Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sistem layan diri mudahkan serahan hak milik tanah, strata

SHAH ALAM, 24 JULAI: Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) memperkenalkan sistem penyerahan hak milik strata dan tanah secara layan diri yang pertama di Malaysia seiring dengan kemajuan teknologi.

Pengarahnya berkata Smartbox PTGS memudahkan urusan penyerahan dokumen secara dalam talian selain mengurangkan hubungan fizikal di kaunter ketika negara berdepan ancaman Covid-19.

“Perintah Kawalan Pergerakan baru-baru ini menyebabkan semua urusan di pejabat terhenti dan dibuka secara terkawal selepas kebenaran diberikan, namun berlaku kesesakan (di pejabat) melibatkan pelanggan PTGS.

“Susulan itu, kaedah Smartbox dilaksanakan di pentadbiran tanah ini sebagai usaha mengurangkan risiko jangkitan Covid-19,” kata Yusri Zakariah ketika sesi demonstrasi dan perasmian sistem Smartbox PTGS di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Sistem itu dibangunkan dengan kerjasama Pejabat Pegawai Kewangan negeri dan Bahagian Pengurusan Maklumat yang disempurnakan Setiausaha Kerajaan Selangor Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Yusri menambah fasa pertama sistem itu melibatkan penyerahan dokumen melalui kios Smartbox manakala fasa kedua yang akan dilaksana tahun depan berkonsepkan mesin kutipan penyerahan.

“Sebagai permulaan, penyerahan melalui perkhidmatan kios Smartbox dibuka untuk firma guaman sahaja dan diperluaskan kepada pelanggan secara individu pada masa akan datang,” katanya.

Kaedah bayaran bagi penyerahan layan diri boleh dibuat melalui portal Smartbox PTGS di http://smartbox.selangor.gov.my dan perlu membuat bayaran yang tepat serta memasukkan resit bayaran ke dalam sampul bersama dokumen.

Waktu operasi dan bayaran bermula dari 5 pagi hingga 8 malam manakala waktu penyerahan kios dari 6 pagi hingga 5 petang.

Categories
NASIONAL

Putrajaya minat sistem e-tanah Selangor

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 17 MEI: Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) memberitahu pihaknya dirisik oleh Kerajaan Persekutan bagi menguna pakai sistem e-tanah selari peredaran teknologi semasa.

Pengarahnya, Dato’ Zul-kefli@Zulkefli Khalid berkata, sistem terbabit akan mendigitalkan sistem pentadbiran tanah secara eletronik dan bersepadu supaya pentadbiran tanah negeri lebih efektif, telus dan selamat.

Katanya, ketika ini Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan bakal memulakan kajian awal bagi perlaksanaan projek sistem e-tanah di Selangor.

“Kajian awal dibuat bagi mengenal pasti persekitaran semasa sistem di PTGS dan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) yang akan terlibat dengan migrasi data dan intergrasi dengan sistem e-tanah.

“Semoga dengan kemajuan projek ini dapat meningkatkan kecekapan pentadbiran tanah di Selangor,” katanya ketika berucap di Majlis Rapat Ramadan Penjawat Awam Kerajaan Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, SUK, di sini.

Pada masa sama, beliau berkata, dengan pentadbiran yang cekap dapat menyumbang kepada kedudukan Malaysia sebagi sebuah negara mesra pelabur dalam penilaian ‘Ease Of Doing Business’ oleh Bank Dunia.

“Malaysia kini menduduki tangga ke-15  berbanding ke-24 pada tahun 2018.

“Manakala dalam laporan World Bank, ‘sub indicator’ pendaftaran hartanah Malaysia kini pada tangga ke-29 berbanding ke-42 pada tahun 2018,” katanya.

Categories
SELANGOR

PTGS komited beri khidmat terbaik

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 SEPT: Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) komited memastikan sistem penyampaian perkhidmatan dilaksanakan secara terbaik kepada pelanggan.

