, kadar surcaj sebanyak 3.7 sen per KWj akan dikenakan kepada pihak industri dan komersial.

PPIM juga bersedia untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Tenaga dan mana-mana pihak berkaitan untuk memulakan kempen penjimatan tenaga agar kesedaran mengenai tanggungjawab ini dapat diperluas, katanya dalam kenyataan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tarif elektrik tahun depan diumum minggu ini

PUTRAJAYA, 21 DIS: Kadar tarif elektrik untuk pengguna domestik dan industri bagi 2021 akan diumumkan minggu ini, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

“Kita akan umumkan dalam minggu ini. Tunggu,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis perhimpunan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli di sini hari ini.

Pada Jun lepas, Shamsul Anuar berkata kerajaan memberi jaminan bahawa kepentingan rakyat akan sentiasa menjadi keutamaan dalam menilai semula kadar semasa tarif elektrik.

Suruhanjaya Tenaga (ST) dijangka mengumumkan tarif baharu bagi tempoh Januari-Jun 2021 pada penghujung tahun ini selepas mendapat persetujuan kabinet.

Tenaga Nasional Bhd (TNB) pada September lepas dilapor menjangkakan kemungkinan berlaku penurunan kecil kadar tarif elektrik bagi tahun depan berikutan penyusutan kos pengeluaran arang batu dan dan gas semasa.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan masih timbang turun kadar tarif elektrik

SERDANG, 25 MAC: Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk menurunkan kadar tarif elektrik di negara ini selari dengan kejatuhan harga arang batu dan gas asli di pasaran global, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ditanya pemberita mengenai perancangan kerajaan untuk menurunkan kadar tarif elektrik berikutan penurunan harga arang batu dan gas di pasaran antarabangsa, Dr Mahathir berkata, kertas cadangan mengenainya akan dibawa ke Kabinet untuk pertimbangan.

“Apa yang penting, kita mahu mengurangkan beban sara hidup yang ditanggung rakyat ketika ini. Kadar tarif itu masih belum dimuktamadkan lagi,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Perdana Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bersama Perdana Menteri, di sini hari ini.

Menurut laporan media, harga gas asli cecair (LNG) Amerika Syarikat (AS) merosot lebih 40 peratus sejak Jun tahun lalu kepada US$6.50 (RM26.50)/MMBtu yang mana ia adalah terendah sejak September 2017.

Harga kargo arang batu bagi eksport dari Terminal Newcastle pula menurun bagi sukuan sejak pertengahan 2018 kepada bawah US$90 (RM366) setiap tan buat pertama kali sejak 2017.

SUMBER: BERNAMA