Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Kaligrafi Cina temukan Cheng dan Azizah

KULAI, 21 JAN: Ketibaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi turut membuka pintu rezeki berganda bagi Cheng Ho Chung, 83, seorang mahaguru kaligrafi Cina di sini.

Manakan tidak, setiap kali perayaan berkenaan, warga emas itu tidak putus-putus menerima tempahan kaligrafi Cina daripada masyarakat setempat untuk mewarnai sambutan itu dengan tulisan berkenaan yang membawa bermaksud kemakmuran, kesihatan dan kekayaan.

Tetapi kali ini, yang lebih menarik, Cheng tidak bersendirian dalam menyiapkan tempahan itu yang kadangkala mencecah hingga ratusan unit kerana dia dibantu oleh sahabat baharunya, Azizah Mokhsan, 38.

Cheng berkata dia mengenali Azizah dua tahun yang lalu apabila wanita berkenaan mula bekerja di kedai menjual penyaman udara, bersebelahan dengan tapak perniagaannya di Jalan Raya, Kulai Besar.

“Pada mulanya, dia (Azizah) hanya sekadar melihat saya menulis kaligrafi ini di atas kertas dan tanglung.

Cheng Ho Chung menghasilkan tulisan kaligrafi Cina dengan pelbagai maksud antaranya kemakmuran, kesihatan dan kekayaan ketika ditemui di kedainya di Jalan Raya Kulai Besar pada 20 Januari 2021. Foto BERNAMA

“Tetapi (lama-kelamaan) saya menyedari dia mempunyai minat terhadap seni ini lalu saya bertanyakan adakah dia berminat untuk mempelajari seni ini dengan saya,” kata Cheng ketika mengimbas detik permulaannya menjadi guru kaligrafi kepada wanita terbabit kepada pemberita di sini.

Menurutnya, dia mengambil tempoh yang agak lama untuk membiasakan Azizah dengan teknik asas penulisan kaligrafi Cina kerana wanita itu tiada sebarang pengetahuan terhadap Bahasa Mandarin dan tulisannya.

“Saya ajar dia bermula dengan cara memegang berus dengan betul sehinggalah ke cara menulis kaligrafi dengan baik namun lama-kelamaan dia semakin mahir,” kata Cheng yang telah berniaga tulisan kaligrafi sejak tahun 1983 malah juga pernah mengajar seni itu di beberapa sekolah di Johor dari tahun 1988 hingga 2001.

Sementara itu, Azizah berkata ramai pelanggan Cheng terkejut apabila mengetahui terdapat seorang wanita Melayu berminat mempelajari seni kaligrafi Cina.

“Ada juga yang berasa kagum kerana tidak ramai generasi muda mahu meneruskan warisan ini. Malah dalam kalangan ahli keluarga Cheng sendiri, hanya seorang daripada tiga anaknya yang mengikut jejak ayahnya mempraktik dan mengajar seni kaligrafi Cina,” kata wanita yang berasal dari Kampung Bachang, Melaka itu.

Azizah berkata disebabkan minat yang mendalam terhadap seni tulisan itu juga, dia tergerak hati untuk mengikuti kelas pembelajaran Bahasa Mandarin bagi mengukuhkan keupayaan dan pemahamannya terhadap seni berkenaan.

“Sejak belajar dengan Cheng, saya sudah menguasai beberapa patah perkataan bahasa Mandarin namun tidak sepenuhnya.

“Disebabkan itu, saya sanggup mengikuti kelas Bahasa Mandarin bagi memperluaskan pemahaman saya,” katanya yang mengakui seni tulisan ini mementingkan banyak faktor antaranya kualiti berus dan cara mengalunkan pergerakan pergelangan tangan bagi mendapatkan bentuk kaligrafi yang terbaik.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Seni kaligrafi Cina turut diminati kaum lain

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Sejak kecil lagi wanita ini begitu tertarik dengan seni kaligrafi Cina terutama apabila melihat rakan-rakan daripada kaum itu mempamerkan kebolehan berkenaan ketika acara-acara tertentu termasuk menjelang Tahun Baharu Cina.

Keunikan setiap calitan karakter di atas kertas merah menggunakan berus dan dakwat hitam yang membawa maksud positif, menguatkan lagi azam Shoba Veera, 54, untuk mempelajari seni itu.

“Sejak kecil lagi saya sangat tertarik melihat seni kaligrafi yang ditampal di dinding dan telah lama berniat mahu mengambil kelas untuk mempelajarinya namun sering kali tidak berpeluang.

“Belajar seni kaligrafi bukan sahaja dapat mengenali budaya dan warisan masyarakat Cina, malah dapat merapatkan jurang perbezaan antara kaum dan menyatupadukan rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Shobah, yang merupakan seorang peguam adalah antara empat peserta bukan Cina yang mengikuti Bengkel Seni Kaligrafi Tahun Baharu Cina anjuran Majlis Perwakilan Rakyat Zon Lembah Pantai dan Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Bagi Noor Laila Othman, 58, galakan daripada suaminya yang berbangsa Cina mendorong beliau mempelajari seni itu yang mempunyai persamaan dengan seni khat.

“Saya sering melihat suami saya berlatih menulis kaligrafi itu dan pada masa yang sama saya juga meminati seni khat. Secara umumnya kedua-duanya mempunyai persamaan dari segi peralatan dan cara penulisannya, cuma seni khat kami menggunakan buluh manakala kaligrafi Cina dengan berus.

“Penulisan kaligrafi dapat menguji kesabaran dan menenangkan minda,” kata pengarah urusan sebuah syarikat swasta itu.

Sementara itu, guru kaligrafi yang mengendalikan bengkel itu, Soo Yoke Lan, 68, berkata seseorang tidak semestinya fasih menulis dan membaca karakter tulisan Cina bagi mempelajari seni kaligrafi berkenaan.

“Ramai juga yang mula berminat untuk mempelajari bahasa Cina selepas mengambil kelas kaligrafi dengan saya, ini secara langsung menggalakkan mereka menguasai lebih banyak bahasa selain mengenali budaya kami dengan lebih dekat,” katanya.

-BERNAMA