Categories
GLOBAL

Enjin pesawat meletup, 1 penumpang maut

PHILADELPHIA 18 APR: Enjin pesawat Southwest Airlines dari New York ke Dallas meletup menyebabkan seorang penumpang maut dan memaksa pendaratan cemas, tragedi pertama membabitkan penerbangan komersial Amerika Syarikat (AS) selama hampir sedekad.

Pesawat Boeing 737-700 berlepas tanpa sebarang insiden namun beberapa minit selepas itu penumpang mendengar letupan pada enjin kiri, menyebabkan serpihannya berterbangan menembusi tingkap dan topeng oksigen terkeluar.

“Kami percaya ada serpihan berterbangan dari enjin. Insiden menyebabkan seorang maut,” kata Pengerusi Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan, Robert Sumwalt, pada sidang media, mengesahkan kegagalan enjin namun tidak berlaku kebakaran.

Media AS melaporkan, tujuh penumpang cedera ringan dalam insiden itu dan identiti mangsa yang maut bagaimanapun tidak didedahkan.

Menurut Southwest Airlines, penerbangan 1380 dari lapangan terbang domestik New York di La Guardia ke Love Field, Dallas itu membawa 144 penumpang dan lima kru.

Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Philadelphia pada jam 11.20 pagi waktu tempatan selepas kru melaporkan kerosakan satu daripada enjin dan pada badan pesawat serta sekurang-kurangnya satu tingkap.

“Ada sesuatu yang tidak kena dengan pesawat! Ia sedang menjunam! Enjin meletup ketika di udara dan menerbangkan tingkap sejauh tiga kerusi dari saya. Letupan menyebabkan seorang wanita yang duduk berhampiran tingkap cedera parah,” menurut Marty Martinez dalam siaran langsung Facebook, menunjukkannya dalam keadaan panik dan bernafas menggunakan topeng oksigen.

SUMBER: AFP

Categories
NASIONAL

Generator MH006 tidak berfungsi, MH144 dirempuh itik

SHAH ALAM, 24 MAC: Malaysia Airlines (MAS) hari ini mengesahkan pesawat MH006 milik syarikat penerbangan itu dari Kuala Lumpur ke Incheon, Seoul, malam tadi, dilencongkan ke Hong Kong ekoran generator kapal terbang yang tidak berfungsi.

Dalam satu kenyataannya, Pengurus Perhubungan Awam Media MAS, Kharunnisak Dzun Nurin, berkata pesawat Airbus A330-300 itu selamat mendarat di Hong Kong.

“Bekalan tenaga biasa terus dibekalkan menggunakan unit Kuasa Bantu dan kapal terbang itu kemudian dilencongkan ke Hong Kong untuk pembaikan dan mendarat dengan selamat,” katanya.

mh066MH066 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 11.37 malam dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon pada 6.50 pagi waktu tempatan (5.50 pagi waktu Malaysia).

Beliau berkata, semua 271 penumpang pesawat berkenaan dipindahkan ke penerbangan lain.

“Penerbangan balik MH067 dari Incheon ke Kuala Lumpur dibatalkan dan penumpang dipindahkan ke pesawat lain, di samping penerbangan berikutnya oleh MAS ke Kuala Lumpur,” katanya, di sini, hari ini.

Semalam, sebuah pesawat MAS yang membawa 180 penumpang dan anak kapal terselamat daripada mengalami bencana apabila sekumpulan itik merempuh cermin hadapannya ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan (TIA), pada 21 Mac lalu.

mhPortal berita Nepal kantipuronline.com. pada 22 Mac lalu, memetik pihak berkuasa lapangan terbang sebagai berkata, kejadian pada jam 10.45 malam itu menyebabkan hujung Landasan 02 dipenuhi serpihan kaca.

Tiada laporan berkenaan kecederaan yang dialami mereka yang menaiki pesawat MH144 dari Kuala Lumpur ke Kathmandu itu.

Petugas kokpit pesawat itu bagaimanpun dikatakan tidak segera memaklumkan kejadian terbabitkepada Pengawal Trafik Udara (ATC).

Kapten pesawat berkenaan bagaimanapun mengesahkan ia “disyaki melanggar unggas”, selepas anak kapal Jet Airways melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa lapangan terbang, kata laporan itu.

Juruterbang MAS terbabit dipercayai mungkin dikenakan tindakan kerana tidak segera melaporkan kejadian terbabit dan MAS membatalkan penerbangannya ke Kuala Lumpur yang dijadualkan pada jam 11 malam, pada tarikh sama.

Semua penumpang yang menempah penerbangan itu ditempatkan di hotel Soaltee, Annapurna dan Hyatt Regency, manakala pesawat berkenaan berlepas pulang ke Kuala Lumpur selepas dibaiki, jam 3:30 petang, pada 22 Mac lalu.