Categories
SELANGOR

AKTIVITI YB: Masak lauk sekampung gegar Kampung Bahagia

BANGI, 17 JUN: Masyarakat Kampung Bahagia sungguh bertuah kerana terpilih dalam program Kenduri Sekampung iaitu antara temasya tahunan yang menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi, Shafie Ngah, baru-baru ini.

Program itu akan berlangsung selama enam siri dan adalah antara usaha Shafie bagi menjalin kemesraan antara pemimpin dengan masyarakat berkenaan, sekali gus menghapuskan tanggapan bahawa wakil rakyat hanya bertandang ke kawasan kampung menjelang musim pilihan raya sahaja.

Program yang berjalan setengah hari itu mendapat sambutan baik daripada penduduk tempatan yang diselenggarakan Jabatan Amal bermula jam 8.00 pagi.

DSC_0320Antara aktiviti yang dijayakan adalah gotong-royong menyembelih dan memasak seekor lembu di perkarangan Madrasah al-Hamidiah, bahkan kaum ibu turut tidak melepaskan peluang membantu menyediakan bahan memasak untuk kenduri sekampung itu.

 

Suasana diserikan juga dengan kehadiran hampir 20 kanak-kanak yang mengambil bahagian dalam pertandingan mewarna anjuran badan bukan kerajaan (NGO) Nisa’ Serdang.

Tentatif program diteruskan dengan ziarah kebajikan yang diketuai Shafie bersama Ketua Kampung Bahagia, Azlan Nordin serta beberapa ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK).

DSC_0430Sempena program itu, Shafie turut menjelajah satu kampung untuk mengajak penduduk bersama menjamu selera dan lebih daripada 15 keluarga yang kurang bernasib baik dan dhaif turut menerima sumbangan asas serta daging lembu segar.

Shafie berkata, beliau mengharapkan penganjuran program itu adalah dapat memahami secara dekat masalah masyarakat sekitar, selain bersama warga kampung bergotong-royong.

“Melalui program seperti ini, saya juga berhasrat supaya produk Kerajaan Negeri dalam Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) mendapat perhatian dan pembabitam rakyat, khususnya luar kota yang kurang pendedahan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Lebih 10 Ribu Rakyat Selangor Sudah Dapat Tanah Sendiri

HULU LANGAT, 22 APR : Lebih 10 ribu penduduk di Selangor sudah menerima notis borang 5A atau surat kelulusan pemberimilikan tanah, menerusi program kediaman persendirian.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri dan Pejabat Daerah berusaha sebaik mungkin bagi memenuhi setiap permohonan untuk memiliki tanah sendiri yang telah diduduki selama puluhan tahun.

“Pada Pilihanraya 2008, pengundi di Selangor memberi mandat kepada Pakatan Rakyat untuk mentadbir, jadi rakyat mesti dibela,” ujarnya ketika memberi ucapan di Majlis Penyampaian Notis Borang 5A Kampung Sungai Makau Hulu Langat disini hari ini.

Sebanyak 55 orang penduduk Kampung Sungai Makau, Hulu Langat  menerima notis borang 5A dan 29 orang penduduk Kampung Bahagia, Bangi menerima surat hak milik tanah yang disampaikan oleh Abdul Khalid sendiri.

Menerusi usaha ini, kerajaan negeri memberi hakmilik tanah dengan bayaran premium fleksibel bagi memudahkan rakyat memiliki kediaman sendiri.

Menurut Abdul Khalid, setiap permohonan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk penelitian dan keputusan mesyuarat ini adalah berdasarkan kelayakan pemohon tanah tersebut.

“Pemohon yang terpilih bukannya kerana mereka menyokong Pakatan Rakyat, ataupun kroni Exco tetapi kerajaan negeri mengamalkan prinsip tadbir urus yang telus dan bertanggungjawab tanpa mengira perbezaan bangsa, agama atau fahaman politik,” tegasnya lagi.

Tambahnya, kerajaan negeri memulakan pusat maklumat tanah bersepadu bagi membolehkan pemilik tanah memeriksa dan mengemaskini status, lokasi dan hal-hal yang berkaitan urusan tanah.

Bagaimanapun, beliau menyeru kepada semua pemohon yang diluluskan pemberimilikan ini agar menjelaskan bayaran premium dalam tempoh ditetapkan.

“Saya harap setiap pemohon sudah mengetahui tatacara pembayaran premium ini dan boleh mendapatkan maklumat pembayaran dari Pejabat Daerah kawasan masing-masing,” katanya.