Categories
SELANGOR

PTGS Perkenal Talian Bebas Tol Untuk Urusan Tanah

SHAH ALAM 9 OGOS : Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) mewujudkan talian bebas tol 1-800-88-2624 bagi memudahkan orang ramai mengemukakan sebarang aduan berkaitan urusan tanah.

Dalam satu kenyataan, Pengarah PTGS, Kamarulzaman Jamil menjelaskan langkah mewujudkan talian itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keutuhan Tadbir Urus PTGS pada bulan Mac lepas.

“PTGS berharap dengan adanya talian bebas tol ini, segala permasalahan berkaitan isu tanah dapat diselesaikan.

“Semoga langkah ini juga dapat merealisasikan misi PTGS untuk menawarkan perkhidmatan secara berintegriti dan profesional ke arah urus tadbir pengurusan tanah yang cekap,” jelasnya.

Talian yang dikendalikan pegawai Korporat dan Audit Pengurusan Tanah ini akan dibuka pada setiap hari Isnin sehingga Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Setiap aduan perlu disertakan maklumat seperti nama, nombor telefon, alamat pengadu, alamat emel, nombor hak milik, nombor lot, nombor perserahan atau bilangan atau rujukan dan sebagainya bagi memudahkan maklum balas dari pihak PTGS.