Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Guna kamera di badan penguat kuasa elak salah laku

PUTRAJAYA, 19 SEPT: Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan penggunaan kamera badan pada pegawai penguat kuasa seperti polis, imigresen dan kastam bagi menangani kes salah laku pegawai termasuk rasuah, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya syor penggunaan kamera badan itu dipersetujui memandangkan terdapat pelbagai dakwaan salah laku pegawai semasa bertugas seperti memukul orang yang disiasat.

“Pegawai akan pasang kamera di badan dia dan apabila dia bercakap atau orang bercakap boleh rekod. Kita boleh lihat apa yang dilakukan oleh pegawai ke atas pelanggan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR), di sini hari ini.

“Sudah tentu pegawai itu akan menafikannya tetapi pelanggan akan menegaskan bahawa dia telah dipukul, jadi antara kedua-dua mereka kita ingin tahu siapa yang betul.

“Apabila kita mempunyai kamera kita akan tahu sama ada dakwaan terhadap pegawai berkenaan ada asas ataupun tidak,” kata Dr Mahathir.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata tarikh pelaksanaannya belum diputuskan memandangkan ia melibatkan kos kepada kerajaan.

Perdana Menteri berkata, selain kamera badan, mesyuarat JKKMAR turut bersetuju supaya penggunaan teknologi dalam operasi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dipertingkatkan dengan mewujudkan pusat kawalan setempat, pemantauan melalui kamera litar tertutup (CCTV) dan menambah mesin pengimbas berteknologi Kecerdasan Buatan (AI) serta Alat Bantuan Operasi (ABO).

Katanya ini berikutan negara mengalami kebocoran hasil di pintu keluar masuk antara RM3 bilion hingga RM5 bilion setahun akibat masalah integriti pegawai dan kekurangan peralatan teknologi terkini.

Dr Mahathir berkata pemantauan dengan pemasangan CCTV turut akan dipertingkatkan di pintu-pintu masuk negara dan depot tahanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi memantapkan pemeriksaan serta meningkatkan kecekapan jabatan itu dan integriti pegawainya.

Selaras dengan janji kerajaan untuk menjadikan Polis Difaja Malaysia (PDRM) pasukan yang dihormati dan disegani, katanya penyelenggaraan dan penggunaan CCTV dalam lokap-lokap PDRM akan dipertingkatkan bagi memastikan ketelusan, mencegah salah laku dan menangani masalah kematian dalam tahanan.

“Lokap perlu mempunyai kamera supaya kita tahu apa yang sebenarnya berlaku,” katanya.

Dr Mahathir berkata, terdapat permintaan daripada PDRM, JKDM dan JIM bagi menambah pegawai susulan penambahan bilangan pelancong dan pekerja asing ke negara ini.

Katanya walaupun ketika ini jumlah kakitangan awam terlalu ramai sehingga mencecah 1.7 juta orang, namun kerajaan perlu memikirkan kaedah yang sesuai bagi memastikan operasi ketiga-tiga jabatan itu tidak terjejas akibat kekurangan pegawai.

“Mungkin kita boleh tukarkan beberapa orang yang sudah bekerja untuk tugas yang lebih penting kerana kita tak boleh tambah terlalu banyak memandangkan kita tak mempunyai wang yang cukup,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata mesyuarat JKKMAR juga mengambil maklum bahawa satu arahan Perdana Menteri akan disediakan mengenai panduan dan tatacara pengeluaran penyataan sokongan dalam apa jua bentuk oleh anggota pentadbiran.

Katanya arahan itu turut terpakai kepada semua pegawai awam di peringkat persekutuan, dan juga dipanjangkan serta tertakluk kepada penerimaannya di peringkat negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan.

Menjelang sesi ucapan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober, Dr Mahathir berkata kerajaan akan memastikan bahawa hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang berintegriti tinggi dan pengurusan governans yang baik terus dilaksanakan melalui inisiatif-inisiatif dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP).

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

21 kereta mewah bernilai RM12.2 juta dirampas

SEPANG, 6 SEPT: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menumpaskan cubaan menyeleweng dokumen pengimportan 21 kereta mewah bernilai RM12.2 juta dalam dua serbuan berasingan di Shah Alam pada 29 Mei lepas.

Timbalan Ketua Pengarah JKDM Datuk Azimah Abd Hamid berkata rampasan terbesar di Lembah Klang untuk tahun ini itu melibatkan enam Lamborghini Huracan, Toyota Velfire (tujuh); Toyota Estima (empat); Mercedes Benz (dua); dan masing-masing sebuah BMW dan Toyota Alphard.

Menurut Azimah, kenderaan yang belum didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu disimpan di dua gudang di Shah Alam dan siasatan mendapati kereta-kereta tersebut melanggar syarat Lesen Import yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Dalam sidang media di sini hari ini, beliau berkata kesemua kenderaan itu didapati mengikrar tarikh pengilangan tidak benar sedangkan mengikut lesen ditetapkan, MITI mensyaratkan pengimportan kereta terpakai hanya dibenarkan bagi kereta berusia satu hingga lima tahun.

Sebagai contoh, katanya enam kereta Lamborghini terbabit diikrarkan tarikh pengilangan pada 2012 sedangkan siasatan dengan pengedar sah kenderaan itu menunjukkan tarikh pengeluarannya adalah pada 2016.

“Modus operandi pihak terbabit ialah bagi mengurangkan kadar cukai yang perlu dibayar kepada kastam kerana kereta lama kadar cukainya lebih rendah,” katanya.

Berikutan itu, dua syarikat pengimportan kereta di Shah Alam yang dikenal pasti sebagai pemilik kesemua kenderaan berkenaan kini disiasat berhubung cubaan menyeleweng dokumen, menipu usia kenderaan dan mengelak cukai, katanya.

Perbuatan mengimport lesen tanpa Lesen Import yang sah merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh didenda 40 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak melebihi tujuh tahun, katanya.

Azimah berkata kesemua kenderaan dan dokumen tidak sah itu dipercayai disimpan di gudang berkenaan sejak dua tahun lepas.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Paddy Ketua Pengarah Kastam baharu

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUTRAJAYA, 2 APR: Timbalan Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Dato’ Paddy Abd Halim, dinaikkan pangkat Ketua Pengarah jabatan itu berkuatkuasa 1 April 2019.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dalam satu kenyataan berkata Paddy menggantikan Dato’ Sri Subromaniam Tholasy yang menamatkan tempoh perkhidmatannya pada 9 Mac 2019 lalu.

Paddy memulakan kerjayanya sebagai Penguasa Kastam di JKDM Perak pada 1983 dan pernah bertugas di beberapa cawangan serta bahagian di JKDM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur termasuk Ibu Pejabat.

Sebelum dilantik Ketua Pengarah, beliau memegang jawatan, Pengarah Bahagian Pengurusan Pematuhan, Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/GST).

Guan Eng berkata, pihaknya merakamkan setinggi penghargaan kepada Subromaniam atas perkhidmatan cemerlang sebagai Ketua Pengarah Kastam terutama dalam memimpin perlaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan dengan jayanya.