Categories
SELANGOR

MBSA bongkar empat elemen bandar rendah karbon

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 26 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menganjurkan seminar antarabangsa ‘Shah Alam ke Arah Bandar Raya Rendah Karbon 2030’ dengan kerjasama Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP).

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad, berkata seminar itu bertujuan memberi pemahaman dan panduan berkenaan Sistem Penilaian Bandar Rendah Karbon yang juga dikenali sebagai ‘Low Carbon City Framework’ (LCCF).

zaharin saad“LCCF sebagai panduan dalam menyediakan perancangan dan pembangunan mampan yang dapat menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah kaca (Green House Gases–GHG).

“Terdapat empat elemen utama dalam rangka kerja LCCF iaitu persekitaran, infrastruktur, pengangkutan dan bangunan di bandar.

“Melalui rangka kerja itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya boleh memanfaatkannya untuk mengukur tahap pengeluaran karbon mengikut penilaian yang ditetapkan,” katanya ketika pelancaran ringkas Seminar Antarabangsa LCCF.

Ahmad Zaharin, berkata MBSA menggalakkan agensi kerajaan, PBT lain, badan pertubuhan profesional, Institusi Pengajian Tinggi Awam/Swasta, pelabur, pemaju dan perunding untuk sertai seminar itu.

MBSA“Setiap penyertaan dikenakan bayaran mengikut kategori. Ahli MIP dikenakan bayaran RM400.

“Manakala agensi kerajaan, pertubuhan profesional, ahli akademik atau pemaju dikenakan bayaran RM450 dan pelajar (RM50),” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan borang penyertaan daripada Jabatan Perancangan, Wisma MBSA, Tingkat 9, Persiaran Perbandaran, di sini.

Pertanyaan lanjut hubungi MIP di talian 03-78770636/0637 (Syikin/Siti/Athirah) atau hubungi Jabatan Perancangan MBSA di talian 03-55105133 sambungan 1573/1574 (Halimatun/Hazimah).

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.