Categories
NASIONAL

Selesaikan segera masalah KITAS pelajar Malaysia

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 31 JULAI: Kementeri Luar Negeri dan Kementerian Pengajian Tinggi diminta menyelesaikan segera masalah Kartu Izin Tinggal Terbatas (KITAS) membabitkan pelajar Malaysia di Indonesia.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, pelajar Malaysia terpaksa membayar RI5 juta untuk setiap kali pembaharuan malah difahamkan dikenakan denda RI100,000 untuk sehari jika tempoh KITAS tamat.

“Adakah Duta Besar Malaysia di Indonesia pernah ajukan masalah ini kepada kementerian?

JOHARI ABDUL“Jika belum, kementerian mesti membuat kajian bagaimana satu persefahaman dapat dicapai antara Kerajaan Malaysia dan Indonesia supaya pelajar kita menikmati kemudahan sama seperti yang kita berikan kepada pelajar Indonesia di sini,” katanya.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ketika sesi Kamar Khas bersama Johari memaklumkan, kementerian mengakui perkara itu berlaku dan ia dijangka dibawa pada persidangan Joint Commission for Bilateral Cooperation (JCBC) Ogos ini.

Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut dijadualkan bertemu Presiden Indonesia, Jokowi Widodo dalam Persidangan Konsultasi Tahunan November ini.

Jelas Johari, kos pembaharuan KITAS yang tinggi sedikit sebanyak mengganggu fokus pelajar Malaysia di sana dan diharapkan kementerian mampu bertindak segera.