Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MBSA komited jaya bandar rendah karbon 2030

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 19 JAN: Pelaksanaan Bengkel Program Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon Shah Alam 2017 adalah komitmen berterusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ke arah merealisasikan matlamat menjadikan bandar raya itu sebagai bandar rendah karbon, menjelang 2030.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, sehubungan itu ia dijayakan dengan penyertaan pelbagai pihak terdiri daripada wakil agensi jabatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan, perunding, pemaju dan warga kerja MBSA bagi berkongsi idea juga pandangan dalam merangka perancangan berkenaan.

“Bengkel ini bertujuan membuat satu rangka kerja untuk melaksanakan Shah Alam sebagai bandar raya rendah karbon, menjelang 2030.

MBSA Zaharin“Kali ini, kita menjemput sendiri pemaju dan perunding bagi bersama mengemukakan idea serta cadangan khususnya kepada pemaju yang akan melaksanakan pembangunan di sekitar kawasan MBSA,” katannya dalam sidang media selepas majlis pelancaran bengkel itu, di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara pihak pemaju yang terbabit dalam bengkel itu ialah Sime Darby Bhd, Kwasa Land Sdn Bhd, Bandar Setia Alam Sdn Bhd, GreenTech Malaysia (perunding), Darul Ehsan Medical Centre (hospital) selain kakitangan MBSA.

Katanya, perancangan menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya rendah karbon dijalankan dalam tiga fasa iaitu fasa pertama mulai 2015 hingga 2020 diikuti fasa kedua (2020-2025) dan fasa ketiga (2025-2030).

“Segala dibentangkan dalam bengkel ini akan diteliti untuk kita gariskan satu pelan tindakan berkenaan apa yang akan dilaksanakan di kawasan sekitar Shah Alam termasuk tujuh kawasan pusat bandar utama yang dipilih.

“Secara keseluruhan, kita mengharapkan supaya pengisian program dijalankan akan dapat menghasilkan matlamat kepada tujuan ditetapkan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MBSA bongkar empat elemen bandar rendah karbon

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 26 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menganjurkan seminar antarabangsa ‘Shah Alam ke Arah Bandar Raya Rendah Karbon 2030’ dengan kerjasama Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP).

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad, berkata seminar itu bertujuan memberi pemahaman dan panduan berkenaan Sistem Penilaian Bandar Rendah Karbon yang juga dikenali sebagai ‘Low Carbon City Framework’ (LCCF).

zaharin saad“LCCF sebagai panduan dalam menyediakan perancangan dan pembangunan mampan yang dapat menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah kaca (Green House Gases–GHG).

“Terdapat empat elemen utama dalam rangka kerja LCCF iaitu persekitaran, infrastruktur, pengangkutan dan bangunan di bandar.

“Melalui rangka kerja itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya boleh memanfaatkannya untuk mengukur tahap pengeluaran karbon mengikut penilaian yang ditetapkan,” katanya ketika pelancaran ringkas Seminar Antarabangsa LCCF.

Ahmad Zaharin, berkata MBSA menggalakkan agensi kerajaan, PBT lain, badan pertubuhan profesional, Institusi Pengajian Tinggi Awam/Swasta, pelabur, pemaju dan perunding untuk sertai seminar itu.

MBSA“Setiap penyertaan dikenakan bayaran mengikut kategori. Ahli MIP dikenakan bayaran RM400.

“Manakala agensi kerajaan, pertubuhan profesional, ahli akademik atau pemaju dikenakan bayaran RM450 dan pelajar (RM50),” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan borang penyertaan daripada Jabatan Perancangan, Wisma MBSA, Tingkat 9, Persiaran Perbandaran, di sini.

Pertanyaan lanjut hubungi MIP di talian 03-78770636/0637 (Syikin/Siti/Athirah) atau hubungi Jabatan Perancangan MBSA di talian 03-55105133 sambungan 1573/1574 (Halimatun/Hazimah).

-NFN-