Pengarahnya, Dato’ Zulkefli Khalid berkata, pelbagai inovasi baru diperkenalkan PTGS dalam usaha berkenaan bagi menyumbangkan peningkatan hasil Kerajaan Negeri.

Katanya, ia termasuk sistem E-Strata, E-Charting dan Smart Docket yang diguna pakai dalam pentadbiran tanah seluruh negeri.

“Sebagai contoh, idea membangunkan sistem Smart Docket tercetus selepas penemuan Laporan Ketua Audit Negara 2014 yang menjelaskan perlunya penambahbaikan terhadap kaedah kutipan royalti bahan batuan.

“Di antara penemuan itu adalah kecenderungan memanipulasi maklumat pada doket memandangkan ia secara manual tanpa pemantauan ketat dan tiada penyeragaman dalam menjana laporan pengeluaran.

“Sehubungan itu, PTGS mengambil serius laporan penemuan itu dan mengadakan beberapa siri perbincangan bersama Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Sistem Smart Docket oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini.

Pada masa sama, Zulkefli berkata, sistem Smart Docket menerima maklum balas positif dan memberi ketepatan daripada segi data, lebih efektif serta pantas.

“Saya percaya semua pemain industri akan terus menyokong penggunaan sistem ini demi menjamin masa depan negeri yang lebih ‘smart and caring’.

“Ia selaras dengan visi dan misi Kerajaan Negeri bagi melestarikan pembangunan serta kemakmuran simetri, pintar juga peduli rakyat,” katanya.

Terdahulu, Sistem Smart Docket mampu menjana pendapatan negeri sehingga RM80 juta setahun dan mengurangkan ketirisan pendapatan, kecurian dan aktiviti haram lain.

Categories
SELANGOR

Urusan Tanah Sekarang Lebih Cepat Dengan Sistem Aplikasi Atas Talian

MB Majlis Perasmian Sistem Aplikasi Pejabat Tanah 01

SHAH ALAM, 28 MAC : Pemeriksaan status tanah oleh awam yang dahulunya mengambil beberapa minggu sekarang boleh dilakukan dalam masa satu hari setelah Selangor berjaya memuatkan semua rekod tanah di dalam sistem atas talian.

Melalui tujuh aplikasi yang dibangunkan kerajaan negeri, perkhidmatan tanah dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, mudah dan pantas dengan berorientasikan “customer-focused services” (fokus kepada perkhidmatan pelanggan).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sistem atas talian (online) memudahkan orang awam untuk berurusan dengan Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) bagi menyemak status atau dokumen berkaitan urusan tanah.

Antara tujuh aplikasi tersebut adalah :

MB Majlis Perasmian Sistem Aplikasi Pejabat Tanah 02SeLIS ? satu pangkalan data inventori aset tanah bagi kegunaan Kerajaan Negeri,

e-SPHS ? merangkumi cetakan borang, carian rasmi dan carian persendirian di kaunter Hak Milik Strata PTG,

e-Pungutan – untuk memudahkan semakan dan kawalan dokumen yang sedang dalam proses pungutan,

MySMS – memudahkan ornag awam membuat semakan cukai tanah berdasarkan nombor akaun bil,

e-Consent – menguruskan permohonan kebenaran pindah milik, gadaian dan pajakan tanah,

“Tujuan sistem ini diperkenalkan adalah bagi mengurangkan birokrasi dan memudahkan pengguna untuk mengakses maklumat berkaitan tanah selalui aplikasi digital.

“Kerja-kerja yang dahulunya dibuat berminggu-minggu dapat dikurangkan sehingga sehari untuk membolehkan orang awam mendapatkan maklumat mengenai geran atau pemilikan tanah dengan cepat.

“Ini adalah satu usaha ke arah menentukan pentadbiran tanah di negeri Selangor dibuat dengan cepat dan cekap,” katanya selepas merasmikan Sistem Aplikasi @ PTGS di Ruang Legar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini pagi tadi.

