Categories
AGAMA SELANGOR

KAFA menengah lahirkan lebih ramai generasi Al-Quran

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 FEB: Kerajaan Negeri berhasrat untuk memperbanyakkan lagi sekolah KAFA menengah dalam usaha melahirkan generasi Al-Quran yang berjiwa rabbani.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Yunus Hairi berkata, usaha itu juga dilaksanakan ekoran terdapat permintaan tinggi daripada ibu bapa yang mahu memberikan pendidikan Islam terbaik untuk anak mereka.

Katanya, setakat ini terdapat 25 sekolah dan seramai 800 pelajar mengikuti pengajian pengajian terbabit.

“Kita cuba galakkan lagi anak ini mengikuti pengajian di peringkat menengah. Usaha ini dilaksanakan sejak 2014 dan yang pertama dilaksanakan, di negara ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Guru KAFA 2017, Meraikan Guru KAFA Bersara dan Jasamu Dikenang 2018.

Dr Yunus berkata, kebanyakan pelajar menerima keputusan peperiksaan yang membanggakan hasil usaha melaksanakan inisiatif pengajian itu.

“Ini menunujukkan wadah untuk memberikan pendidikan Islam terbaik sebagai salah satu sumber pendidikan di negara ini adalah tepat,” katanya.

Pada 2014, Kerajaan Negeri memulakan pilot projek dengan menubuhkan beberapa kelas KAFA peringkat menengah di sembilan Sekolah Rendah Agama (SRA) sedia ada.

Ia bermula di SRA Bukit Sentosa, Bandar Tasik Puteri, Sungai Buloh, Kampung Jalan Kebun, Bandar Bukit Puchong, Jalan Klang Lama, Telok Panglima Garang, Jalan Pandan Indah dan Kampung Sungai Udang.

Pendidikan di KAFA menengah adalah pendidikan alternatif kepada murid yang tidak berpeluang untuk mengikuti pengajian sekolah agama menengah negeri atau persekutuan.

 

Categories
SELANGOR

KAFA Menengah, usaha Kerajaan Negeri dipuji

Oleh: Naeem Raffi

KUALA SELANGOR 8 FEB : Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memuji komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan pengajian Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) tidak terhenti diperingkat Sekolah Rendah Agama.

Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan Islam JAIS, Mohd Amir Danuri, berkata keputusan melebarkan KAFA ke peringkat menengah oleh Kerajaan Negeri sebagai satu usaha murni yang wajar dibanggakan.

IMG_2415a“Kami (JAIS) berterima kasih kepada Kerajaan Negeri atas sokongan yang cukup kuat ini. Saya percaya projek perintis ini akan terlaksana dengan cemerlang seterusnya berkembang dengan jayanya.

“Ini adalah petanda baik untuk pendidikan Islam kepada anak-anak Islam khususnya di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap ringkas pada Majlis Perasmian KAFA Menenggah di Sekolah Rendah Agama (SRA) Saujana Utama di sini baru-baru ini.

Untuk rekod, JAIS mempunyai 23 Sekolah Menegah Agama diseluruh Selangor dan tiga buah Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi.

Jumlah itu bagaimana pun, masih belum mencukupi bagi menampung permintaan tinggi dari ibu bapa di Selangor yang inginkan anak-anak mereka ke sekolah menengah aliran agama.

“JAIS hanya mampu membuat pengambilan 3,700 pelajar tingkatan satu setiap tahun untuk ditempatkan di 26 buah sekolah yang ada.

Kafa menengah“Jadi, KAFA Menengah ini adalah peluang ‘pendidikan alternatif’ kepada ibu bapa yang inginkan anak-anak mereka ke aliran agama setelah tidak berpeluang mengikuti pengajian sekolah agama menengah negeri atau persekutuan,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Exco: KAFA Menengah usaha Selangor perkasa pendidikan Islam

Oleh: Naeem Raffi

KUALA SELANGOR 8 FEB : Penubuhan Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) ke peringkat menengah oleh Kerajaan Negeri adalah perintis kepada usaha meletakkan sistem pendidikan Islam di negeri itu ke persada arus perdana.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, berkata usaha terancang itu juga bertujuan memastikan kesinambungan pendidikan Islam dalam pembentukkan sahsiah diri pelajar tercapai.

IMG_2440a“Ini adalah proses memperkenalkan kembali Islam seperti yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W sebagai ad-din iaitu cara hidup yang syumul.

“Proses melahirkan modal insan yang cemerlang agamanya ini memakan masa yang panjang. Jadi, pengorbanan dan keterlibatan guru, ibu bapa dan masyarakat perlu dijana dari sekarang,” katanya.

Halimah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian KAFA Menenggah di Sekolah Rendah Agama (SRA) Saujana Utama di sini baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan Islam JAIS, Mohd Amir Danuri dan Guru Besar SRA Saujana Utama, Samsiah Alias.

Majlis turut dihadiri 30 pelajar yang mengikuti KAFA Menengah di situ bersama ibu bapa masing-masing.

Kafa menengahBermula tahun ini, Kerajaan Selangor menggerakkan pembelajaran KAFA peringkat Menengah di sembilan buah Sekolah Rendah Agama (SRA) sedia ada.

KAFA Menengah di SRA Saujana Utama ini adalah salah satu daripadanya.

