Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Daftar Karnival Kerjaya Subang Jaya dibuka hingga 9 malam ini

SHAH ALAM, 19 DIS: Pendaftaran Karnival Kerjaya Subang Jaya (KKSJ) masih dibuka sehingga jam 9 malam ini.

Ahli Dewan Negeri Subang Jaya berkata individu yang mencari kerja disaran memanfaatkan peluang itu dengan mendaftar di pautan Google Form https://rb.gy/j9otkm.

“Pemohon yang layak akan dihubungi bermula 23 Disember selepas majikan meneliti data peribadi serta kesesuaian kerja ditawarkan,” kata Michelle Ng Mei Sze ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, KKSJ akan dianjurkan lagi pada Januari atau Februari tahun depan namun bergantung kepada keadaan semasa pandemik Covid-19 termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

“Jika permohonan menggalakkan kita akan mempertimbangkan untuk menjadikan KKSJ sebagai program tahunan membantu masyarakat,” katanya.

KKSJ merupakan inisiatif Dewan Undangan Negeri Subang Jaya dengan kerjasama beberapa pihak bagi mengatasi masalah pengangguran serta membantu individu hilang kerja mempunyai sumber pendapatan.

Penganjuran secara virtual dilangsungkan pada 8 hingga 10 Disember lalu membabitkan 61 majikan serta 1,383 tawaran kerja.

Maklumat berhubung kerja kosong serta majikan masih dipaparkan di Facebook Page BG Capital Holdings Sdn Bhd yang merupakan penaja utama.

Categories
AGENSI SELANGOR

Temu duga fizikal Karnival Kerjaya Subang Jaya Sabtu ini tangguh

SHAH ALAM, 17 DIS: Temu duga fizikal Karnival Kerjaya Subang Jaya yang dijadualkan Sabtu ini ditunda susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata penyalaras program.

Saliza Abdullah berkata tarikh baru akan diumumkan kelak bergantung keadaan dan situasi semasa pandemik Covid-19.

“Temu duga ini sepatutnya berlangsung di tingkat 3, Da Men USJ namun kita terikat dengan PKPB.

“Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan menerusi Facebook Page BG Capital Holdings Sdn Bhd atau email ke [email protected] atau WhatApps di nombor 012-5060030,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Temu duga fizikal dijalankan bagi memberi peluang individu yang tidak dapat mengikuti temu duga secara dalam talian pada 8,9 dan 10 Disember lalu berikutan masalah teknologi.

Karnival dengan kerjasama Majlis Bandaraya Subang Jaya dan beberapa syarikat itu dijalankan bagi mengatasi masalah pengangguran serta membantu individu hilang kerja mempunyai sumber pendapatan.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Karnival Kerjaya Subang Jaya dijadual semula pada 8 Disember

SHAH ALAM, 23 NOV: Karnival Kerjaya Subang Jaya ditangguhkan ke 8 Disember berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuatkuasa sehingga 6 Disember.

Ahli Dewan Negeri, Michelle Ng berkata program yang dijadual berlangsung pada 19 hingga 21 November lalu itu menerima lebih 500 permohonan.

“Program sepatutnya dijalankan minggu lalu namun disebabkan PKPB dilanjutkan, ia ditangguh ke 8 hingga 10 Disember ini.

Michelle Ng menjawab pertanyaan media dalam suatu program kebajikan di SS14, Subang Jaya pada 7 November 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Walaupun secara dalam talian. Penangguhan terpaksa dibuat kerana tidak mahu tarikh temu duga fizikal terlalu jauh dengan temu duga dalam talian. Jadi kita tetapkan temu duga fizikal pada 19 Disember,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Susulan itu, Michelle menggalakkan orang ramai memanfaat program yang menawarkan lebih 1,200 peluang pekerjaan melibatkan kira-kira 60 majikan.

“Individu yang tidak mahir dengan konsep maya boleh hadir ke temu duga fizikal. Kita akan bantu mereka,” katanya.

Karnival dengan kerjasama Majlis Bandaraya Subang Jaya dan beberapa syarikat itu dijalankan bagi mengatasi masalah pengangguran serta membantu individu hilang kerja mempunyai sumber pendapatan.

Categories
ADN SELANGOR

Karnival Kerjaya Subang Jaya sasar 100 majikan bantu penganggur

SUBANG JAYA, 7 NOV: Karnival Kerjaya Subang Jaya secara dalam talian menyasarkan penyertaan 100 majikan sepanjang tiga hari berlangsung bermula 19 November ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) berkata, pembabitan lebih banyak majikan membolehkan masalah pengangguran terutama akibat pandemik Covid-19 dapat dikurangkan.

Michelle Ng berkata program dengan kerjasama Majlis Bandaraya Subanga Jaya serta beberapa syarikat itu tidak menghadkan penyertaan dari Dewan Undangan Negeri tersebut sahaja tetapi juga kawasan lain.

“Ini sebagai usaha mengatasi masalah pengangguran. Selain dapat membantu individu kehilangan kerja, majikan juga turut menerima manfaat di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Antanya menerima subsidi gaji selama enam bulan dan elaun latihan RM30 bagi setiap pekerja,” katanya kepada pemberita hari ini.

Michelle berkata karnival hingga 21 November itu turut akan melaksanakan kursus kemahiran bagi melatih pekerja mendalami bidang baharu.

“Antara syarikat bersetuju sertainya adalah anak syarikat Sunway Group, City-Link dan Costa Coffee,” katanya.

Majikan yang mahu menyertai karnival terbabit boleh mendaftar di laman web https://rb.gy/allfhz manakala untuk pencarian kerja di https://rb.gy/j9otkm

Pendaftaran boleh dilakukan sehingga 15 November ini.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Karnival Kerjaya Subang Jaya: Lebih 100 organisasi, IKS tawar peluang kerja

SHAH ALAM, 6 NOV: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya bakal menganjurkan karnival kerjaya membabitkan penyertaan lebih 100 syarikat kecil dan sederhana (IKS) serta organisasi.

Program dengan kerjasama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berlangsung melalui dua kaedah iaitu secara virtual dari 19 hingga 21 November dan fizikal pada 28 November di tingkat tiga, Pusat Beli-belah Da Men USJ.

Syarikat terlibat menawarkan peluang pekerjaan terkini untuk golongan pendapatan rendah (B40), pendapatan sederhana (M40), pekerja yang diberhentikan, graduan baharu dan orang kelainan upaya (OKU).

Webinar akan disiarkan secara langsung selama tiga hari mengenai jawatan kosong oleh majikan, tip kerjaya dan taklimat komprehensif Penjana Kerjaya di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara yang dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Selain itu, pencari kerja turut berpeluang berinteraksi dengan syarikat dan organisasi berkaitan menerusi aplikasi kotak sembang (chat box).

Lebih menarik, majikan terlibat layak menerima subsidi gaji selama enam bulan daripada kerajaan untuk setiap pekerja baharu, pembiayaan penuh Perkeso untuk menghantar kakitangan baharu menghadiri kursus dan menerima elaun latihan sebanyak RM30 sehari bagi setiap pekerja.

Bagi pekerja baharu pula, mereka akan diberikan baucar membeli-belah percuma daripada Da Men USJ, latihan kemahiran BG Capital Holdings tanpa dikenakan sebarang bayaran dan sijil kemahiran.

Mereka yang berminat boleh mendaftar di https://forms.gle/Qhcg19G3XTyjinqt7(majikan) dan https://forms.gle/z3v1w8MeTiLSp6Ve7 (calon pekerja) sebelum 15 November 2020.