Hadir sama, Pengarah PTGS, Datuk Kamarulzaman Jamil, Exco Negeri, Dr Xavier Jayakumar, Rodziah Ismail dan Dr Ahmad Yunus Hairi.

Iskandar Tawar Pemaju Bina Rumah Mampu Milik Di Selangor

iskandar-samad-pink-01

SHAH ALAM 18 DIS : Untuk memenuhi permintaan Rumah Mampu Milik(RMM), Kerajaan Negeri membuka peluang kepada pihak pemaju mengemukakan permohonan membina rumah tersebut bagi menggantikan Rumah Kos Rendah yang mereka perlu bina.

Bagaimanapun, Exco Perumahan, Iskandar Abdul Samad menegaskan kelulusan kepada pemaju tertakluk mengikut syarat yang mesti dipenuhi dan diluluskan oleh Mesyuarat Exco.

“Permohonan akan diluluskan sekiranya kurang permintaan atau kurang permintaan untuk Rumah Kos Rendah di sesuatu kawasan itu.

“Permohonan juga boleh diluluskan jika terdapat masih banyak Rumah Kos Rendah yang masih tidak terjual di kawasan tersebut,” jelas Iskandar dalam satu kenyataan medianya.

Mesyuarat Exco akan mengambil kira laporan teknikal daripada Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Negeri Selangor (JPBD), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) mengenai sesuatu permohonan.

Berdasarkan ulasan-ulasan teknikal itu, Pengarah Tanah Dan Galian Selangor (PTGS) akan mengemukakan cadangan kepada Mesyuarat Exco sama ada untuk menolak atau meluluskan permohonan tersebut.

“Memandangkan ia melibatkan banyak pihak, amatlah payah bagi pemaju untuk cuba mempengaruhi kesemua pihak-pihak yang terlibat.

“Jika pemaju dapat mempengaruhi LPHS sekalipun, ia masih memerlukan kelulusan Mesyuarat Exco yang dibuat secara ‘collective’ dan bukan berdasarkan keputusan Exco Perumahan sahaja,” tegasnya lagi.

RMM Selangor dijual pada harga sekitar RM85,000 hingga RM120,000 dengan keluasan antara 850 hingga 1,000 kaki persegi di samping rekabentuk berkonsepkan ‘green building’.

Pemaju juga perlu mengambil kira penyediaan kemudahan asas dan awam yang mencukupi termasuk untuk warga emas dan Orang Kelainan Upaya(OKU), mengenakan kos penyelenggaraan yang murah dan keuntungan yang tidak melebihi sepuluh peratus.

 

Categories
SELANGOR

PTGS Perkenal Talian Bebas Tol Untuk Urusan Tanah

SHAH ALAM 9 OGOS : Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) mewujudkan talian bebas tol 1-800-88-2624 bagi memudahkan orang ramai mengemukakan sebarang aduan berkaitan urusan tanah.

Dalam satu kenyataan, Pengarah PTGS, Kamarulzaman Jamil menjelaskan langkah mewujudkan talian itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keutuhan Tadbir Urus PTGS pada bulan Mac lepas.

“PTGS berharap dengan adanya talian bebas tol ini, segala permasalahan berkaitan isu tanah dapat diselesaikan.

“Semoga langkah ini juga dapat merealisasikan misi PTGS untuk menawarkan perkhidmatan secara berintegriti dan profesional ke arah urus tadbir pengurusan tanah yang cekap,” jelasnya.

Talian yang dikendalikan pegawai Korporat dan Audit Pengurusan Tanah ini akan dibuka pada setiap hari Isnin sehingga Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Setiap aduan perlu disertakan maklumat seperti nama, nombor telefon, alamat pengadu, alamat emel, nombor hak milik, nombor lot, nombor perserahan atau bilangan atau rujukan dan sebagainya bagi memudahkan maklum balas dari pihak PTGS.