Projek perintis tersebut dilihat selaras dengan manifesto Pakatan Rakyat (PR) Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu bagi melanjutkan KAFA ke peringkat menengah di seluruh negeri itu.

Penubuhannya juga disifatkan sebagai ‘tiket tambahan’ kepada pelajar yang tidak berpeluang mengikuti pengajian sekolah agama menengah negeri atau persekutuan.

Keputusan itu diambil berikutan permintaan tinggi kepada sekolah menengah agama yang ketika ini kurang di Selangor.

“Ramai pihak yang mempersoalkan, kenapa Kerajaan Selangor tidak membina Sekolah Menengah Agama yang serba lengkap. Kenapa hanya menumpang di SRA?

“Jawapannya, Kami (Kerajaan Negeri) berpijak dibumi yang nyata, belanjawan kami (negeri) terbatas. Saya selaku exco pendidikan bagi penggal kedua ini kalau boleh semua benda mahu buat,” kata Halimah.

Katanya, sikap Kerajaan Pusat yang menganaktirikan Selangor sejak 2008, sedikitpun tidak mematahkan semangat Kerajaan Negeri untuk terus memperkasa sistem pendidikan di negeri itu.

“Jadi, kalau ‘bapa tiri’ berkira-kira untuk beri, pandai-pandailah Selangor jaga diri.

“Hasil jimat cermat dan perbelanjaan yang cekap, Kerajaan Negeri terus berjaya dan berjaya mengandakan rezab simpanannya. Sumber itu yang kita guna untuk majukan sistem pendidikan,” jelasnya.

EZY

Categories
SELANGOR

KAFA Menengah ‘tiket tambahan’ murid dalami pengajian agama

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 23 JAN: Penubuhan Sekolah Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) Menengah oleh kerajaan negeri disifatkan sebagai ‘tiket tambahan’ kepada murid yang sebelum ini tidak berpeluang mengikuti pengajian agama di sekolah menengah negeri atau persekutuan.

Guru Besar Sekolah Rendah Agama (SRA) Sungai Udang, Fatimah Salleh, berkata sewajarnya peluang itu diraih ibu bapa untuk menempatkan anak mereka dalam aliran agama.

“Mungkin ramai di kalangan ibu bapa belum mengetahui perkara ini dan saya berharap peluang yang ada diraih supaya usaha memperkasa aqidah dan ilmu agama di kalangan anak muda itu tercapai,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, baru-baru ini.

tambah kafaUntuk rekod, SRA Sungai Udang adalah salah sebuah daripada sembilan SRA yang disenaraikan dalam projek perintis KAFA Menengah.

Sejak beroperasi awal tahun ini, sekurang-kurangnya 30 murid berjaya ditempatkan di SRA Sungai Udang dan dijangka akan bertambah daripada semasa ke semasa.

“Walaupun baru tiga minggu sesi persekolah bermula, sambutan yang diterima dengan kehadiran 30 murid ini amat membanggakan.

“Diharap, jumlahnya semakin bertambah untuk kita merancakkan lagi pendidikan Islam di Selangor,” katanya.

Beliau berkata, KAFA Menengah bukan sahaja mampu membina jati diri murid, bahkan mengatasi masalah sosial yang sering terjadi di waktu senggang.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hanya mengenakan yuran pengajian RM48 setahun dengan buku pengajian diberikan secara percuma.

Bagi meringgankan beban ibu bapa, JAIS juga tidak menetapkan pakaian seragam khas tetapi murid disyaratkan memakai pakaian sekolah menengah.

-NFN-

Categories
SELANGOR

EXCO Agama Pulau Pinang puji pelaksanaan KAFA Menengah

Oleh : NAEMM RAFFI

SHAH ALAM, 23 JAN: Usaha Selangor memperkasa pembangunan ummah menerusi pendidikan Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) aliran menenggah dipuji Exco Hal Ehwal Agama Pulau Pinang, Datuk  Abdul Malik Kassim.

Walaupun usaha itu sedikit berbeza di Pulau Pinang, Abdul Malik menyifatkan ia suatu pendekatan yang murni dan membanggakan.

abdul malik kassim“Pelaksanaan Sekolah KAFA Menengah di Selangor itu antara cabang bagaimana kekuatan sesebuah ummah itu mampu dijana.

“Ia sewajarnya dipuji, bahkan jika berkemampuan, tidak mustahil ia akan dicontohi kerajaan negeri lain,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, semalam.

Bermula tahun ini, Kerajaan Selangor menggerakkan pembelajaran KAFA peringkat Menengah di sembilan buah Sekolah Rendah Agama (SRA) sedia ada.

Projek perintis itu dilihat selaras dengan manifesto pakatan Rakyat Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu yang mahu menubuhkan sekolah KAFA Menengah di seluruh negeri itu.

Penubuhan KAFA Menengah bertujuan membuka peluang pendidikan alternatif kepada murid yang tidak berpeluang mengikuti pengajian sekolah agama menengah negeri atau persekutuan.

Keputusan itu diambil berikutan dengan permintaan tinggi kepada sekolah menengah agama yang ketika ini kurang di Selangor.

Abdul Malik berkata, jika permintaan sama timbul di Pulau Pinang, pihaknya akan berusaha memenuhi kehendak itu.

-NFN-